Skip to content

S:229 Makan dan Minum Pembatal Wuduk?

Posted on:December 25, 2023 at 03:38 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah wuduk terbatal sekiranya makan dan minum? Lalu bolehkah terus pergi menunaikan solat tanpa berkumur-kumur terlebih dahulu? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya:Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (yakni beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (yakni berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)

Makan dan minum pembatal wuduk?

Mengenai hal ini, menurut mazhab al-Syafi‘i suatu makanan itu tidak akan membatalkan wuduk seseorang, tidak kira makanan itu dimasak (disentuh api) ataupun tidak, kecuali daging unta. Ulama mazhab al-Syafi‘i berbeza pendapat pada daging unta (yakni sama ada membatalkan wuduk atau tidak) kepada dua pendapat. Pendapat jadid lagi masyhur, ia tidak membatalkan wuduk dan ini merupakan pendapat muktamad di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i. Manakala pendapat kedua pula — iaitu pendapat qadim — daging unta membatalkan wuduk dan ini merupakan pendapat yang lemah di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i. Walau bagaimanapun, menurut al-Nawawi, pendapat yang lemah ini sebenarnya adalah lebih kuat dan sahih dari sudut dalil, dan beliau lebih cenderung kepada pendapat ini dari sudut ketepatannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 57/2)

Pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i ini, bertepatan dengan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

إِنَّما الوُضوءُ ممّا يخرجُ وليسَ مما يدخلُ

Maksudnya:Sesungguhnya wuduk itu disebabkan oleh apa yang keluar, bukannya disebabkan oleh apa yang masuk.

Riwayat al-Baihaqi (8512); al-Nawawi menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan atau sahih. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/317).

Selain itu, terdapat hadith lain yang jelas menunjukkan bahawa Baginda SAW makan, lalu pergi menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduknya, mahupun berkumur-kumur. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

تَعَرَّقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتِفًا، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى وَلَمْ يَتَوَضَّأْ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menggigit (mencarik) paha kambing, kemudian Baginda SAW bangun dan menunaikan solat tanpa (memperbaharui) wuduk.

Riwayat al-Bukhari (5404)

Begitu juga dalam soal minuman. Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أنَّ رسولَ اللهِ ﷺ شَرِبَ لبَنًا فلم يمضمِضْ ولم يتوضَّأْ وصلّى

Maksudnya:Rasulullah SAW minum susu. Lalu Baginda tidak berkumur-kumur dan tidak juga (memperbaharui) wuduk, kemudian Baginda solat.

Riwayat Abu Dawud (197)

Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi menyatakan, hadith di atas menunjukkan bahawa perbuatan berkumur-kumur selepas meminum susu atau selainnya yang mengandungi lemak, bukanlah suatu perintah yang mesti, tetapi merupakan pilihan. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 1/228)

Bukan itu sahaja, bahkan perbuatan berkumur-kumur selepas minum susu atau sesuatu yang berlemak itu adalah disunatkan. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya, bab menyatakan dalil bahawa berkumur-kumur selepas meminum susu adalah sunat bagi menghilangkan lemak (lemak susu) di dalam mulut dan bukannya mewajibkan berkumur-kumur selepas meminumnya. (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/29)

Tambahan lagi, al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa disunatkan untuk berkumur-kumur selepas minum susu. Begitu juga disunatkan untuk berkumur-kumur selepas makan dan minum, supaya tidak ada baki sisa yang tertinggal lalu dia menelannya semasa sedang solat. Juga bagi menghilangkan lekit dan lemaknya serta membersihkan mulutnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/46)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H