Soalan
Apakah hukum menjawab salam?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim. Memberi dan menjawab salam merupakan satu sunnah yang sangat dituntut di dalam agama ini. Allah SWT ada berfirman di dalam al-Quran :
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Maksudnya : “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).
Surah al-Nisa’ : 86
Ibn al-Arabi menyatakan di dalam Ahkam al-Quran (2/330-331) : Apabila menjawab salam, hukumnya wajib tanpa terdapat khilaf. Para ulama’ mazhab maliki menjadikan ayat ini sebagai dalil wajibnya memberi balasan dalam soal hibah mata benda (hibah al-thawab) iaitu Pemberian hadiah yang memerlukan kepada balasan atau ganjaran . Sebagaimana dalam ucapan penghormatan, orang yang diucapkan penghormatan wajib membalas ucapan penghormatan tersebut, maka begitulah jika di dalam hibah al-thawab, wajib dibalas begitu juga.
Beliau menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’ie: Kita tidak buat satu amalan kepada Allah melainkan agar Allah memberikan pahala kepada kita. Apatah lagi kalau pemberian sesama kita.
Nabi SAW pernah bersabda kepada Aisyah R.Anha :
يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ، فَقُلْتُ : وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى
Maksudnya: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab : ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat.
Riwayat al-Bukhari (3217) dan Muslim (2447)
Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan: “Sesiapa yang telah sampai padanya salam (daripada seseorang yang lain), hendaklah dia menjawabnya. Menjawab salam tersebut adalah wajib (ke atas dirinya) dengan segera. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 15/211)
Imam al-Nawawi menyatakan lagi: Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah dan menjawabnya adalah wajib. Jika seorang muslim itu berada di dalam kumpulan maka menjadi sunnah kifayah pada hak mereka apabila sebahagian daripada mereka sahaja yang mengucapkan salam dan mereka memperoleh sunnah salam itu bagi kesemua mereka. Apabila seorang muslim itu bersendiri maka menjadi fardhu ain ke atasnya untuk menjawab. Jika mereka di dalam Jemaah maka menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah pada hak mereka kerana jika seorang daripada mereka menjawab maka gugurlah dosa terhadapa yang lain. Akan tetapi, yang afdhal adalah kesemuanya memberi salam dan kesemuanya menjawabnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/140)
Sebagai penutup, kami ingatkan bahawa sunat bagi sesiapa sahaja untuk memberi salam berdasarkan situasi yang sesuai dengan yang diajar oleh Nabi SAW, Namun, salam wajib dijawab sebagaimana yang telah kami nyatakan di atas. Kami akhiri perbincangan kali ini dengan kata-kata daripada Imam al-Nawawi:
“Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah yang disukai dan ia bukanlah bersifat wajib. Ia juga merupakan Sunnah Kifayah yang bermaksud apabila seorang muslim dalam keadaan berjemaah (berkumpulan) maka sudah memadai bagi mereka jika seorang sahaja daripada kalangan mereka yang mengucapkannya. Jika kesemuanya mengucapkan salam maka itu adalah lebih baik. Adapun menjawab salam, jika yang diucapkan salam itu seorang maka dia perlulah menjawabnya dan jika yang diucapkan itu adalah ramai atau berkumpulan maka ia menjadi fardhu kifayah ke atas mereka untuk menjawabnya. Apabila seorang daripada mereka sudah menjawab salam maka ia sudah memadai bagi yang lain dan jika kesemuanya tidak menjawab maka kesemuanya berdosa. Namun, jika kesemuanya menjawab salam maka ia adalah di tahap yang paling sempurna dan baik.” (Lihat al-Azkar, hlm. 394)
Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.
Wallahua`lam.