Skip to content

S:321 Pemakaian Kaedah al-Taisir wa Raf' al-Haraj

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah jelaskan secara ringkas kaedah al-Taisir (التيسير) dan Raf‘ al-Haraj (رفع الحرج) serta adakah semua kepayahan diberi keringanan? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syariat Islam bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Terdapat pelbagai dalil-dalil daripada al-Quran mahupun hadith yang menunjukkan keadaan tersebut. Antaranya ialah firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”[1]

Ayat di atas bermaksud Allah SWT tidak ingin menyusahkan kamu dalam ketentuan hukum-hakam-Nya dengan mewajibkan kamu tetap bersuci dengan menggunakan air sedangkan ia membahayakan kamu. Oleh itu, Dia menetapkan syariat baru sebagai penggantinya ketika ada kesulitan dalam menggunakan air kerana sakit atau tidak ada air. Hal itu dalam rangka menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur atas nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu, dan tidak mengingkarinya.[2]

Firman Allah SWT lagi dalam ayat yang lain:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya:Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”[3]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa ayat ini bermaksud berjihadlah pada jalan Allah SWT untuk melawan musuh-musuh dengan jihad yang sebenar-benarnya, di samping mengharapkan keredhaan-Nya. Allah SWT telah memilih kamu untuk menganut agama-Nya dan menolong syariat-Nya. Selain itu, Allah SWT juga sekali-kali tidak menjadikan untukmu kesempitan dan kesulitan dalam agama. Sebaliknya, Dia menjadikannya mudah dan ringan dengan memberikan keringanan (rukhsah) kepadamu seperti boleh qasar dan jamak solat, berbuka ketika berpuasa di bulan Ramadhan bagi orang yang bermusafir dan orang yang sakit, tayammum, boleh memakan bangkai sekiranya keadaan darurat (ada keperluan mendesak) dan lain-lain.[4]

Firman Allah SWT lagi dalam ayat yang lain:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.[5]

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan.[6]

Firman Allah SWT lagi:

يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

Maksudnya:Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”[7]

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia itu dijadikan berkeadaan lemah yakni lemah tidak mampu untuk mengendalikan diri dan melawan hawa nafsu yang bergejolak. Oleh sebab itu, Allah SWT menghendaki untuk memberi keringanan kepada mereka, sehingga diperbolehkan untuk berkahwin dengan hamba perempuan.[8]

Begitu juga sebuah hadith daripada Sa‘id bin Abu Burdah, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW mengutus Mu‘az dan Abu Musa ke Yaman, Baginda bersabda:

يَسِّرَا وَلاَ تُعَسِّرَا، وَبَشِّرَا وَلاَ تُنَفِّرَا وَتَطَاوَعَا وَلاَ تَخْتَلِفَا

Maksudnya:Permudahkanlah dan jangan kamu menyusahkan, berilah khabar gembira dan jangan (menyampaikan berita yang) membuatkan orang lari, hendaklah kamu berdua bersepakat dan jangan kamu berselisih.”[9]

Dalam hadith di atas, terkandung beberapa perkara yang wajib untuk kita teladani dan ikuti seperti memudahkan dalam setiap urusan, bersikap lemah lembut dengan orang ramai, menyemai keimanan dalam diri mereka, dan meninggalkan kesusahan serta perkara yang boleh menyebkan hati mereka lari dan jauh daripada kita, lebih-lebih lagi buat mereka yang masih baru dalam agama Islam. Begitu juga perkara yang sama sepatutnya dilakukan kepada kanak-kanak dan orang yang masih belum kuat pegangannya, agar tidak membebankan mereka pada peringkat permulaan supaya mereka tidak lari terus daripada melakukan ketaatan.[10]

Selain itu, dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ، وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan (memberi keringanan), bukannya untuk menyusahkan.”[11]

