Skip to content

S:114 Solat Mendukung Anak Kecil

Posted on:December 19, 2023 at 02:06 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah Rasulullah SAW pernah melakukan solat sambil mendukung bayi atau anak kecil?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menjawab persoalan ini, kami nyatakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah SAW[1], dan dia merupakan anak kepada Abu al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya."

Riwayat Al-Bukhari (516)

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat lain yang juga daripada Abu Qatadah R.A, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ سُجُودِهِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi al-‘Ash di atas tengkuk Baginda. Apabila Baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila Baginda bangun Baginda mengangkatnya semula.”

Riwayat al-Nasa’i (827)

Berdasarkan hadis di atas, kami melihat betapa tingginya sifat rahmat dan kasih sayang baginda SAW kepada cucu, kaum keluarga, serta anak-anak kecil. Ini yang dibawakan oleh Rasulullah dengan sifat baginda selaku rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat bagi sekalian alam.

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini, menyebut: Pada hadis ini terdapat dalil akan sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Dan sesungguhnya perbuatan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta perbuatan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Dan pada hadis ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu’ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/198).

Menurut mazhab Imam al-Syafie, hadis ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/198).

Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani pula apabila mensyarahkan hadis ini berkata: “Hadis ini menunjukkan akan keharusan membawa kanak-kanak masuk ke dalam masjid. Demikian juga harus menyentuh kanak-kanak kecil dan ia tidak memberi kesan kepada taharah (kesucian). Begitu juga sahnya solat bagi sesiapa yang memikul anak Adam, dan juga haiwan yang suci.” (Lihat Fath al-Bari, 1/703).

Kesimpulan

Berdasarkan hadis-hadis yang telah kami sebutkan, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memang pernah melakukan solat sambil memikul kanak-kanak. Walaupun begitu, hendaklah dipastikan kanak-kanak tersebut suci daripada najis serta kami cadangkan jika kanak-kanak tersebut akan menyukarkan seseorang itu untuk menunaikan solat apabila memikulnya, maka perlulah kanak-kanak itu diletakkan di bawah pemeliharaan individu yang berkelapangan untuk menjaganya pada ketika itu.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H

Nota Hujung:

[1] Umamah merupakan puteri Abu al-As bin al-Rabi’ bin Abd al-‘Uzza bin Abd al-Syams bin Abd Manaf bin Qushai. Ibunya adalah Zainab puteri Rasulullah SAW. Umamah adalah cucu pertama Rasulullah SAW. Sehingga wajar ia disebut sebagai kesayangan Nabi. Sebagaimana umumnya seorang datuk mendapatkan cucu pertama.

Dari sisi nasab, tentulah Umamah memiliki nasab terbaik. Beliau lahir dari keluarga terbaik. Datuknya manusia paling mulia. Dan neneknya, Ummul Mukminin Khadijah R.Anha, juga merupakan wanita terbaik di dunia dan akhirat. Dan ibunya adalah puteri sulung Nabi SAW. Sementara ayahnya, Abu al-As, adalah seorang lelaki Mekah yang dikenal memiliki akhlak mulia. Seorang pedagang yang jujur. Menunaikan hak-hak orang lain. Ia sangat menghormati dan cinta kepada mertuanya, Rasulullah SAW. Beliau sering berkunjung ke rumah ayah mertuanya itu kerana amat mengasihi pada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memujinya di depan para sahabat:

حَدَّثَنِي فَصَدَقَنِي، وَوَعَدَنِي فَأَوْفَى لِي

Maksudnya: “Ia berkata padaku dengan jujur. Dan memenuhi janjinya padaku…

Riwayat al-Bukhari (2943) dan Muslim (2449)

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW pernah diberikan sebuah kalung oleh seorang perempuan. Beliau bersabda:

لَأَدْفَعَنَّهَا إِلَى أَحَبِّ أَهْلِي إِلَيَّ

Maksudnya: “Aku akan memberikan hadiah ini kepada keluargaku yang paling aku cintai.”

Aisyah pergi bersamanya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil Umamah puteri Zainab, dan mengalungkan hadiah itu di lehernya (Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifati al-Ashab 4/1789). Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (6/101). Syeikh Syu’aib al-Arna'ut menyatakan: sanadnya dhaif).