Skip to content

S:232 Bermimpi tetapi Tidak Keluar Air Mani

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Seseorang telah bermimpi melakukan jimak. Akan tetapi apabila tersedar daripada mimpinya, dia mendapati tidak ada tanda bahawa air mani telah keluar, adakah dia perlu mandi wajib? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Mandi telah disyariatkan oleh Allah SWT sama ada untuk kebersihan ataupun mengangkat hadas dan sama ada ia menjadi syarat sah ibadat ataupun tidak. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Ertinya, Allah suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/71)

Al-Syaukani pula menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44)

Mandi wajib

Mandi wajib adalah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi.  Di antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi adalah keluarnya air mani, sama ada dalam kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73-74)

Ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Salamah R.Anha, beliau berkata:

جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ إِلَى رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَحْيِى مِنَ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ

Maksudnya:Ummu Sulaim datang menemui Rasulullah SAW, lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Allah tidak malu kepada perkara yang benar, adakah perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi bersetubuh?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya, sekiranya dia bermimpi hingga keluar mani.’

Riwayat al-Bukhari (278) dan Muslim (313)

Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas hadith ini menyatakan bahawa jika seseorang perempuan itu mendapati keluarnya air mani selepas bermimpi maka dia perlu mandi. (Lihat Fath al-Bari, 1/389)

Justeru, hadith di atas menunjukkan muqayyad (keterikatan) mandi wajib dengan keluarnya air mani. Mafhumnya, jika tidak keluar air mani maka tidak perlu mandi wajib.

Pendapat ini juga dikuatkan dengan sebuah hadith lain daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Baginda menjawab: ‘Dia hendaklah mandi.’ Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: ‘Dia tidak wajib mandi.’ Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: ‘Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi?’ Baginda SAW menjawab: ‘Ya, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki.’”

Riwayat Abu Dawud (236)

Maksud ‘pasangan kepada lelaki’ ialah kejadian dan tabiat perempuan adalah setara dengan lelaki. Ini seolah-olah mereka sebahagian daripada lelaki. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/74)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, sesiapa yang bermimpi melakukan persetubuhan tetapi tidak keluar air mani, maka tidak perlu baginya untuk mandi wajib berpandukan kepada hadith di atas sebagaimana yang telah kami sebutkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H