Skip to content

S:274 Nafkah Ketika Iddah

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Adakah nafkah ketika iddah diwajibkan oleh syara’?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan.  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, Iddah dari sudut bahasa bermaksud pengiraan yang diambil daripada perkataan (adad) yang memberi makna bilangan kerana ia mengandungi tempoh suci ataupun bilangan bulan. Dari sudut istilah fuqaha pula iddah ialah suatu tempoh di mana perempuan menunggu bagi mengetahui kebersihan rahimnya atau bagi pegabdian kepada Allah S.W.T atau kerana rasa dukacita atas suaminya, maka ia adalah penantian itu sendiri. (Lihat al- Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 7/777-778)

Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

Iddah juga merupakan satu masa yang ditentukan untuk menamatkan apa-apa kesan daripada perkahwinan. Apabila berlaku perpisahan di antara seorang lelaki dengan isterinya maka hubungan perkahwinan antara isteri dengan suaminya tidak akan terputus kesemuanya hanya dengan berlakunya perpisahan, bahkan isterinya wajib menahan dirinya dan tidak mengahwini orang lain sehinggalah tamat tempoh yang telah ditetapkan oleh syarak tadi dan disyariatkan kerana asalnya dalam perceraian adalah talak raj’ie (talak satu dan dua) maka semestinya wujud peluang bagi pihak lelaki untuk rujuk kembali kepada isterinya.

Firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ

MaksudnyaDan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri, (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

(Surah al-Baqarah: 228)

Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah  wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya. [1]

Nafkah dari segi bahasa ialah pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Pada syara’ pula makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makna pada ‘uruf ahli perundangan islam (fuqaha) dikatakan pada makanan sahaja. (Lihat al-Durr al-Mukhtar wa Hashiah Ibn ‘Abidin, 11/886)

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i, 4/274)

Firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: Dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf.

(Surah Al-Baqarah: 233)

 Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Hukum Nafkah ‘Iddah

Hukum Nafkah adalah wajib berdasarkan al Quran dan juga Sunnah. Di dalam Al Quran telah dijelaskan mengenai nafkah ‘iddah berdasarkan firman Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ

Maksudnya:  Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani ‘iddahnya itu ditempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka ditempat tinggal itu dan tujuan menyusahkan kedudukan mereka supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu”.

(Surah al-Talak: 6)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Nafkah pada asalnya sesuatu perkara yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri. Akan tetapi jika si isteri menghalalkan nafkah yang wajib diberikan suami ke atas dirinya tidak menjadi masalah. Nafkah itu secara langsung tidak menjadi kewajipan ke atasnya. Jika isteri tidak menghalalkannya maka ianya dikira sebagai hutang menurut jumhur bahawa nafkah yang tidak dijelaskan oleh suami akan dikira sebagai hutang sekiranya suami enggan menunaikannya kepada isteri. Ia tidak akan gugur kecuali dengan pembayaran atau dengan pelupusan sebagaimana hutang-hutang yang lain.

Nafkah juga tidak akan gugur dengan sebab berlalunya tempoh iddah tanpa membuat pembayaran. Dalil jumhur ialah sesungguhnya nafkah adalah gantian, bukan sesuatu pemberian tanpa gantian. Sesungguhnya nafkah itu diwajibkan oleh syara’ dengan berlangsung aqad perkahwinan sebagai balasan daripada kedudukan isteri menjadi hak isteri bagi suami dalam perkahwinan. Apabila nafkah merupakan gantian semata-mata, maka ia adalah sepert hutang-hutang yang lain yang wajib dibayar. (Lihat al- Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 7/1004)

Kesimpulannya, nafkah pada asalnya adalah kewajiban suami keatas isteri dalam tempoh iddahnya. Tetapi jika isteri menghalalkannya maka ianya dikira langsai akan tetapi jika suami yang enggan membayar nafkah tersebut maka isteri boleh menuntut haknya di mahkamah. Walau bagaimanapun, kami menasihatkan supaya merujuk bidang kuasa mahkamah syariah dan pejabat agama yang berhampiran untuk maklumat lanjut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang benar kepada kita dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nafkah