Skip to content

S:197 Solat Sambil Memejam Mata

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang memejam mata ketika melakukan solat agar dapat meningkatkan tahap kekhusyukannya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.

Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466). Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.

Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: 'Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: " خَاشِعُونَ" (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu' di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: "Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka." Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 5/110).

Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/329).

Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.

Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:

Kami kemukakan juga di sini beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk.

Kata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.

Menurut Syeikh Muhammad Rasyid Ridha, maksud khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301).

Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:

Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.

Isu Memejam Mata Ketika Solat

Pada asasnya, kita disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud semasa solat. Ini berdasarkan beberapa riwayat seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar yang menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin yang berkata:

“Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah SWT:

قَد أفْلَحَ المُؤمِنُون الَّذِينَ هُم فِي صَلاتِهِم خَاشِعُون

Maksudnya: “Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu’ di dalam solat mereka.”

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka.” (Lihat Fath al-Bari, 2/272).

Riwayat di atas seakan memberikan makna kepada kita bahawa ciri-ciri solat yang khusyu’ itu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan tidak berpaling ke kiri dan ke kanan, melihat ke atas, dan seumpamanya. Lalu para sahabat pun memandang ke tempat sujud sahaja. Ia memberi isyarat bahawa kekhusyukan itu terhasil apabila mereka yang sedang solat memandang ke tempat sujud.

Manakala perbuatan memejamkan mata semasa solat dihukumkan sebagai makruh di sisi sebahagian fuqaha kerana bercanggahan dengan galakan memandang ke tempat sujud. Mereka berhujah dengan menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلَا يُغْمِضْ عَيْنَيْهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu berdiri di dalam solatnya maka janganlah dia memejamkan matanya.”

Riwayat al-Tabarani (1/37)

Menurut Ibn al-Qayyim, diambil faedah dari hadis-hadis sebegini dan selainnya secara keseluruhannya adalah, terhasilnya pengetahuan bahawa baginda SAW tidak memejamkan matanya di dalam solat. Para fuqaha telah berbeza pandangan akan kemakruhannya. Imam Ahmad dan selainnya berpendapat bahawa makruh menutup mata di dalam solat. Beliau berkata ini merupakan perbuatan golongan Yahudi. Dan para ulama lain pula membolehkannya dan tidak memakruhkan perbuatan tersebut. Mereka berpendapat, boleh jadi ia lebih hampir kepada menghasilkan kekhusyukan yang merupakan inti solat, roh, serta maksud sebenar solat.

Beliau kemudian menyebut: Pandangan yang tepat adalah: Sekiranya membuka mata (di dalam solat) itu tidak merosakkan kekhusyukan, maka itu adalah lebih afdhal. Sekiranya membuka mata itu menghalang antara dirinya dengan kekhusyukan seperti di hadapannya ada perkara-perkara yang mengganggu hatinya, maka tiada masalah untuk seseorang itu menutup matanya secara pasti. Dan pandangan yang mengharuskan menutup mata dalam keadaan sebegini adalah lebih hampir kepada usul dan maqasid syara’ berbanding pandangan yang menyatakan ia makruh.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/284-285).

Pandangan beliau ini adalah selari dengan pendapat tokoh terkemuka dalam mazhab Imam Al-Syafi’e iaitu Imam Izzuddin Izz bin Abd Al-Salam yang berkata: “Memejam mata di dalam solat apabila melihat seseorang yang buruk solatnya, sekiranya perkara tersebut mengganggu kekhusyukannya, serta hadirnya hatinya bersama Tuhannya (dalam keadaan memejam mata), maka memejam mata adalah lebih utama berbanding membukanya.” (Lihat Fatawa Izz Ibn Abd al-Salam, no. 31).

Kesimpulan

Kami nyatakan bahawa hukum memejam mata di dalam solat pada asalnya adalah makruh kerana bercanggahan dengan tuntutan memandang ke tempat sujud. Meskipun begitu, sekiranya didapati dengan memejam mata akan lebih membantu untuk fokus dan khusyuk di dalam solat, maka ianya dibolehkan dan kadang kala menjadi lebih utama.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H