Soalan
Assalamualaikum ustaz. Kita semua sedia maklum bahawa hukum jamak dan qasar solat bagi musafir mestilah tidak lebih daripada tiga hari, tidak termasuk hari masuk dan hari keluar. Persoalannya, apakah maksud hari masuk dan hari keluar ini?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/186) menyebut salah satu daripada syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir: “Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”
Ini berdasarkan hadis al-`Ala’ bin al-Hadhrami bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُقِيمُ الْمُهَاجِرُ بِمَكَّةَ بَعْدَ قَضَاءِ نُسُكِهِ ثَلَاثًا
Maksudnya: “Orang Muhajirin bermukim di Mekah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.”
Riwayat Muslim (1352)
Sebahagian orang mungkin akan keliru; apakah yang dimaksudkan dengan hari masuk dan hari pulang? Adakah hari masuk dan pulang itu merangkumi 24 jam hari pertama dan terakhir atau bukan? Bagi menjawab isu ini, kami nukil perkataan Imam al-Nawawi, katanya: “Tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya dan keluarnya mengikut pendapat yang sahih.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 44).
Dalam kitab Hasyiah al-Syirwani `ala Tuhfah al-Muhtaj (2/377) pula disebut: "[(Dan tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya)[1] ertinya dikira malam yang berikutan siang masuk itu. Begitu juga dikira siang yang berikutan malam masuk itu].[2]
Dijelaskan lagi: "[(atau dua malam masuknya) yakni tidak dikira siang masuknya dan malam masuknya, atau begitu juga kalau keadaan yang terbalik]."
Berdasarkan keterangan di atas, terdapat perbezaan antara penggunaan hari selama 24 jam dan yang “hari“ dalam konteks hukum jamak dan qasar. "Hari" dalam hukum itu bermaksud waktu siang dan waktu malam apabila seorang musafir itu sampai atau ingin pulang. Contohnya, jika seseorang itu sampai siang hari Isnin, maka dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar daripada tempat itu untuk musafir jauh ke tempat lain pula, pada siang hari Jumaat. Andai kata dia pulang malam Sabtu, maka tidak sah hukum solat jama` dan qasar yang dibuat kerana tidak cukup syarat.
Selain itu, perlu difahami juga bahawa pertukaran hari dalam fiqh Islam adalah selepas waktu Maghrib (senja) dan bukan 12.00 tengah malam. Antara hikmah diberikan keringanan pada siang hari sampai dan siang hari pulang ialah kerana seorang musafir itu pastinya disibukkan dengan perkara-perkara yang keperluan ketika musafir (seperti pengangkutan, penginapan dan persediaan pulang) pada dua siang hari tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/519).
Kami nyatakan rajah berikut untuk memudahkan kefahaman:
Isnin | Selasa | Rabu | Khamis | Jumaat | |
Malam | # | # | # | # | |
Siang | Masuk | # | # | # | Keluar |
Rajah 1 : Jika musafir itu sampai pada waktu siang
Huraian Rajah 1: Contohnya, Abu Bakar sampai ke Ipoh (destinasi musafir jauh) daripada Kuala Lumpur (tempat asal) pada jam 10.00 pagi hari Isnin. Dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar musafir jauh ke tempat lain, pada siang Jumaat. Jika dia berniat keluar Jumaat malam Sabtu maka dia tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar selama tinggalnya dia di Ipoh. Adapun semasa perjalanan, maka tiada masalah.
Isnin | Selasa | Rabu | Khamis | Jumaat | |
Malam | Masuk | # | # | # | Keluar |
Siang | # | # | # | # |
Rajah 2 : Jika musafir itu sampai pada waktu malam
Huraian Rajah 2: Contohnya, Umar sampai ke Ipoh daripada Kuala Lumpur (tempat asal) pada jam 9.00 malam Ahad malam Isnin. Dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar musafir jauh ke tempat lain, pada Khamis malam Jumaat. Jika dia berniat keluar siang Jumaat maka dia tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar selama tinggalnya dia di Ipoh. Adapun semasa perjalanan, maka tiada masalah.
Pendapat di atas ialah pendapat muktamad dan sahih dalam mazhab al-Syafie. Inilah pendapat kami dan lebih memudahkan pada perkiraan. Terdapat pendapat lain dalam mazhab seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini: “Imam al-Subki (alim mazhab Syafie) memilih pendapat mazhab Imam Ahmad bahawa rukhsah (untuk qasar solat sewaktu musafir) tidak berkait dengan bilangan hari, sebaliknya berkait dengan bilangan solat. Justeru, orang yang bermusafir boleh mengambil rukhsah itu dengan bilangan 21 kali perlaksanaan solat yang fardhu. Ini kerana perkara itu dilakukan secara tahqiq oleh Baginda ﷺ apabila bermusafir di kawasan al-Abtoh. Mengikut pendapat yang sahih, rukhsah itu sebanyak 23 kali solat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/520).
Isnin | Selasa | Rabu | Khamis | Jumaat | |
Subuh | # | # | # | # | |
Zuhur | # | # | # | # | # |
Asar | # | # | # | # | |
Maghrib | # | # | # | # | |
Isyak | # | # | # | # |
Rajah 3 : Jika musafir itu mengikut pendapat Imam al-Subki
Huraian Rajah 3: Contohnya, Abdullah sampai ke Ipoh daripada Kuala Lumpur (tempat asal) pada jam 9.30 pagi hari Isnin. Dia dibenarkan solat jamak dan qasar bermula daripada Zuhur hari Isnin sehingga Zuhur hari Jumaat.
Kesimpulannya, seseorang yang musafir hendaklah berniat menetap tiga hari di destinasi musafirnya untuk membolehkannya mengambil rukhsah solat jamak dan qasar. Ini tidak termasuk siang hari sampai dan siang hari pulang, atau malam hari sampai dan malam hari pulang. Jika dihimpunkan keseluruhan hari tersebut, ia boleh mencecah lima hari.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H
[1] Ini adalah perkataan Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, manakala hasyiah penerangannya diberi oleh Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani
[2] Seperti mana yang difatwakan oleh Syeikh Ali Syubramallisi.