Soalan
Assalamualaikum ustaz. Siapakah yang perlu lebih didahulukan dan layak untuk menjadi imam solat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Islam menggalakkan agar kita sentiasa solat berjemaah. Inilah sunnah Rasulullah SAW dan dipahalakan dengan gandaan yang banyak. Sabda Rasulullah SAW:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda".
Riwayat al-Bukhari (645)
Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan:
Imam bermaksud seseorang yang diikuti oleh orang lain, seperti imam ketika solat, sebagai seorang khalifah, atau panglima tentera. (Lihat Mu'jam al-Wasit, hlm. 27). Perkataan imam itu sendiri memberi maksud di hadapan yang dirujuk serta diikuti sedangkan pengikutnya pula dikenali sebagai makmum. Hal ini berlandaskan hadis Nabi SAW:
اِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤتَمَّ بِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti.”
Riwayat al-Bukhari (657) dan Muslim (411)
Dalam menjawab persoalan ini, kami bawakan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW berkata kepada kami:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا وَلاَ تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ وَلاَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ
Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”
Riwayat Muslim (613)
Berdasarkan hadis ini para ulama mazhab al-Syafie telah pun menulis hal ini dalam kitab-kitab mereka. Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-Masri di dalam kitabnya Umdah al-Salik (128):
- Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
- Yang paling baik bacaan al-Quran.
- Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah).
- Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya.
- Yang paling awal memeluk islam.
- Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraisy, kemudian bangsa Arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab.
- Yang paling baik keperibadian.
- Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian.
- Yang paling lunak suara.
- Yang paling baik penampilan.
Kami pernah mendengar dan melihat sebuah video di mana Syeikh Muhammad Khalil al-Husari, Syeikhu al-Qurra’ Mesir yang terkenal menjadi muazzin solat yang diimamkan oleh Syeikh al-Azhar ketika itu, Syeikh Abdul Halim Mahmud.
Kesimpulan
Sekiranya ketiadaan imam yang dilantik untuk sesebuah masjid atau surau tidak ada, maka boleh dipilih sesiapa yang mempunyai satu syarat daripada syarat-syarat di atas mengikut turutan. Kami tarjihkan mereka yang faqih berdasarkan mazhab al-Syafie hendaklah didahulukan kerana lebih mengetahui tentang keseluruhan solat daripada yang mempunyai suara yang baik sahaja. Semoga kita sentiasa diberi hidayah untuk mengikut syariat Islam.
Wallahu a’lam.