Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya berada di Moscow, Rusia. Saya akan melalui bulan Ramadhan tidak lama lagi. Jangkaan waktu Maghrib, Isyak dan Subuh di sini adalah 9.10 PM (Maghrib), 10.57 PM (Isyak) dan 2.01 am (Subuh). Berdasarkan waktu tersebut, selang waktu di antara Isyak dan Subuh adalah lebih kurang 3 jam sahaja. Adakah terdapat kaedah dalam Islam agar solat Isyak dapat diawalkan? Hal ini bagi membolehkan ruang masa yang cukup dimanfaatkan untuk ibadah sunat yang lain di antara waktu Isyak dan Subuh berkenaan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam hal ini terdapat khilaf dalam kalangan ulama perihal waktu solat yang tidak mundabit. Kami cenderung kepada pendapat bahawa diraikan waktu setempat. Ini berdalilkan firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa: 103)
Ibn Mas’ud R.A dalam mentafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258).
Ayat di atas juga menunjukkan bahawa tanpa masyaqqah dan darurat, waktu solat perlu dijaga dengan solat pada waktunya. Dalam isu di atas, tujuan kerana ingin memperbanyakkan amalan dan perkara sunat bukanlah termasuk dalam kategori masyaqqah dan darurat. Sebaiknya adalah, diraikan waktu solat setempat dengan solat pada waktunya.
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, aku bertanya Rasulullah SAW:
يا رسولَ اللهِ، أيُّ العملِ أفضلُ؟ قال: الصَّلاةُ لوَقتِها، قال: قُلتُ: ثُمَّ أيٌّ؟ قال: بِرُّ الوالدَينِ، قال: قُلتُ: ثُمَّ أيٌّ؟ قال: الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ عزَّ وجلَّ،
Maksudnya: “Hai Rasulullah, apakah amalan paling afdhal?” Jawab Baginda: “Solat dalam waktunya.” Katanya, aku bertanya: “Kemudian, apa pula?” Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Katanya, aku bertanya: “Kemudian apa pula?” Jawab Baginda: “Jihad fi Sabilillah.”
Riwayat al-Bukhari (7534), Muslim (85), al-Nasa'i (611) dan Ahmad (4243)
Wallahu a’lam.