Skip to content

S:281 Solat Musafir Berimamkan Mukim dan Sebaliknya

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum jika orang mukim menjadi imam kepada orang musafir? Dan bagaimana pula orang yang musafir menjadi imam kepada orang mukim?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara rahmat yang Allah SWT berikan kepada umat ini adalah boleh melakukan solat secara qasar iaitu memendekkan solat daripada empat rakaat menjadi dua rakaat dan juga boleh menggabungkan antara dua waktu solat. Menggabungkan antara Solat Zohor dengan Solat Asar dan juga menggabungkan antara Solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ia dipanggil sebagai solat Jamak. Kedua-dua kemudahan ini dibenarkan untuk dilakukan khususnya ketika bermusafir.

Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya. Saidina Umar R.A pernah bertanyakan berkaitan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bersabda:

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ، فَاقْبَلُوا صَدَقَةَ اللَّهِ.

Maksudnya: Ia merupakan pemberian sedekah dengannya oleh Allah SWT, maka terimalah pemberian itu daripada Allah SWT.”

Riwayat Ibn Hibban (2739)

Sheikh ‘Abd al-Muhsin Al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi musafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 1/149)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak ialah menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan. (Lihat al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/319)

Solat Musafir Berimamkan Mukim dan Sebaliknya

Berbalik kepada persoalan di atas, pertama sekali kita hendaklah mengetahui dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan orang bermusafir dan juga orang yang mukim. Justeru kami nukilkan definisi keduanya itu seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/187) seperti berikut:

Musafir: Musafir bererti seorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua (2) marhalah atau bersamaan 81 kilometer (KM).

Demikian juga safar (permusafiran) tersebut hendaklah menepati ciri-ciri berikut:

Mukim: Seorang yang menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan hari keluar.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami bahagikan ia kepada dua pecahan berikut:

Pertama: Solat Orang Musafir Berimamkan Orang yang Mukim

Dalam isu ini, adalah dibolehkan untuk seseorang yang bermusafir itu mengikuti imam yang mukim.

Sekiranya seseorang yang bermusafir itu masuk ke dalam masjid atau surau dan mendapati terdapatnya solat berjemaah yang sedang didirikan, hendaklah dia mengikuti solat berjemaah tersebut meskipun dia sedang bermusafir.

Sekiranya dia dalam keadaan muwafiq iaitu mengikuti solat berjamaah dari awal solat, dan imam melakukan solat secara tamam (solat penuh empat rakaat), maka hendaklah dia turut mengikut imam sehingga selesai solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ ـ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam ruku’ hendaklah kamu ruku’ dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.”

Riwayat al-Bukhari (733)

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanyakan: “Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim ?” Maka jawab Ibn Abbas: “Yang demikian itu adalah sunnah.” (Lihat al-Mughni, 2/64)

Manakala jika dia (orang musafir) itu dalam keadaan masbuq iaitu telah lewat beberapa rakaat dari imam, maka jika imam selesai memberikan salam dia hendaklah terus naik dan hendaklah menyelesaikan solat secara tamam memandangkan dia merupakan seorang musafir yang mengikut imam yang solat tamam.

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: “Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara tamam (penuh). Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan (solat secara penuh).”

Beliau berkata lagi: Sekiranya (orang yang bermusafir itu) mengikut imam yang bermusafir dan dia jahil (tidak mengetahui) niat imamnya (sama ada beliau solat secara tamam atau qasar) maka dia boleh untuk menta’liqkan niatnya (mengikat niat). Iaitu dengan cara: “Sekiranya dia (imam) qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat tamam (solat penuh) maka aku pun tamam.”

Mengikut pendapat paling sahih ta’liqannya itu adalah sah. Maka sekiranya imam solat tamam dia pun turut solat tamam dan sekiranya imam solat qasar maka dia pun solat qasar. Ini kerana zahir dari keadaan musafir adalah qasar. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/475)

Kedua: Solat Orang Mukim Berimamkan Orang yang Musafir

Dalam isu ini terdapat sebuah riwayat yang dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada kita. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain beliau berkata:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِيَ عَشْرَةَ لَيْلَةً لاَ يُصَلِّي إِلاَّ رَكْعَتَيْنِ وَيَقُولُ ‏ يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ

Maksudnya: “Aku pergi berperang bersama dengan Rasulullah SAW dan aku turut serta bersama baginda dalam Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah). Baginda menetap di Makkah selama 18 hari dan tidak menunaikan solat melainkan secara dua rakaat. Lalu baginda berkata penduduk negeri tersebut: “Wahai penduduk negeri (Makkah) solatlah kamu sebanyak empat rakaat, sesungguhnya kami kaum yang bermusafir.”

Riwayat Abu Dawud (1229)

Berdasarkan fiqh hadis di atas, dapatlah difahami bahawa seseorang yang tidak bermusafir boleh untuk mengikut imam yang bermusafir. Namun hendaklah dia tetap menunaikan solat sebanyak empat rakaat, iaitu dengan menyempurnakan baki rakaat sesudah sahaja imam yang bermusafir itu selesai solatnya sebanyak dua rakaat (kerana melakukan qasar).

Bahkan perkara ini dianggap sebagai ijma’ oleh para ulama. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Munzir:

وأَجمَعُوا عَلَى أَنَّ المُقِيمَ إِذَا ائْتَمَّ بِالمُسَافِرِ، وَسَلَّمَ الإمَامُ رَكْعَتَين أَنَّ عَلَى المُقِيمِ إِتمَام الصَّلَاة

Maksudnya: “Dan mereka (para ulama) telah berijma’ bahawa seseorang yang mukim apabila menjadi makmum kepada imam yang musafir, dan imam selesai memberi salam pada rakaat yang kedua, untuk makmum yang mukim itu menyempurnakan solat.” (Lihat al-Ijma’ oleh Ibn al-Munzir, 1/41)

Kesimpulan

Sebagai penutup, hukum orang musafir menjadi imam kepada orang mukim adalah dibolehkan. Demikian juga dibolehkan untuk orang yang mukim menjadi imam kepada orang musafir. Ini berdasarkan beberapa riwayat dan hujahan yang telah kami sebutkan di atas, di samping hendaklah meraikan tatacara dan syarat yang telah ditetapkan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H