Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Musim pandemik ini, sesetengah masjid tidak membenarkan mereka yang tidak bawa sejadah untuk masuk solat di dalam ruangan solat utama, tetapi hanya dibenarkan untuk solat di ruangan beranda masjid sahaja. Jadi, mereka akan solat dengan mengikuti imam yang berada di dalam masjid sekalipun mereka solat di bahagian beranda. Soalan saya, adakah perkara itu dibenarkan kerana kadang-kadang saya lihat jarak saf dalam masjid dengan mereka yang berada di bahagian beranda masjid sangatlah jauh? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
Surah al-Taghabun: 16
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Beranda masjid
Beranda ialah ruang terbuka yang berbumbung dan berlantai di bahagian depan atau tepi rumah.[1] Maka, kita boleh definisikan beranda masjid sebagai ruangan terbuka yang berbumbung dan berlantai yang biasanya berada di sekeliling masjid. Ruangan ini juga biasanya tidak berkarpet.
Syarat-syarat mengikut imam bagi solat berjemaah
Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam. Mengenai perkara ini, al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disyaratkan untuk sahnya ikutan dalam solat berjemaah ialah makmum mengetahui segala pergerakan dalam solat orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya — yakni imam dan makmum — menunaikan solat di dalam masjid, luar masjid atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati oleh para ulama. Ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam, mendengar orang yang dibelakang imam, melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam, dan mereka telah menukilkan ijma‘ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/309)
Perkara yang sama disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini iaitu disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam dalam solat, supaya makmum itu dapat mengikut sama ada dengan melihat imam, melihat sebahagian daripada saf — yakni makmum yang lain, — mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/181; Tuhfah al-Muhtaj, 2/313)
Namun sekiranya imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid manakala makmum pula di luar masjid, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh. Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu:
- Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
- Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
- Jarak antara kedua-duanya tidak melebihi 300 hasta.
Kemudian kiraan jarak 300 hasta itu pula bagi situasi di mana salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, adalah bermula dari bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297; al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa solat yang didirikan di beranda masjid dengan mengikut imam yang berada di dalam masjid adalah dibolehkan kerana ia masih lagi dalam ruang lingkup jarak yang dibenarkan. Lebih-lebih lagi, kiraan jarak 300 hasta itu bermula daripada dinding masjid dan bukannya saf terakhir di dalam masjid.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H