Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang hukum isbal bagi lelaki?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, Allah SWT memerintahkan hamba-hambaNya untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Ini berdasarkan dalil al-Quran :
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”
Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa. Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (dharuriyah) untuk menutup aurat. Manakala “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat). Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara majazi (kiasan) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim , 3/400)
Selain itu, Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf : 31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2174)
Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain. (Lihat Tafsir al-Muyassar 1/154)
Di samping itu, setiap muslim juga perlu menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menyebabkan kesombongan dan rasa bangga diri. Firman Allah SWT:
وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya: “Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
(Surah al-Hadid: 23)
Hukum Isbal Bagi Lelaki
Berbalik kepada persoalan di atas, isbal dari sudut bahasa adalah masdar daripada ‘أَسْبَلَ، يُسبل، إسبالاً’, membawa maksud ‘الإرخاء’, ertinya adalah menurunkan, melabuhkan atau memanjangkan. Manakala dari sudut istilah, sepertimana disebut oleh Ibn al-‘Arabi dan selainnya adalah memanjangkan, melabuhkan dan menjulurkan pakaian sehingga menutupi buku lali dan menyentuh tanah, sama ada kerana sombong atau tidak. (Lihat Lisan al-‘Arab, 11/321 dan al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 2/339)
Dalam perbahasan fiqh, perkataan “isbal” boleh merujuk kepada pelbagai maksud. Sebahagian ulama merujuk istilah ini kepada perbuatan melepaskan tangan sewaktu membaca al-Fatihah semasa solat. Inilah pegangan sebahagian ulama dalam mazhab Maliki yang berbeza dengan qaul jumhur yang meletakkan hukum sunat untuk bersedekap, yakni meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri.
Isbal juga, sepertimana telah dijelaskan, pada kebiasaannya, merujuk kepada perbuatan seseorang melabuhkan pakaiannya, seperti jubah atau seluar, melebihi paras buku lali ke bawah. Perbuatan ini tidak ada masalah bahkan digalakkan bagi kaum wanita bagi menutup aurat mereka, tetapi bagi kaum lelaki, ulama berbeza pandangan.
Daripada Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ» قَالَ: فَقَرَأَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِرَارًا، قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «الْمُسْبِلُ، وَالْمَنَّانُ، وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ
Maksudnya: “Tiga jenis manusia yang Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka pada Hari Kiamat, tidak juga melihat (yakni, mengendahkan) kepada mereka, tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih. Rasulullah SAW menyebut itu tiga kali. Lalu Abu Dzar berkata: Habislah dan rugilah mereka! Siapa mereka itu wahai Pesuruh Allah? Jawab Baginda: Orang yang melakukan isbal, dermawan (yang berbangga-bangga dengan pemberian), dan peniaga barang yang bersumpah palsu.”
Riwayat Muslim (106)
Sebahagian ulama menyebut sebab pengharaman isbal kerana perbuatan ini merujuk kepada suatu adat jahiliyyah bagi golongan bangsawan yang melabuhkan pakaian mereka meleret ke belakang sampaikan dijinjing oleh hamba-hamba mereka. Sifat ini melambangkan ketakabburan dan menunjuk-nunjuk kekayaan. Sifat ini juga menafikan sifat tawaduk.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”
(Surah al-Isra’: 37)
Perlu diperhatikan di sini adakah larangan ini menunjukkan larangan bersifat ta`abbudi seperti ibadah khas atau mahdhah atau dalam perkara keduniaan yang terikat dengan illah.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menghuraikan perkara ini dalam kitabnya Kaifa Nata’amal Ma’a al-Sunnah al-Nabawiyyah (hlm. 125), dengan menukilkan hadis lain daripada Abdullah bin Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ، لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ» فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ ثَوْبِي يَسْتَرْخِي، إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّكَ لَسْتَ تَصْنَعُ ذَلِكَ خُيَلاَءَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melabuhkan pakainnya secara sombong, maka Allah tidak akan melihat kepadanya pada Hari Kiamat.” Maka berkata Abu Bakar (R.A): “Sesungguhnya sebelah pakaianku meleret ke bawah jika aku tidak menjaganya.” Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya engkau tidak melakukan demikian itu dengan kesombongan.”
Riwayat al-Bukhari (3665)
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut tarjih yang dilakukan oleh Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa perbuatan haramnya isbal itu dikaitkan dengan sifat (خيلاء) yakni menyombong.
Justeru, apabila dibaca nas-nas yang berkaitan, kesimpulan yang diperoleh ialah, jika kebiasaan seseorang, dan masyarakatnya, melakukan isbal tanpa bertujuan sombong dan kemegahan maka ini terkecuali daripada larangan dalam hadis tersebut.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H