Skip to content

S:181 Tanam Pokok Atas Tanah Orang Lain

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Adakah dibolehkan menanam tanaman di kawasan orang lain?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara umumnya, kita dilarang untuk menggunakan atau memakan harta seseorang secara bathil. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya)”

(Surah al-Nisa’: 29)

Al-Maraghi berkata: ‘Batil’ bererti sia-sia, manakala menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168).

Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata, maksud memakan harta dengan cara batil ialah iaitu dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar’ie seperti riba, judi, ghasb, dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat Tafsir al-Munir, 5/31).

Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya:Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”

Riwayat al-Daraqutni (2885)

Secara asasnya, perkara ini telah jelas diterangkan dalam satu hadis Nabi SAW yang menceritakan berkenaan seseorang yang telah menanam pohon kurma pada tanah seorang ansar. Perkara tersebut telah dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub RA :

أَنَّهُ كَانَتْ لَهُ عَضُدٌ مِنْ نَخْلٍ فِي حَائِطِ رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ قَالَ وَمَعَ الرَّجُلِ أَهْلُهُ قَالَ فَكَانَ سَمُرَةُ يَدْخُلُ إِلَى نَخْلِهِ فَيَتَأَذَّى بِهِ وَيَشُقُّ عَلَيْهِ فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَطَلَبَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَهَبْهُ لَهُ وَلَكَ كَذَا وَكَذَا ‏"‏ ‏.‏ أَمْرًا رَغَّبَهُ فِيهِ فَأَبَى فَقَالَ ‏"‏ أَنْتَ مُضَارٌّ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِلأَنْصَارِيِّ ‏"‏ اذْهَبْ فَاقْلَعْ نَخْلَهُ ‏"

Maksudnya: "Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun milik salah seorang ansar. Tempat tersebut didiami oleh orang ansar tersebut bersama keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon kurma yang tumbuh di tanah orang ansar tersebut. Kedatangan Samurah pada tanah tersebut mengganggu dan menyebabkan orang Ansar tersebut yang merasa tidak selesa. Orang ansar tersebut menawarkan kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Orang ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran tersebut. Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi SAW. Nabi SAW meminta Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SAW meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SAW mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.” Nabi SAW sebutkan hal yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi SAW mengatakan, “Kamu ini memang pengganggu” Nabi SAW lantas berkata kepada si ansar, “Pergilah dan tebang saja pohon kurmanya”

Riwayat Abu Dawud (3636)

Berdasarkan kepada hadis di atas, kami dapat nyatakan bahawa pemilikan mutlak tanah tersebut adalah ke atas pemilik tanah yang asal. Manakala pemilik pohon tersebut adalah milik penanam pokok tersebut. Hal ini jelas berdasarkan tafsir hadis diatas apabila nabi mengatakan “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!”. Perkara ini menunjukkan bahawa pemilik tanah dibolehkan untuk menebang pokok tersebut dan memberi pokok yang ditebang tersebut kepada penanam pokok tersebut.

Dalam isu ini, kami melihat jika tuan tanah mengizinkannya untuk menanam pada tanahnya, maka hal ini tidak menjadi masalah. Sekiranya tuan tanah tersebut mahu semula tanah tersebut, maka penanam pokok perlu untuk membuang serta membersihkan tanaman tersebut seperti sediakala. Namun jika terdapat kerosakan pada tanah tersebut, penanam tersebut perlu dikenakan denda atau menggantikan semula tanah tersebut supaya menjado seperti keadaan asal. Selain itu, tuan tanah juga boleh mengenakan sewa keatas penanam tanah tersebut selama mana dia menggunakan tanah tersebut.

Pada pandangan kami, tuan tanah tidak berhak ke atas pohon-pohon yang telah ditanam tersebut, namun pemilik tanah boleh meminta izin kepada penanam pokok tersebut sebelum memakan tanaman tersebut. Hal ini adalah berdasarkan kepada dalil al-Quran yang jelas seperti yang berikut :

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah."

(Surah al-Baqarah: 188)

Kepada pihak penanam pokok pula mestilah meminta izin kepada tuan tanah dahulu sebelum membuat sebarang penanaman di atas tanah bukan milik kita. Hal ini adalah kerana, perkara tersebut akan memberi kesusahan dan kemudaratan kepada pihak tuan tanah. Ini dapat dilihat berdasarkan hadis dari Nabi SAW seperti berikut :

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: "Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan kemudaratan atas orang lain."

Riwayat Ibn Majah (2341)

Amatlah baik sekiranya dibuat perjanjian secara bertulis terlebih dahulu sebelum menanam sesuatu tanaman pada tanah orang lain. Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H