Skip to content

S:289 Memanjangkan Qunut ketika Witir

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum jika imam memanjangkan bacaan doa qunut ketika melakukan solat Witir? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Doa qunut ialah zikir yang khusus yang mengandungi ucapan doa dan puji-pujian kepada Allah SWT. Ia boleh untuk diucapkan dengan apa-apa lafaz yang mempunyai dua unsur ucapan tersebut termasuk ayat-ayat al-Quran dengan syarat hendaklah seseorang itu berniat membaca doa qunut.

Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja (1/177), bahawa:

والقنوت هو ذكر مخصوص مشتمل على دعاء وثناء ويحصل بكل لفظ اشتمل عليهما بأي صيغة شاء كقوله: اللهم اغفر لي يا غفور، فالدعاء يحصل باغفر والثناء بغفور، وكذلك ارحمني يا رحيم وقوله: الطف بي يا لطيف وهكذا، ومثل الذكر المخصوص آية تتضمن ذلك كآخر سورة البقرة بشرط أن يقصد بها القنوت، وكقوله تعالى: ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلاًّ للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم} الحشر:10

Maksudnya: Qunut ialah zikir yang khusus yang merangkumi doa dan puji-pujian kepada Allah SWT. Ia boleh diucapkan dengan apa-apa lafaz yang membawa makna kedua-dua unsur tersebut, contohnya: “Ya Allah, ampunkan dosaku, wahai Yang Maha Pengampun.” Maka, doa terhasil dengan lafaz ‘ampunkan’ dan puji-pujian terhasil dengan lafaz ‘Yang Maha Pengampun’. Contohnya lagi: “Kasihanilah aku wahai Yang Maha Mengasihani.”, “Berlemah lembutlah ke atasku wahai Yang Maha Lembut.” Dan sebagainya. Begitu juga termasuk dalam zikir yang khusus ini juga ialah ayat al-Quran yang mempunyai unsur tersebut (doa dan pujian) seperti ayat terakhir dalam surah al-Baqarah dengan syarat hendaklah diniatkan untuk membaca qunut. Dan juga seperti firman Allah SWT, “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".”

(Surah al-Hasyr: 10)

Walau bagaimanapun, lafaz doa qunut yang afdhal bagi doa qunut ialah apa yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW oleh Abu Hurairah RA, iaitu apa yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini dan disertakan dengan beberapa penambahan. Bagi penambahan doa dan puji-pujian tersebut, Imam Ibn al-Hajar berkata: “Tidak mengapa untuk menambah lafaz (doa dan puji-pujian) dan tidak perlu sujud sahwi kerana meninggalkan tambahan tersebut.”

Hal ini sama sepertimana disunatkan untuk menambah doa qunut yang dibaca oleh Saidina Umar al-Khattab RA:

وَاسْتَحَبَّ الْأَصْحَابُ أَنْ يَضُمَّ إِلَيْهِ قُنُوتَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: Disunatkan menurut para ulama’ Syafi'iyyah untuk menggabungkan kepada doa qunut yang diriwayatkan itu dengan doa qunut Saidina Umar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/331)

Bacaan qunut terbahagi kepada dua, iaitu:

Pertama: Qunut Ratibah, iaitu qunut yang disunatkan untuk membacanya pada dua tempat :

Kedua: Qunut Nazilah iaitu doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya ketika ianya melibatkan orang muslim.

Memanjangkan Qunut dalam Solat Witir

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud, daripada al-Hasan bin Ali RA:

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ...

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…”

Dalam mazhab al-Syafie, disunatkan kepada imam atau orang yang solat bersendirian untuk membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat Witir dan ia dibaca pada 15 malam terakhir bulan Ramadhan. (Lihat al-Mu’tamad, 1/309)

Berdasarkan soalan di atas, doa qunut yang dibaca selepas daripada bangun daripada ruku’ pada rakaat terakhir Witir tidak disyaratkan untuk membaca doa-doa tertentu, bahkan adalah lebih baik jika seseorang itu membaca doa sepertimana yang terdapat di dalam sunnah Nabi SAW. Antaranya yang diriwayatkan oleh al-Hasan RA cucu Rasulullah SAW.

Adapun pada perkara memanjangkan bacaan qunut, jika dia solat secara bersendirian maka tidak menjadi masalah untuknya memanjangkan bacaan doa tersebut. Namun, jika dia seorang imam maka dia tidak boleh memudharatkan orang yang solat dibelakangnya sekiranya dia memanjangkan bacaan doa tersebut.

Ini kerana, terdapat sebuah hadith yang menuntut para imam untuk tidak memberatkan (memanjangkan) solat mereka kerana orang yang solat di belakangnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Antaranya sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu solat bersama orang ramai (menjadi Imam), maka hendaklah dia meringankan kerana ada daripada kalangan mereka orang yang sakit, lemah dan orang tua. Adapun, apabila dia bersolat seorang diri, maka panjangkanlah bacaan sepanjang mana yang dia kehendaki.”

Riwayat al-Bukhari (703)

Selain itu juga, memanjangkan rukun yang pendek di dalam solat merupakan di antara perkara yang membatalkan solat. Antara rukun pendek adalah I’tidal (bangun daripada ruku’) dan doa qunut ini dibaca ketika I’tidal. Disyaratkan agar orang yang solat tidak memanjangkan I’tidalnya selepas daripada ruku’ dengan pemanjangan yang ketara iaitu tidak melebihi kadar bacaan al-Fatihah. Ini kerana, I’tidal merupakan rukun yang pendek, maka tidak dibolehkan untuk memanjangkannya melainkan pada qunut dan solat Tasbih. (Lihat al-Mu’tamad, 1/273)

Tambahan pula, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ashab al-Khurasan bahawa I’tidal daripada ruku’ merupakan rukun yang pendek serta dituntut agar diringankan (dipendekkan) rukun tersebut. Jika dia memanjangkan dengan sengaja seperti diam (diam yang panjang), membaca qunut yang tidak disyariatkan (tidak warid daripada Nabi SAW) atau dengan zikir yang lain, maka ketiga wajah ini yang paling sahihnya di sisi Imam al-Haramain dan ia juga diputuskan oleh al-Baghawi bahawa perbuatan ini membatalkan solatnya  melainkan apa yang warid (datang) dalam syariat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/126)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami menasihatkan agar para imam sebaiknya tidak memanjangkan bacaan qunut kerana keluar daripada khilaf sebahagian ulama’ yang mengatakan terbatalnya solat dan ia juga mungkin akan menimbulkan kesusahan atau mudharat terhadap makmum.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H