Skip to content

S:280 Rumah Berhampiran Masjid Tetapi Hadir Lewat

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seseorang yang tinggal berhampiran dengan surau atau masjid, namun dia sentiasa hadir lewat untuk solat? Dia masih masbuq dalam solatnya meskipun dia mendengar azan dan iqamah dilaungkan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”

(Surah al-Taubah : 18)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/66)

Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Selain itu, terdapat kelebihan-kelebihan besar yang tertentu buat mereka yang solat secara berjemaah. Sabda Nabi SAW:

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”

Riwayat al-Bukhari (645)

Begitu juga, terdapat ganjaran buat mereka yang berjalan (menuju) ke masjid sebagaimana di dalam hadis:

فإنَّ أحَدَكُمْ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ، وأَتى المَسْجِدَ، لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رَفَعَهُ اللَّهُ بها دَرَجَةً، وحَطَّ عنْه خَطِيئَةً، حتّى يَدْخُلَ المَسْجِدَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi masjid dengan tidak ada tujuan lain melainkan untuk solat, maka tidak ada langkah yang dilakukannya melainkan Allah akan mengangkat kedudukannya (bagi setiap langkah tersebut) dan menghapuskan daripadanya dosa-dosa sehinggalah dia masuk ke dalam masjid.”

Riwayat al-Bukhari (477) dan Muslim (649)

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa faedah solat berjemaah, antaranya :

Rumah Berhampiran Masjid Tetapi Hadir Lewat

Berbalik kepada persoalan di atas, isu mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid untuk hadir mengerjakan solat di masjid terdapat padanya beberapa riwayat dan athar yang menyebutkan tentangnya. Antaranya adalah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan lalu dia tidak mendatanginya maka tidak ada solat buatnya (tidak sempurna) melainkan jika ada keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Berdasarkan hadis ini, ia tidaklah mengkhususkan kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid sahaja. Bahkan hadis ini umum meliputi sesiapa sahaja yang mendengar azan sama ada rumahnya dekat ataupun jauh dengan masjid untuk hadir menyahut seruan azan dengan menghadirkan diri ke masjid bagi menunaikan solat berjamaah. Sekiranya tidak, maka solat yang dilakukannya itu dikira sebagai tidak mendapat ganjaran yang sempurna. Ini kerana, perkataan فَلاَ صَلاَةَ لَهُ itu merupakan نفي الكمال (menafikan kesempurnaan) dan bukannya نفي الصحة (menafikan kesahihan).

Dalam membahaskan isu keuzuran yang mengecualikan seseorang itu untuk hadir ke masjid seperti yang disebutkan di dalam hadis, ini seperti soalan yang ditanyakan kepada Ibn Abbas R.A:

وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran? Beliau menjawab: Perasaan takut atau sakit.”

Riwayat Abu Dawud (5510)

Kami menyatakan bahawa keuzuran itu tidaklah terbatas kepada dua perkara yang disebutkan oleh Ibn Abbas sahaja. Bahkan selama mana keuzuran itu diambil i’tibar oleh syara’ seperti hujan lebat, dan seumpamanya, maka ia juga turut termasuk dalam makna hadis ini.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, terdapat juga sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَا صَلَاةَ لِجَارِ الْمَسْجِدِ إِلَّا فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Tidak sempurna solat bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid melainkan di masjid.”

Riwayat al-Hakim (1/373)

Hadis ini terdapat padanya pengkhususan dan penegasan kepada mereka yang tinggal berhampiran masjid untuk hadir solat berjamaah di masjid. Namun kami menyatakan bahawa ini bukanlah bermakna sesiapa yang tidak hadir solat di masjid maka solatnya tidak sah. Bahkan solatnya adalah sah namun tidak mendapat kesempurnaan pada pahala dan ganjaran.

Manakala berkenaan dengan tuntutan dan galakan untuk hadir awal ke masjid, memadailah dengan beberapa nas dan riwayat daripada Al-Quran dan al-hadis yang menjelaskan berkenaan hal ini. Antaranya firman Allah S.W.T:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu menuju pengampunan dari Tuhan kamu dan juga (menuju) syurga yang luasnya melebihi langit-langit dan juga bumi yang disediakan buat orang yang bertakwa.”

Surah Ali Imran (133)

Begitu juga seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ

Maksudnya: “Bersegeralah kamu untuk melakukan amalan-amalan kebaikan.”

Riwayat Muslim (118)

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa melewat-lewatkan diri untuk hadir ke masjid tanpa sebarang keuzuran dalam keadaan rumah berhampiran dengannya adalah makruh hukumnya. Adalah menjadi suatu keutamaan untuk kita menyelesaikan urusan-urusan keduniaan terlebih dahulu supaya dapat bersiap sedia lebih awal bagi menunaikan solat di masjid secara berjemaah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H