Soalan
Assalamualaikum ustaz. Ibu saya terkena penyakit strok yang menyebabkan ingatannya sekejap baik dan sekejap tidak baik. Adakah dia wajib menunaikan solat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat adalah satu kewajipan ke atas orang-orang beriman yang telah ditetapkan waktunya”
(Surah al-Nisa’: 103)
Ayat ini merupakan salah satu dalil kefardhuan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah (beban) ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur Syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut.
Riwayat al-Bukhari (597), Muslim (684)
Berbalik kepada persoalan di atas, kami katakan:
Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), strok adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh, mengawal setiap yang kita lakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.
Untuk berfungsi, otak memerlukan bekalan darah berterusan yang membawa oksigen dan nutrien yang amat penting. Apabila saluran darah di dalam otak pecah ataupun tersumbat, bekalan darah akan terhenti dan sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien. Apabila bahagian otak itu mula mati, seseorang pun mengalami strok. Ia berlaku dengan pantas, dan dengan senyap. Kerosakan otak menjejaskan deria-deria seseorang, pertuturan dan pemahaman bahasa. Sebelah tubuh mungkin lumpuh, sikap, corak pemikiran dan ingatan terubah.[1]
Solat Bagi Pesakit Strok yang Terjejas Ingatannya
Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan solat juga merupakan perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak oleh Allah SWT. Untuk itu, kita tidak boleh mengambil mudah dalam isu solat ini. Antara syarat sah dan wajib solat adalah:
- Islam
- Baligh
- Berakal (waras)
- Suci daripada hadas. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/199).
Berakal merupakan salah satu syarat wajib bagi solat kerana hukum-hukum syara’ berkaitrapat dengan akal. Untuk itu, tidak wajib solat bagi orang yang gila, pengsan, mabuk dan seumpamanya kerana pada waktu itu akal mereka telah hilang. Ini dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sedar.”
Riwayat Abu Daud (4403)
Para ulama’ mengqiyaskan setiap orang yang hilang akal mereka dengan orang yang gila samada dalam tempoh masa yang sekejap atau lama. Jika ia sembuh dan berbaki masa untuknya solat (bertakbir) maka wajib baginya solat. Akan tetapi, tidak wajib dia mengqadha’kan solat dalam tempoh tersebut (hilang akal). (Lihat al-Mu’tamad, 1/155).
Kesimpulan
Dalam isu di atas, kami berpendapat bahawa solat tidak gugur dan wajib ditunaikan ketika ingatannya itu dalam keadaan baik. Namun, jika ingatannya dalam keadaan tidak baik maka solat pada waktu itu tidak wajib ditunaikan dan tidak perlu diqadha’ solat yang ditinggalkan ketika itu.
Pembahagian bagi orang yang hilang akal ini boleh dibagikan kepada dua bahagian, iaitu:
- Tempoh yang lama: Jika seseorang itu hilang akalnya dalam tempoh yang lama mengikut uruf maka pada waktu itu tidak wajib baginya untuk solat dan tidak wajib dia mengqadhakan solat yang ditinggalkan dalam tempoh tersebut. Namun, jika dia sedar dan masih berbaki waktu solat maka wajib baginya menunaikan solat pada waktu yang berbaki.
- Tempoh yang sekejap: Jika seseorang itu hilang akalnya dalam tempoh yang sekejap dan tempoh ini diukur dengan uruf. Maka dia wajib solat yang mana waktunya masih berbaki dan sebaik-baiknya dia mengqadhakan solat yang ditinggalkan dalam tempoh tersebut jika hal tersebut tidak menyukarkannya.
Akhir kalam, semoga Allah SWT menyembuhkan penyakit pesakit berkenaan serta mengurniakan kita semua kesihatan yang baik agar dapat kita meneruskan amal ibadah seharian dengan sempurna.
Marilah sama-sama kita berdoa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H
[1] http://www.myhealth.gov.my/pemulihan-pesakit-strok/