Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah makmum perlu menjawab salam imam apabila imam memberi salam di penghujung solat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, memberi salam pertama di dalam solat termasuk di dalam rukun-rukun solat dan jika seseorang itu tidak memberi salam pertama di dalam solatnya maka solatnya adalah tidak sah. Hal ini sebagaimana dijelaskan di dalam sebuah hadith daripada Ali bin Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
Maksudnya: “Kunci solat (tanpanya solat tidak sah) adalah bersuci (berwudhuk), pengharamannya (haram daripada melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah ketika bertakbir (takbirat al-Ihram) dan penghalalannya (halal untuk melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah setelah memberi salam.”
Riwayat Abu Dawud (618). Hadith dinilai hasan lighairihi oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’uth.
Imam Nawawi mengulas hadis di atas dengan katanya: “Memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475-476)
Memberi salam yang pertama adalah termasuk di dalam rukun solat kategori qauliyyah. Ianya dinamakan sebagai qauliyyah kerana disyaratkan kepada orang yang solat bagi melafazkan sebutannya yang didengari dirinya sendiri. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208)
Seringkas-ringkas lafaz salam adalah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya ialah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke kanan dan pada kali kedua pula berpaling ke kiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/300; Mughni al-Muhtaj, 1/385 dan Raudhah al-Talibin, 1/267-268)
Hal ini adalah berdasarkan hadis, daripada Sa’d bin Abi Waqqas RA :
كُنْتُ أَرى رَسولَ اللهِ ﷺ يُسَلِّمُ عن يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسارِهِ، حتّى أَرى بَياضَ خَدِّهِ.
Maksudnya : “Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.”
Riwayat Muslim (582)
Adapun memberi salam dengan lafaz (عَلَيْكُمُ السَّلَامُ), menurut mazhab Syafie ianya diterima tetapi hukumnya adalah makruh. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/90; Raudhah al-Talibin, 1/267; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/476 dan al-Azkar li al-Nawawi, hlm. 148)
Berbalik kepada persoalan di atas, dalam permasalahan ini, terdapat sebuah hadis Samurah bin Jundub berkata:
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ نُسَلِّمَ عَلَى أَنْفُسِنَا وَأَنْ يُسَلِّمَ بَعْضُنَا عَلَى بَعْضٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami untuk kami memberi salam kepada diri kami, dan memberikan salam sebahagian daripada kami untuk sebahagian yang lain.”
Riwayat Abu Dawud (1001)
Dalam hadis yang lain, Saidina Ali RA menceritakan tentang solat Nabi SAW, beliau berkata:
يَفْصِلُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ بِالتَّسْلِيمِ عَلَى الْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِينَ وَالنَّبِيِّينَ وَالْمُرْسَلِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Baginda memisahkan setiap dua rakaat dengan salam kepada para malaikat (yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah), para Nabi, para Rasul , dan mereka yang mengikut mereka daripada golongan orang yang beriman dan orang-orang Islam.”
Riwayat al-Tirmizi (598)
Berdasarkan dua hadis ini, kami nyatakan bahawa isu ini dibahaskanoleh sebahagian ulama’. Antaranya, para ulama’ mazhab al-Syafie menyatakan disunatkan kepada orang yang mendirikan solat, berniat ketika memberi salam yang pertama untuk malaikat, manusia dan jin yang beragama Islam di sebelah kanan. Kemudian disunatkan pada salam kedua diniatkan bagi yang berada di sebelah kiri. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/131)
Bagi Imam pula boleh menambah di dalam niat salam kepada makmum yang mengikut, begitu juga makmum boleh berniat untuk memberi atau menjawab salam imam dan sesiapa sahaja yang berada bersama di dalam jemaah solat itu. (Lihat Hasyiah al-Baijuri, 1/304)
Kesimpulan
Kami tegaskan bahawa salam yang pertama adalah rukun solat dan wajib dilafazkan. Tetapi dalam persoalan ini, berdasarkan nas dan hujah di atas, sunat bagi imam ketika memberi salam di dalam solat untuk meniatkan salam tersebut buat makmum yang mengikutinya. Begitu juga sunat bagi makmum ketika memberi salam sebagai untuk meniatkan salam tersebut sebagai mengucapkan salam kepada imam atau menjawab salam kepada imam dan orang lain. Walaupun begitu bagi mereka yang hanya memberi salam tanpa niat seperti yang disebutkan di atas, dibolehkan.
Wallahu a’lam.