Skip to content

S:109 Solat Jumaat Bagi Musafir Hari Jumaat

Posted on:December 18, 2023 at 03:43 PM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah orang yang bermusafir pada hari Jumaat wajib menunaikan solat Jumaat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkenaan isu di atas, terdapat dua pendapat dalam isu adakah wajib solat Jumaat bagi orang yang bermusafir dalam hari Jumaat.

Pertama: Menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Syafi'i, sekiranya permusafiran pada hari Jumaat dilakukan sebelum fajar, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat. Namun, sekiranya dia bermusafir dan permusafirannya itu melebihi 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaikan Solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim. Justeru, jika permusafirannya kurang dari 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar dari tempat tersebut maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat. Inilah pendapat jadid (baru) Imam al-Syafi'i, pendapat azhar menurut ahli Iraq, dan jumhur ulama. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/496).

Kedua: Terdapat juga pendapat lain di dalam mazhab Syafie sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudhah al-Talibin (2/38). Mereka berpendapat gugur kewajipan solat Jumaat jika bertolak musafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari. Inilah pendapat qadim (lama) Imam al-Syafie, Syeikh Harmalah, dan dinukilkan juga oleh al-Syirazi di dalam al-Muhazzab dengan qiyas harusnya menjual harta zakat sebelum sampai haulnya. ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/498-499).

Kami cenderung kepada pendapat yang kedua ini dengan keterangan berikut. Suasana mutakhir ini banyak perjalanan bergantung kepada jadual bas, kereta api dan kapal terbang yang berlepas selepas fajar. Jika kenderaan bertolak pada jam 11.00 pagi contohnya, adalah menyukarkan bagi seseorang untuk keluar daripada kampungnya sebelum fajar dan perlu menunggu lama. Namun, hendaklah musafir itu atas tujuan yang mubah/harus, bukan makruh ataupun haram.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kekuatan dalam melaksanakan ibadat solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini kerana solat merupakan rukun Islam yang penting untuk sentiasa kita laksanakannya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H