Skip to content

S:171 Kesan Darah Selepas Umrah

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Soalan saya, setelah selesai melaksanakan semua rukun ibadah umrah, saya kembali ke hotel untuk berehat dan bersiap-siap pulang ke Malaysia. Tiba-tiba saya lihat ada sedikit tompok warna coklat di pad. Saya beranggapan itu bukanlah darah haid, tetapi mungkin tompokan itu keluar kerana saya melalui aktiviti fizikal yang lama seperti tawaf dan sa‘i kerana sebelum dan selepas itu, tiada lagi tompok warna coklat seperti itu untuk jam-jam seterusnya. Tempoh masa haid saya kering kadang-kadang 5 hari dan kadang-kadang 6 hari. Tetapi pada waktu tersebut, saya mandi wajib dan lakukan tawaf pada hari ke-5 haid saya, sebab sebelum itu saya lihat di pad sudah tiada lagi kesan darah. Jadi, bagaimanakah dengan umrah dan tawaf saya kerana kesan darah tersebut kelihatan dalam tempoh kurang dari 24 jam? Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama telah bersepakat bahawa hukum haji adalah fardhu dan tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang berpendapat sebaliknya. Oleh sebab itu, mereka menghukumkan sebagai kafir kepada sesiapa sahaja yang mengingkari sesuatu yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Demikianlah juga bagi ibadah umrah, hukumnya adalah fardhu sebagaimana haji menurut pendapat yang jelas daripada Imam al-Syafi‘i dan ayat di atas merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat menyatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang berkemampuan, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379).

Rukun-rukun umrah

Rukun ialah bahagian-bahagian asas bagi sesuatu ibadah. Justeru, rukun-rukun bagi ibadah umrah adalah seperti berikut:

  1. Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji.
  2. Melakukan tawaf umrah.
  3. Sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah
  4. Bercukur atau bergunting rambut.

Syeikh ‘Abd al-Fattah Husein menyatakan, difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah tertib. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/144; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 386).

Mendapati Ada Kesan Darah Setelah Menyempurnakan Semua Rukun Umrah

Pada asalnya, seseorang yang sedang berihram tidak disyaratkan untuk sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan bagi dua perkara, iaitu ketika solat dan tawaf. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Nabi SAW, Baginda bersabda:

لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ

Maksudnya:Tidak diterima solat seseorang itu (yakni disisi Allah SWT) melainkan dia berada dalam keadaan suci (daripada hadas).

Riwayat Muslim (224)

Begitu juga, bagi tawaf pula disebutkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/140-141) bahawa antara syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.

Bahkan Syeikh Daud al-Fatani ada menyebutkan secara jelas bahawa antara syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas — sama ada kecil atau besar — dan daripada najis yang tidak dimaafkan. (Lihat Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/282-283).

Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendapati dirinya dalam keadaan berhadas sama ada kecil atau besar, atau terkena najis yang tidak dimaafkan, maka tawaf yang dilakukannya adalah terbatal dan tidak sah. Namun sekiranya dia hanya mendapati kesan darah tersebut baru ada setelah satu tempoh yang lama seperti semasa di hotel setelah selesai ibadah umrah atau seumpamanya, maka dalam situasi ini ada kemungkinan darah tersebut keluar selepas selesai ibadah tawaf. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 50)

Contohnya, seorang perempuan itu yakin bahawa sepanjang ibadah tawafnya, dia melakukannya dalam keadaan suci. Setelah itu, dia menyelesaikan rukun-rukun umrah yang berbaki. Kemudian, di hotel, dia mendapati ada kesan darah pada dirinya. Maka, timbul keraguan dalam dirinya, adakah darah tersebut keluar semasa masih dalam ibadah umrah atau dalam perjalanan ke hotel — yakni setelah selesai ibadah umrah. Maka, dalam hal ini tawaf dan ibadah umrahnya itu adalah sah berdasarkan kaedah di atas kerana asalnya dia sudah yakin bahawa ibadah tawaf dan umrah yang dilakukannya itu adalah dalam keadaan suci. Justeru, apa-apa keraguan yang timbul selepasnya tidak boleh menghilangkan suatu hukum yang sudah dibina dengan yakin.

Kaedah lain ada juga menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya: “Hukum asal bagi suatu perkara yang berlaku ketentuannya berdasarkan masa yang paling hampir.”

