Skip to content

S:218 Gabung Mazhab dalam Satu Jenis Ibadah

Posted on:December 25, 2023 at 03:38 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana jika seseorang menggabungkan beberapa mazhab dalam satu jenis ibadah. Contohnya, seperti dia gabungkannya ketika melakukan solat? Adakah termasuk tatabbu’ al-rukhas. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tatabbu’ al-Rukhas adalah perlakuan seseorang yang mengumpulkan dan mengambil pendapat yang paling mudah daripada setiap mazhab terhadap masalah-masalah yang berlaku kepadanya.[1]

Dalam masalah ini terdapat khilaf di antara ulama sama ada dibenarkan atau tidak:

Pendapat Pertama: Imam Ghazali berpendapat bahawa Tatabbu’ al-Rukhas dalam mazhab-mazhab adalah terlarang kerana ia lebih mengikut hawa nafsu manusia. Pendapat ini adalah yang terkuat di dalam mazhab Maliki, dan Hanbali. Dinukilkan daripada Ibnu Abdil Bar dan Ibnu Hazim mereka berkata, tidak boleh bagi seseorang awam (muqallid) beramal dengan Tatabbu’ al-Rukhas secara ijma’[2] kerana ia membawa kepada penghapusan taklif dalam setiap perkara khilaf.[3]

Pendapat Kedua: Imam Qarafi, kebanyakan ulama Syafie dan pendapat terkuat dalam Mazhab Hanafi berpendapat bahawa Tatabbu’ al-Rukhas adalah dibolehkan, mereka beralasan tiada halangan daripada syariah kerana seseorang itu boleh mengikut pendapat mudah apabila di sana terdapat jalan untuk mengambil pendapat yang mudah itu selama dia belum bertaqlid dengan pendapat mujtahid yang lain dalam masalah yang sama kerana seseorang muqallid tidak boleh berpatah balik terhadap pendapat yang dia sudah beramal.[4]

Tetapi dalam masalah ini, Imam Qarafi membuat syarat menyatakan bahawa hendaklah tidak berlaku kesudahan daripada pengambilan rukhsah tersebut– sehingga dia mengambil pendapat yang tidak sah di sisi semua ulama yang dia bertaqlid.

Contohnya: Dia mengikut pendapat Imam Malik dalam kes tidak batal wudhuk apabila tersentuh wanita tanpa syahwat, dalam masa yang sama dia berwudhuk mengikut pendapat Imam Syafie bahawa tidak wajib menggosok anggota wudhuk ketika berwudhuk atau tidak wajib menyapu semua kepala. Sesungguhnya solat yang dia lakukan ini menjadi batal sebab wudhuknya tidak sah di sisi kedua-dua imam ini.[5]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa syarat ini tidak ada dalil daripada nas dan ijma’. Apabila seseorang itu boleh berlainan pengambilan di antara mujtahid iaitu boleh bertaqlid di antara mazhab-mazhab mereka lebih aula (utama) dia boleh berlainan pengambilan pendapat-pendapat di antara para mujtahid.[6]

Dalam masalah ini, Syeikh Hasanin Makhluf, Syeikh Muti dan Dr Ahmad Mansur Ali berpendapat talfiq atau Tatabbu’ al-Rukhas adalah dibolehkan.

Dalam kitabnya, Fatawa Syar'iyyah wa Buhuth Islamiyyah (hlm. 76), Syeikh Hasanain Makhluf berpendapat bahawa talfiq adalah harus dalam masalah-masalah berlainan sama ada dalam keadaan darurat atau tidak darurat meliputi ibadah dan muamalat untuk kerahmatan kepada umat. Beliau menyebutkan lagi sekiranya seseorang itu berwudhuk menggunakan mazhab Hanafi dan bersolat dengan bertaqlid kepada mazhab Syafie atau sebaliknya itu adalah harus.

Beliau berkata, tattabu’ rukhas (menurut yang lebih mudah) dalam masalah berlainan tidak mengapa kerana ia tidak menyanggah ijmak. Beliau mengatakan dalam menjawab pertanyaan orang meminta fatwa bahawa talfiq dengan menggunakan tattabu’ rukhas adalah harus seperti seseorang itu menggunakan air musta’mal yang sedikit untuk berwudhuk kemudian dia bertaqlid kepada mazhab Hanafi  bahawa menggosok dan niat adalah tidak wajib maka semua tindakan adalah harus.

Beliau juga menyatakan seseorang yang berwudhuk dengan mazhab Syafie kemudian dia tersentuh wanita dan bersolat tanpa mengulangi wudhuk dengan bertaqlid kepada mazhab Hanafi maka talfiq ini adalah harus.

Beliau menerangkan bahawa talfiq yang terlarang apabila melakukan tattabu’ rukhas dalam satu masalah contohnya seseorang itu mengambil wudhuk dengan meninggalkan tertib mengikut mazhab Hanafi dan menyapu kepala kurang daripada ¼ daripada bahagian kepala maka cara ini adalah terlarang.[7]

Sementara Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili merumuskan tentang permasalahan talfiq dengan berkata, “Tidak menjadi halangan melakukan tattabu’ rukhas di dalam keadaan darurat atau hajat tanpa ada niat untuk bermain–main atau seronok dan dengan syarat tidak membawa kepada talfiq yang terlarang.”[8]

Isu Gabung Beberapa Mazhab dalam Satu Jenis Ibadah

Untuk menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum mengamalkan sesuatu ibadah ataupun mengambil pendapat mazhab yang lain dalam sesuatu ibadah:

Pertama: Jika ianya bertujuan untuk Tatabbu’ al-Rukhas (تتبـع الرخص), maka seharusnya dielakkan. Tatabu’ al-Rukhas yang dimaksudkan di sini adalah mengambil jalan/pendapat yang mudah dalam satu-satu permasalahan fiqh khususnya tanpa melalui proses pentarjihan yang syar’ie serta mengikut hawa nafsu. Al-Imam Ibn Abd al-Bar dan al-Imam Ibn Hazm mengatakan perbuatan ini dilarang secara ijma’. Turut berpendapat bahawa tatabu’ al-Rukhas ini ditegah perbuatannya adalah al-Imam al-Ghazali, al-Imam al-Nawawi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan juga al-Imam al-Syatibi.

Kedua: Sekiranya terdapat hadith yang sahih berserta kefahaman yang benar terhadap hadith tersebut, maka ianya boleh diamalkan. Ini sepertimana yang selalu disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah yang mana beliau menyebutkan:

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي

Maksudnya: “Jika sahih sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabku.”[9]

Ketiga: Mengikuti satu mazhab serta mendalaminya, kami fikir lebih utama untuk diamalkan bagi melihat keseragaman dan juga keluar dari khilaf di pandangan orang lain yang mana boleh menimbulkan persepsi, selagi mana perkara tersebut bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

[1] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili, 2/1182

[2] Dakwaan ijma’ ini tidak tepat kerana di sana ada yang membolehkan seperti Kamal Ibnu Humam.

[3] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/1182

[4] Lihat Fatawa Syar'iyyah wa Buhuth Islamiyyah oleh Syeikh Hasanain Makhluf hlm. 76

[5] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/1182

[6] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/1183

[7] Lihat Fatawa Syar'iyyah, hlm. 77-78

[8] Lihat al-Rukhas al-Syar'iyyah: Ahkamuha wa Dawabituha, hlm. 18

[9] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 15/461; Tuhfah al-Muhtaj, 1/54 dan Mughni al-Muhtaj, 1/110