Skip to content

S:110 Solat Jamak Ketika Banjir dan Hujan

Posted on:December 19, 2023 at 02:03 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah boleh melakukan solat jamak ketika banjir melanda di sesuatu kawasan berdasarkan hadis di mana Nabi SAW solat jamak ketika hujan? Dan boleh jelaskan situasi dan syarat-syarat dijamakkan solat ketika hujan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam isu di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk mereka melakukan solat jamak semasa banjir. Ini kerana, mangsa banjir pada kebiasaannya ditempatkan di dalam penempatan sementara seperti dewan orang ramai, sekolah-sekolah, dan sebagainya. Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjamaah pada setiap solat fardhu.

Adapun solat jamak ketika hujan, ianya memang benar warid daripada Nabi SAW dan dibolehkan di sisi mazhab Syafi'i. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 4/378). Akan tetapi ia hendaklah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha' iaitu:

  1. Jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim, dan tidak jamak ta'khir. Ia mesti dilakukan mengikut syarat jamak taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat untuk jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama. (Lihat al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i, 1/484 - 485).
  1. Solat yang kedua (Asar atau Isya') mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi SAW, Baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah Baginda bersebelahan dengan masjid. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/274; al-Hawi, 4/494; al-Majmu', 4/258).
  1. Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak. (Lihat al-Umm, 1/95).
  1. Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan. (Lihat al-Majmu', 4/378).

Semoga Allah kurniakan kepada kita untuk cintakan solat sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَجُعِلَتْ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Dijadikan penyejuk mataku pada solat.”

Riwayat al-Nasa'i (3940) dan Ahmad (14037)[1]

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

 

[1] Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan sanadnya adalah sahih. (Lihat Fath al-Bari, 11/353).