Skip to content

S:267 Suami Menyesal Berkahwin

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Adakah jatuh talak sekiranya suami berkata bahawa dia menyesal bernikah dengan isterinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Talak merupakan satu lafaz yang memutuskan dan membatalkan hubungan perkahwinan pasangan yang telah berkahwin dan ianya terbahagi kepada dua, iaitu secara lafaz yang jelas ataupun kiasan. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/14-18) menyebut:

Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas

Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.

Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.

Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak. Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.

Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)

Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.

Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:

Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.

Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: “Engkau haram atasku” tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh.

Berdasarkan persoalan diatas, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia juga tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talak yang dibincangkan. Oleh itu, talak tidak jatuh terhadap isteri tersebut.

Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya:Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

Surah al-Nisa: 34-35

Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya: “Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita. Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)

Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama’, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati.

Kami mengambil kesempatan untuk menasihati para suami supaya sama-sama merima kelemahan dan kekurangan isteri sebagaimana isteri menerima kelemahan dan kekurangan kita. Hiduplah dengan harmoni serta mencari titik persefahaman dalam rumah tangga adalah tuntutan dalam Islam. Sesungguhnya isteri adalah pakaian yang melengkapi diri kita, dan kita adalah pakaian yang melengkapi diri isteri kita. Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagiaan dalam rumah tangga kita. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H