Soalan
Assalamualaikum ustaz. Ketika pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium, dan melakukan solat di tempat terbuka seperti itu, saya terasa agak sukar untuk mencapai khusyuk. Sedangkan khusyuk adalah perkara penting dalam solat. Mohon nasihat ustaz tentang isu ini.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
(Surah al-Mukminun: 1-2)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: 'Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: " خَاشِعُونَ" (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu' di sini ialah kekhusyukan hati.
Hasan al-Basri pula berkata: "Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka." Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 5/110).
Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-'Aqidah wa al-Syari'ah wa al-Manhaj, 9/329).
Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.
Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:
- Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri (مخبتون أذلاء)
- Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
- Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
- ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
- Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
- Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
- Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut (خائفون).
- Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’) (متواضعون).
- Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غض البصر وخفض الصوت)
- Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408).
Kami kemukakan juga di sini beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk.
Kata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.
- Imam Junaid Al-Baghdadi yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/521).
- Imam Ibn Rajab al-Hanbali turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. (Lihat al-Khusyu’ fi al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali, hlm. 17).
- Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkannya (khusyuk) sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).
Menurut Syeikh Muhammad Rasyid Ridha, maksud khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301).
Dalam sebuah hadis daripada riwayat Ammar bin Yasir, beliau solat dua rakaat lalu meringkaskannya. Lantas Abd al-Rahman bin al-Harith berkata kepadanya: Wahai Abu al-Yaqazan, aku melihat engkau meringkaskan kedua-duanya. Beliau lalu menjawab: Telah datang kepadaku was-was dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ لِيُصَلِّي الصَّلاَةَ ، وَلَعَلَّهُ لاَ يَكُونُ لَهُ مِنْهَا إِلاَّ عُشْرُهَا ، أَوْ تُسْعُهَا ، أَوْ ثُمُنُهَا ، أَوْ سُبُعُهَا ، أَوْ سُدْسُهَا حَتَّى أَتَى عَلَى الْعَدَدِ
Maksudnya: “Sesunggguhnya seseorang melakukan solat dan boleh jadi tidak tersisa daripadanya (faham dan khusyuk dalam solat) melainkan baki sekadar 1/10 nya atau 1/9 nya atau 1/8 nya atau 1/7 nya atau 1/6 nya sehingga syak sampai kepada bilangan rakaat solat.”
Riwayat Ahmad (18398) dan Ibnu Hibban (1889)
Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:
- Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.
- Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.
Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.
Mencapai Khusyuk ketika Solat di Tempat-tempat Seperti Stadium
Setelah kami bentangkan pendapat ramai tokoh ulama’ silam berkenaan dengan khusyuk dalam solat, maka berkenaan isu yang dibangkitkan oleh saudara kami katakan seperti berikut:
Pertama: Kami ucapkan syabas kepada anda, walaupun dalam suasana semangat bola sepak terutamanya ketika berada di stadium dalam memberi sokongan kepada pasukan yang kita minati, tetapi kita tetap tidak melupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah untuk mengabdikan kepadanya. Semoga sikap yang ditunjukkan oleh saudara menjadi ikutan oleh rakan-rakan kita yang lain. Kami teringat kepada firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ
Maksudnya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah al-Nisa’: 102)
Walaupun ayat ini berkenaan dengan solat ketika perang, tetapi antara yang dapat kita fahami sewaktu sukar mana sekalipun, solat tetap diutamakan.
Kedua: Kalau saudara mampu untuk melakukan solat pada awal waktu, maka itu adalah yang terbaik agar tidak berlaku kepada kita perasaan masih lagi berhutang dengan Tuhan kita dalam melaksanakan ibadat solat. Jika ini dapat dilakukan, maka kita termasuk dalam orang yang meraih amalan yang terbaik berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Ummu Farwah R.Anha, katanya,
سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : الصَّلاَةُ فِي أَوَّلِ وَقْتِهَا
Maksudnya: “Ditanya kepada Rasulullah SAW, apakah amalan yang paling afdhal? Jawab Baginda SAW: Solat di awal waktunya.”
Ketiga: Solatlah secara berjemaah seboleh mungkin. Hal ini menyebabkan saudara meraih 27 darjat. Benarlah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1409)
Alhamdulillah, sekitar tahun 2019 (ketika saya masih menjawat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan), berlaku perlawanan akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia dengan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu telah menghantar pasukan untuk mengukur arah kiblat dan mengendalikan solat Maghrib berjemaah. Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan.
Keempat: Ajak rakan-rakan untuk solat bersama. Ini merupakan salah satu dakwah yang terbaik agar masing-masing dan semuanya mendapat keredaan Ilahi dan keberkatan dalam kehidupan. Ia juga merupakan sunnah yang baik yang akan dipahalakan oleh Allah pada akhirat nanti.
Kelima: Cuba memahami dengan sebaik mungkin maksud solat, bacaan dalam solat serta perbuatan yang penuh dengan hikmah dan tujuan seperti yang dibahaskan oleh sebahagian ulama’.
Keenam: Jadikan tokoh-tokoh bola sepak Muslim yang sentiasa memelihara solat. Kami sendiri melihat betapa pemain bola sepak negara yang Muslim begitu komited dan istiqamah dalam melaksanakan ibadat solat. Hal ini, kami sempat dengan mereka ketika hampir kemuncak perlawanan separuh akhir di salah sebuah hotel. Kalau mereka dalam masa dan waktu yang kritikal masih lagi menunaikan kefarduan solat Maghrib, makanya kita sebagai penonton dan penyokong lebih aula (utama) untuk melakukan solat fardhu tersebut.
Ketujuh: Kami titipkan di sini nasihat hujjatul Islam, Imam al-Ghazali berkenaan dengan cara meraih khusyuk dalam solat. Beliau menyebut, makna khusyuk ialah:
- Hudhur al-Qalb (kehadiran hati) iaitu mengosongkan hati daripada selain yang dikerjakan.
- Tafahum iaitu pemahaman terhadap makna yang diucapkan secara mendalam.
- Ta’zim iaitu penghormatan disertai kerendahan diri dan takut kepada Allah.
- Haibah iaitu pengagungan kepada Allah atas kekuatan, kemampuan, dan keperkasaan-Nya.
- Raja’ (pengharapan) iaitu kesedaran tertinggi kita akan luthf dan kasih sayang Allah yang begitu besar, kedermawanan-Nya serta anugerah anugerah-Nya.
- Haya’ (rasa malu) iaitu berusaha solatnya sudah diterima atau sudah baik. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/161-162).
Penutup
Kami menutup perbincangan ini dengan sekali lagi mengulangi betapa isu khusyuk ini adalah salah satu daripada yang terpenting dalam kamus kehidupan seseorang Islam. Kami meminjam kenyataan Allamah Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur yang berkata: Khusyuk ialah keikhlasan hati dan zahir. Ini adalah ketundukan dan menghindari maksiat. Termasuk juga dalam pengertian khusyuk adalah "Ihsan" iaitu yang dijelaskan oleh "Hadith Jibril", bahawa Ihsan adalah "Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak (dapat seakan-akan) melihat-Nya, maka (yakinlah) bahawa Dia melihatmu.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/257).
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sentiasa mentaati-Nya dengan sebaik mungkin dan kami akhiri dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal R.A:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: "Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu."
Riwayat Abu Daud (1522)
Wallahu a’lam.