Skip to content

S:301 Solat Sebelah Kanak-kanak Belum Khatan

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang solat di sebelah kanak-kanak yang belum berkhatan? Adakah solatnya terbatal jika bersentuhan dengan kanak-kanak tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, sejarah telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu. Bahkan kanak-kanak perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjamaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Institusi masjid juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih terserlah berbanding persamaan kaum Muslimin di dalam masjid? Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang yang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat, dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka.[1]

Secara ringkasnya, para fuqaha terbahagi kepada dua pendapat dalam isu hukum membawa kanak-kanak ke dalam masjid. Berikut kami kongsikan pendapat dan hujah mereka:

Pertama: Kanak-Kanak Dilarang Untuk Dibawa Ke Masjid

Sebahagian fuqaha Malikiyyah, Hanabilah, dan Syafieyyah berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dilarang atau tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang menyebut:

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ

Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian.” [2]

Kedua: Kanak Kanak Dibolehkan Untuk Hadir Ke Masjid

Pendapat ini dipegang oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam al-Syaukani, dan lain lain. Mereka berhujahkan dengan sebuah hadis daripada Abu Qatadah R.A beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula.”[3]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata ketika mengulas hadis ini: Hadis ini menjadi dalil bahawa hukum kanak-kanak masuk ke dalam masjid adalah dibolehkan.[4]

Mereka juga berdalilkan sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنِّي لَأَدْخُلُ الصَّلَاةَ أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأُخَفِّفُ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat).”[5]

Kata al-Imam al-Syaukani ketika mengulas hadis ini: Pada hadis ini menunjukkan keharusan untuk membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.[6]

Berbalik kepada persoalan di atas, menurut mazhab Syafie, pendapat yang muktamad menyatakan sunat hukumnya untuk mengasingkan saf kanak-kanak selepas saf orang dewasa. Namun, Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.”[7]

Begitu juga dalam mazhab Syafie, kanak-kanak yang tidak berkhatan dianggap menanggung najis jika tidak dicuci najis di bawah kulup zakar kanak-kanak lelaki. Justeru, sekiranya seseorang dewasa menanggung kanak-kanak yang bernajis ini ketika solat maka batallah solatnya kerana salah satu syarat sah solat ialah bersih daripada najis pakaian, badan dan tempat.

Imam al-Syirazi Rahimahullah menyebut: “Maka jika seseorang yang bersolat itu menanggung benda hidup yang suci ketika solat maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah bin Abi al-As ketika solat. Ini kerana najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang solat itu.”

Imam al-Nawawi Rahimahullah mensyarahkan: “Jika seseorang itu menanggung benda hidup yang suci tiada najis pada zahirnya ketika solat maka sah solatnya tanpa khilaf.”[8]

Syeikh Hasan al-Kaf berkata tidak sah solat seseorang yang memegang hujung tali yang bersambung dengan najis, sekalipun sebahagian tali itu tidak bergerak dengan pergerakan dirinya. Ini kerana dia menanggung suatu yang bersmabung dengan najis, sama hukumnya dia dengan menanggung najis tersebut. Namun begitu tidaklah memudaratkan kepada solat sekiranya najis itu di bawah kakinya kerana dia tidak dianggap menanggung.[9]

Sebaliknya najis atau barang yang bernajis itulah yang menanggung orang itu. Contohnya seseorang memijak seliparnya tanpa menyarung, atau najis yang berada di bawah sejadah.

Daripada fakta ini, mafhumnya bahawa dengan semata-mata menyentuh dan tersentuh kanak-kanak yang belum berkhatan tidaklah membatalkan solat. Begitu juga sekiranya seseorang itu yakin bahawa kanak-kanak itu menanggung najis atau tidak, atau jika belum berkhatan, dia beristinja’ dengan sempurna atau tidak, maka kembali kepada hukum asal lagi zahir bahawa seseorang itu adalah tidak bernajis dan tidak membatalkan solat seseorang itu jika dia menyentuh atau menanggungnya. Ini berdasarkan hadis Umamah dan kenyataan Imam Nawawi di atas

Kaedah melihat kepada zahir ini dapat dilihat dalam pelbagai hukum antaranya hukum harus tetapi makruh menggunakan perkakas orang yang bukan Islam yang diketahui kebiasaannya tidak menjaga soal taharah atau kebiasaan mereka bermuamalah dengan najis seperti orang Majusi yang membasuh perkakas mereka dengan air kencing lembu. Ini kerana hukum asal bahawa bekas itu suci mendahului hukum kebiasaan yang berbentuk anggapan semata-mata.[10]

Justeru kami berpendapat dalam isu seperti ini bahawa hukumnya tidak batal tetapi sebaik-baiknya berlaku pengasingan antara saf dewasa dan saf kanak-kanak seperti mana yang disarankan oleh ramai ulama silam.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 14 Januari 2022 bersamaan 11 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat Masjid Parlimen Umat, hlm. 30

[2] Riwayat al-Baihaqi, (750). Beliau mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih (Lihat al-Sunan al-Kubra, 10/177)

[3] Riwayat Muslim (845)

[4] Lihat Fath al-Bari, 2/276

[5] Riwayat al-Bukhari (666) dan Muslim (723)

[6] Lihat Nailul Authar, 5/48

[7] Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340

[8] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/150

[9] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah (Qism Ibadat), hlm. 20

[10] Lihat al-Iqna’, hlm. 49