Soalan
Bagaimana dengan kiraan iddah bagi wanita yang telah terputus haidnya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61).
Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:[1]
- Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal. Oleh itu Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
- Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya.
Berdasarkan persoalan di atas, terdapat dua keadaan iddah bagi wanita yang telah terputus haidnya:
- Pertama: Iddah Wanita Terputus haid Yang Kematian Suami.
Tempoh iddah bagi seorang wanita yang telah kematian suami, dan dirinya sudah terputus kitaran haid adalah selama empat bulan sepuluh hari. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: "Dan sesiapa yang telah meninggal dunia dari kalangan kamu dan mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka itu (para isteri) beriddah selama empat bulan sepuluh hari."
(Surah al-Baqarah: 234)
Ayat di atas ini umum meliputi wanita-wanita muda yang kematian suami dalam keadaan mereka masih didatangi haid dan juga bagi wanita-wanita yang telah terputus haid. Justeru, iddah wanita terputus haid yang kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari.
- Kedua: Iddah Wanita Terputus haid Yang Diceraikan Suami
Namun sekiranya seorang wanita yang terputus haid itu diceraikan oleh suaminya, dan bukan disebabkan kematian suami, maka iddah baginya adalah selama tiga bulan. Ini berdalilkan firman Allah SWT:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya: "Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya (terputus haid) dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu—ragu (berkenaan iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid)."
(Surah al-Talaq: 4)
Justeru, iddah bagi seorang wanita yang terputus haid terbahagi kepada dua. Iaitu sama ada dia kematian suami atau dia diceraikan oleh suaminya. Sekiranya dia diceraikan oleh suaminya, maka iddahnya adalah selama tiga bulan dan sekiranya dia beriddah disebabkan kematian suaminya, maka iddahnya adalah selama empat bulan sepuluh hari.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin
Wallahua`lam.
[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61