Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya ingin melancong ke luar negara selama lebih tiga hari. Bolehkah saya melakukan jamak dan qasar memandangkan saya tidak berada di satu-satu tempat yang sama pada setiap hari, selain kemudahan untuk solat juga sukar untuk didapati khususnya bagi wanita. Hanya tempat bermalam sahaja yang kekal di satu tempat. Isu kedua, apa pula maksud dua marhalah dalam mengira pergerakan dari satu tempat ke satu tempat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Pertama, Musafir bererti seorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua marhalah. Bermukim bererti seorang yang menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan hari keluar. Manakala bermastautin pula bermaksud tempat tinggal hakikinya.
Tempoh dibolehkan qasar dan jamak untuk musafir ialah tiga hari tiga malam, tidak termasuk hari datang dan hari pulang. Jika seseorang itu berniat untuk tinggal di suatu tempat selama empat hari atau lebih, maka dia tidak boleh qasar dan jamak ketika sampai di tempat itu kerana dia sudah dikira bermukim. Adapun ketika masih dalam perjalanan, tiada had hari yang tetap, dan dibolehkan qasar dan jama’ sehingga sampai ke destinasi musafir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/187).
Kedua, Dalam isu ini, tempat bermalam itu dikira sebagai tempat bermukim, maka dia perlu solat secara tamam (sempurna, bukan qasar) ketika berada di situ. Tetapi, sekiranya dia bergerak ke tempat lain, dan perjalanan kedua itu mencapai dua marhalah, maka perjalanan ke destinasi tersebut dikira permusafiran yang baru dan dibenarkan qasar dan jama’ dalam perjalanan tersebut.
Kedua, Berkenaan jarak dua marhalah, menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, dua marhalah itu adalah bersamaan 88.704 km. (Lihat al-Wajiz, 1/266). Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sabuni pula menganggarkannya sebanyak 84 km. (Lihat al-Fiqh al-Syafi'i al-Muyassar, hlm. 131). Manakala Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 315). Justeru, jarak dua marhaalah di dalam ukuran sekarang seperti disebutkan oleh para ulama di dalam kitab merupakan anggaran. Ukuran ini lebih kepada taqribi (anggaran), bukannya tahdidi (ketepatan).
Marilah sama-sama kita menginsafi betapa solat merupakan rukun Islam yang penting dan tiang seri kepada agama Islam. Benarlah firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah al-Nisa’: 102)
Wallahu a’lam.