Skip to content

S:255 Implikasi Al-Ila

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan Al-Ila’(الإِيلَاءْ)  dan apakah implikasinya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Al-Ila’ (الْإِيْلَاءْ) dapat difahami sebagai sumpah yang dibuat oleh seseorang suami mukallaf yang mampu bersetubuh lagi sah talaqnya untuk tidak menyetubuhi isterinya selama tempoh lebih daripada empat bulan atau secara mutlak tanpa menyebutkan tempoh, atau dengan selama-lamanya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/436)

Al-Ila’ dari sudut bahasa bermaksud sumpah dan dari sudut istilah bermaksud seseorang itu bersumpah untuk menjauhi isterinya, dia tidak mendekatinya dan tidak bermuamalat sebagai suami isteri selama lebih daripada 4 bulan.

Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma:

كَانَ إِيلَاءُ الْجَاهِلِيَّةِ السَّنَةَ وَالسَّنَتَيْنِ وَأَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ يَقْصِدُونَ بِذَلِكَ إِيذَاءَ الْمَرْأَةِ عِنْدَ الْمَسَاءَةِ، فَوَقَّتَ لَهُمْ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ، فَمَنْ آلَى بِأَقَلِّ مِنْ ذَلِكَ فَلَيْسَ بِإِيلَاءٍ حُكْمِيٍّ

Maksudnya: Al-Ila’ pada zaman jahiliah adalah selama setahun, dua tahun ataupun lebih lagi daripada itu dengan tujuan untuk menyakiti isteri ketika mana berlaku kejahatan. Maka telah disingkatkan Al-Ila’kepada empat bulan. Maka sesiapa yang melakukan Al-Ila’ kurang daripada empat bulan maka ianya bukanlah Al-Ila’secara hukum. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/103)

Melakukan Al-Ila’ adalah haram kerana ia memudaratkan dan menganiayai isteri. Firman Allah SWT:

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ * وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلَاقَ فَإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 226-227)

Imam al-Syaukani menyatakan di dalam kitabnya Fath al-Qadir: Makna ayat ini jelas bahawa Allah menjadikan tempoh untuk sesiapa yang bersumpah (menjauhi) isterinya selama empat bulan. Kemudian Allah memberitahu hamba-Nya yang bersumpah itu bahawa selepas tempoh empat bulan tersebut, sekiranya dia kekal dalam perkahwinan tersebut dan meneruskan pernikahan, Allah tidak akan mengambil kira tentang sumpahnya tersebut dan mengampunkan pelaku tersebut serta merahmatinya. Manakala sekiranya dia telah berazam untuk mentalakkannya dan memaksudkannya, sesungguhnya Allah mendengar apa yang dimaksudkannya itu dan mengetahuinya. Maka pada ayat ini tidak ada syak dan syubhah padanya. (Lihat Fath al-Qadir, 1/268)

Imam al-Bujairimi menyatakan di dalam kitabnya Tuhfat al-Habib[1] bahawa apabila seseorang suami telah melafazkan Al-Ila’, maka berlakulah beberapa kesan terhadap dirinya sendiri, isterinya dan juga perkahwinannya, iaitu seperti berikut:

Jika suami masih enggan melakukan persetubuhan atau mentalaqkan isteri yang diIla’, Hakim Syar’ie boleh mentalakkan dengan satu talaq raj’ie. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/446)

Hal ini kerana suami tidak harus berterusan memudaratkan isterinya tanpa disetubuhi. Memandangkan tiada jalan untuk memaksa suami melakukan persetubuhan, maka ternyatalah perceraian sahaja yang boleh menamatkan kemudaratan terhadap isteri. Jika suami tidak menceraikan isterinya dengan sukarela, maka hakim berhak mengambil tempatnya.

Jika isteri itu ditalaqkan sama ada oleh suami sendiri atau oleh hakim, lalu suami meruju’ isterinya dalam tempoh iddah, maka hukum Al-Ila’ kembali semula kepada suami. Justeru, perkiraan tempoh Al-Ila’ bermula semula dari waktu ruju’ sehingga tamat 4 bulan yang berikutnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/443)

Jika selepas ruju’, suami masih tidak menyetubuhi isterinya sehingga tamat tempoh empat bulan yang baru, maka isteri berhak membuat tuntutan talaq yang kedua. Begitulah seterusnya hingga sampai kepada talaq tiga yang tidak boleh diruju’.

Jika isteri yang diIla’ diceraikan oleh suaminya sehingga tamat iddah tanpa diruju’, ataupun dia diceraikan terus secara talaq ba’in, maka terbatallah hukum Al-Ila’ kerana kemudaratan terhadap isteri telah tamat dengan perceraian yang ba’in. Namun jika suami itu menikahinya semula dengan akad nikah yang baru, maka hukum sumpah yamin yang terdahulu akan kembali semula. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/445)

Justeru, suami diwajibkan membayar kifarat yamin jika dia menyetubuhi isterinya dalam akad nikah yang baru itu. Jika tidak disetubuhinya melebihi empat bulan, isteri tidak berhak membuat tuntutan talaq kerana hukum Al-Ila’telah terhapus.

Jika suami menyetubuhi isteri yang diIla’ kerana terlupa, dipaksa atau ketika dalam keadaan gila, maka dia tidak dikira melanggar sumpah kerana ketika itu dia bukan seorang mukallaf. Oleh itu, dia tidak dikenakan kifarat. Akan tetapi hukum tempoh Al-Ila’ dikira terputus kerana isteri telah mendapat haknya dengan persetubuhan tersebut. Manakala hukum sumpah yamin dan Al-Ila’ tersebut masih berkekalan selagi tidak berlaku pelanggaran sumpah dan kifarat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/445)

Bagi Al-Ila’ yang ditetapkan masa tertentu seperti setahun, maka hukumnya akan tamat apabila berlalu tempoh tersebut. Dalam hal ini, isteri hendaklah menuntut persetubuhan atau talaq selepas berlalu empat bulan dan sebelum tamat satu tahun. Jika isteri terlewat membuat tuntutan, iaitu selepas berlalu tempoh setahun, maka hilanglah hak isteri untuk menuntut talaq kerana tempoh Al-Ila’ telah tamat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/445)

Sebagai kesimpulan, kami menasihati pasangan suami isteri agar mengelakkan daripada menggunakan kalimah atau perbuatan yang boleh membawa kepada Al-Ila’. Binalah kehidupan rumahtangga dengan penuh harmoni dan kasih sayang bagi mencapai mahabbah, mawaddah dan sakinah sehingga terjadinya rumah tangga seperti baiti jannati.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua'lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, hlm. 348. Ini dijadikan pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafi’e.