Skip to content

S:221 Zihar Sementara

Posted on:December 25, 2023 at 03:38 AM

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan zihar sementara?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dari segi bahasa, zihar (ظِهَار) adalah kata terbitan (masdar) yang berasal daripada kata kerja bahasa arab ‘za ha ra’ (ظَاهَرَ) dalam ungkapan ‘zahara min imra’atihi’ (ظَاهَرَ مِن َامْرَأتِهِ) yang bermaksud ‘menziharkan isterinya’. Dalam aplikasi sebenar, zihar merujuk kepada perkataan seseorang suami terhadap isterinya:“Anti kazahri ummi” (أنْتِ كَظَهْرِ أمِّي) yang bermaksud: “Engkau seperti belakang ibuku.”

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar adalah perbuatan suami melafazkan kata kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, (si suami wajib mwmbayar kifarat zihar).[1]

Ia dinamakan sebagai zihar kerana merujuk kepada perbuatan yang berasal daripada perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya. Aspek penyamaan yang dibuat itu menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.

Dari segi istilah, zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalak secara bain dengan wanita yang mahram muabbad (selamanya) kepadanya.[2]

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.[3]

Imam Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya[4]: Asal zihar adalah dari kalimah al-zahr (bahagian belakang). Hal ini kerena, golongan jahiliyyah apabila mereka saling menziharkan isteri mereka, dia akan berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku’’.

Manakala menurut syarak, zihar itu berlaku pada keseluruhan anggota badan diqiyaskan kepada bahagian belakang. Dahulunya zihar di anggap sebagai talak pada zaman jahiliyyah. Kemudian Allah memberikan rukhsah (keringanan) kepada umat ini dengan menjadikan pada zihar itu ada kaffarah dan tidak menjadikan ia sebagai talak sebagaimana  yang berlaku pada zaman jahiliah.

Merujuk kepada ayat di atas, zihar disifatkan sebagai ucapan yang mungkar lagi dusta. Keduanya itu merupakan suatu bentuk keharaman yang menjadikan zihar dalam maksudnya yang sebenar adalah haram hukumnya. Manakala di dalam kitab Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, disebutkan hukum zihar adalah haram dan termasuk daripada dosa besar dan siapa yang melakukannya dianggap berdosa dengan ijma’. [5]

Berikut kami kongsikan beberapa tafsiran yang dikemukakan oleh para mufassir berkenaan ayat ini. Di antaranya:

Imam al-Thabari berkata: Dan mereka yang mengharamkan isteri-isteri mereka ke atas diri mereka sendiri dengan sesuatu yang Allah S.W.T haramkan ke atas mereka, iaitulah bahagian belakang ibu-ibu mereka. Lalu mereka mengucapkan kepada isteri mereka: ‘’Kamu adalah seperti bahagian belakang ibu aku ke atas diriku’’. Hal sebegini merupakan suatu bentuk talak seorang lelaki kepada isterinya pada zaman  jahiliah. Dari Abu Qilabah beliau berkata: “Zihar merupakan talak pada zaman jahiliah’’.[6]

Imam al-Qurthubi pula mengulas ayat ini dengan katanya: Hakikat zihar adalah menyerupakan bahagian belakang dengan bahagian belakang. Iaitu menyamakan bahagian belakang yang halal kepada bahagian belakang yang haram. Oleh yang demikian para ulama telah ijma’ (bersepakat) bahawa sesiapa yang mengatakan kepada isterinya: ‘’Kamu ke atas aku seperti bahagian belakang ibu aku’’, merupakan seorang yang melakukan zihar. Manaka kebanyakan ulama pula berpandangan zihar berlaku sekiranya seorang suami berkata kepada isterinya: ‘’Kamu ke atasku seperti belakang anak perempuanku, atau belakang adik beradik perempuanku’’, dan selainnya dari kalangan mahram. [7]

Berdasarkan persoalan di atas, hukum zihar yang bertempoh adalah sah terhadap isteri untuk tempoh sementara.[8]

Imam al-Nawawi menyatakan, hal Ini kerana ia dikira seperti zihar yang bersyarat. Contoh lafaznya seperti: “Kamu bagiku seperti punggung ibuku selama sebulan.” Dengan lafaz ini, maka berlakulah zihar terhadap isteri dalam tempoh sebulan, berakhirlah hukum zihar dan isteri kembali halal disetubuhi seperti sebelum berlaku zihar. Walaupun begitu, suami tetap berdosa kerana perbuatan melakukan zihar adalah haram, sekalipun ia dilakukan untuk tempoh yang singkat. Jika zihar sementara itu dilakukan selama tempoh melebihi empat bulan, maka ia akan dikira seperti hukum ila’. Walaubagaimanapun, suami tidak dikenakan kifarat ila’, jika dia menyetubuhi isterinya sebelum tamat tempoh tersebut kerana ketiadaan sumpah. Bahkan ia hanya dikenakan kifarat zihar sahaja. [9]

Sebagai kesimpulan, walaupun hukum zihar secara bertempoh adalah sah dan tidak dikenakan kaffarah, namun hukumnya tetap haram dan berdosa serta wajib dijauhi. Kami berpandangan bahawa seseorang suami hendaklah berhati-hati dan menjaga lidahnya dari bermudahan mengucapkan sesuatu yang boleh merosakkan hubungan suami isteri di dalam perkahwinan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=zihar

[2] Lihat Mughni al-Muhtaj, hlm. 448

[3] Surah al-Mujadilah: 2

[4] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/42

[5] Lihat Takmilah al-Majmu’, 16/341

[6] Lihat Tafsir al-Thabari, 23/228

[7] Lihat Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/246

[8] Lihat Mughni al-Muhtaj, hlm. 454

[9] Lihat Mughni al-Muhtaj, hlm. 455