Contohnya, seorang itu berwuduk dengan air perigi (yang sedikit) untuk beberapa hari dan menunaikan solat dengan wuduk tersebut. Kemudian dia mendapati selepas itu ada bangkai tikus di dalamnya. Maka, dalam hal ini, dia tidak diwajibkan qadha’ melainkan setelah dia yakin bahawa dia menunaikan solat dalam keadaan bernajis. (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 59).

Berdasarkan kaedah-kaedah di atas, kami cenderung menyatakan bahawa sekiranya wanita tersebut yakin bahawa kesan darah tersebut keluar setelah dia selesai mengerjakan tawaf, maka tawafnya itu dianggap sah kerana ada kemungkinan darah tersebut keluar selepasnya dan bukan semasa sedang tawaf. Bagi situasi ini, wanita tersebut termasuk dalam kalangan wanita yang melaksanakan ibadah tawaf semasa fatrah al-Naqa’ (tempoh bersih daripada darah).

Tawaf Semasa fatrah al-Naqa’

Dalam hal ini, terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Pertamanya, pendapat al-Sahb — dan ini merupakan pendapat yang muktamad — iaitu fatrah al-Naqa’ (tempoh faraj bersih daripada darah) yang berada pada waktu selang antara keluarnya darah haid, yang di dalam tempoh 15 hari, juga dianggap sebagai haid kerana kerana adat kebiasaan haid seorang wanita boleh berubah. Manakala darah yang keluar melebihi 15 hari dianggap sebagai darah istihadhah. Manakala pendapat kedua pula, yakni pendapat al-Laqt, iaitu menganggap fatrah al-Naqa’ itu sebagai waktu suci. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 166)

Oleh itu, pendapat kedua ini menatijahkan bahawa amalan puasa, solat dan tawaf yang dilakukan dalam tempoh tersebut adalah sah. Inilah juga pendapat yang banyak difatwakan oleh ramai ulama kontemporari, apabila melibatkan perlaksanaan ibadah haji dan umrah yang terikat dengan kemampuan ekonomi dari segi bebanan kewangan kerana tambahan perbelanjaan, peningkatan kos hotel, kos pengangkutan seperti tambang tiket kapal terbang atau bas, visa dan kebersamaan dengan rombongan.

Hal ini juga adalah selari sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Begitu juga, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الْآخَرِ، إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا، كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ

Maksudnya:Apabila Rasulullah SAW disuruh memilih di antara dua perkara, yang salah satunya lebih mudah daripada yang satu lagi, nescaya Baginda akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana Baginda tidak berdosa. Sekiranya ia adalah dosa, maka Baginda SAW ialah orang yang paling jauh meninggalkannya.

Riwayat Muslim (2327)

Dalam Resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan kali ke-35 yang diadakan pada 9-11 November 2018 memutuskan bahawa tempoh al-Naqa’ ditentukan berdasarkan pengalaman, realiti dan kebiasaan fatrah al-Naqa’ yang dialami oleh seseorang individu jemaah haji wanita terbabit sebelumnya, dengan tidak menentukan tempoh masa tertentu dan syarat-syarat darah tidak keluar semasa melakukan tawaf. Dalam erti kata lain, wanita tersebut tidak perlu tidak perlu menunggu sehingga 24 jam fatrah al-Naqa’ untuk menyelesaikan ibadah tawaf, sebaliknya boleh terus dilaksanakan tawaf apabila wanita tersebut yakin dia boleh melaksanakan ibadat tawaf dalam tempoh al-Naqa’ tersebut. Jika wanita tersebut tidak mendapati darah setelah selesai melaksanakan tawaf, maka ibadah tawaf itu dianggap sah, meskipun jika beberapa ketika selepas itu darah kembali keluar berdasarkan pendapat al-Laqt tadi.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan penghujahan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa seorang wanita yang menunaikan ibadah umrah itu diharuskan menggunakan pendapat al-Laqt bahawa fatrah al-Naqa’ (yakni tempoh faraj bersih daripada darah) dianggap sebagai waktu suci. Justeru, ibadah solat, tawaf dan seumpamanya yang dilaksanakannya pada tempoh tersebut dikira sebagai sah.

Walau bagaimanapun, dia hendaklah mandi wajib terlebih dahulu, kemudian barulah menyelesaikan ibadah tawafnya. Begitu juga, dia tidak disyaratkan untuk menunggu selama 24 jam berhentinya darah bagi memulakan ibadah tawaf. Sekiranya darah haid keluar semula, setelah dia menyelesaikan ibadah tawafnya, hal tersebut tidak menjejaskan kesahan tawafnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 04/01/2022 bersamaan 01 Jamadil Akhir 1443H