Menurut Ibn Battal, ini adalah sebagaimana perintah Nabi SAW untuk memudahkan sebagaimana hadith lain yang telah disebutkan sebelum ini. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Tabari yang menyebutkan maksud “يَسِّرُوا وَلَا تُعَسَّرُوا” ialah pada perkara-perkara sunat dan bukannya perkara yang telah difardhukan oleh Allah. Begitu juga pada apa yang telah Allah SWT berikan kelonggaran dan keringanan daripada amalan fardhu dalam keadaan adanya keuzuran seperti solat fardhu dalam keadaan duduk kerana tidak mampu untuk berdiri, berbuka puasa di bulan Ramadhan semasa bermusafir dan sakit, dan lain-lain lagi yang termasuk dalam rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya. Adapun diperintahkan untuk memudahkan dalam perkara-perkara sunat dan melaksanakannya dalam bentuk yang tidak menyusahkan mahupun melampaui batas bagi mengelakkan berasa bosan untuk melakukannya. Hal ini kerana sebaik-baik amalan di sisi Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan sekalipun sedikit.[12]

Waklaupun salah satu matlamat syarak adalah untuk memberi kemudahan dan menghilangkan kepayahan tetapi dalam penggunaan kaedah al-Taisir dan Raf‘ al-Haraj ini, mestilah dibuat mengikut garis panduan tertentu bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaannya sebagai helah bagi mengelakkan diri daripada melaksanakan hukum Allah mahupun lari daripada menunaikan ketaatan kepada-Nya.

Hal ini kerana hakikatnya Allah menetapkan sesuatu hukum bukan bertujuan untuk menjadikan perintah itu payah dan menyusahkan. Namun, secara adatnya kepayahan itu datang bersama dengan perintah kerana di sebalik kepayahan yang sedikit itu adanya maslahah dan faedah yang besar, tidak kira ia dapat difahami oleh manusia ataupun tidak. Perkara ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَيُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ ۚ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”[13]

Justeru dalam menggunakan kaedah memudahkan dan menghilangkan kepayahan ini, perlulah difahami tentang maksud kepayahan itu. Maka, dalam hal ini kami memetik daripada kenyataan Tuan Sidek Tuan Muda dalam bukunya,[14] sebagaimana di bawah:

  1. Pada kebiasaan, kepayahan yang secara adat datang bersama dengan perintah tidak dinamakan sebagai kepayahan. Sebagai contoh, tidak dinamakan kepayahan dalam mencari rezeki dengan bekerja dalam pelbagai sektor perindustrian.
  2. Kepayahan seperti yang disebut pada (1) di atas bukanlah merupakan maksud daripada pembuat syariat (untuk menjadikannya kepayahan). Sebaliknya, ia adalah untuk mendatangkan maslahah. Contoh perbandingan seorang doktor yang memberi ubat kepada pesakit atau seorang pesakit yang dipotong sebahagian anggotanya untuk menyelamatkan anggota yang lain. Walaupun ubat yang diberikan itu pahit, di sebalik rasa pahit itu, terdapat penawar yang membawa kepada maslahah.
  3. Kepayahan yang secara adat datang bersama dengan perintah tidak menjadi sebab untuk diberi keringanan. Bahkan Allah memberikan pahala kepada mukalaf atas kepayahan yang ditanggungnya dalam melaksanakan kewajipan.
  4. Kepayahan yang di luar kebiasaan dan tidak datang bersama dengan perintah ialah seperti sakit, permusafiran, paksaan, lupa, jahil, umum al-Balwa (perkara yang sangat sukar untuk dielak) dan al-Naqs (iaitu kekurangan pada akal atau diri seperti kanak-kanak dan orang gila). Jika terdapat kepayahan seperti ini, ruang untuk keringanan diberikan. Berdasarkan kepayahan seperti pada nombor empat (4) ini, ulama merumuskan kaedah fiqh al-Masyaqqah tajlib al-Taisir yang bermaksud kepayahan membawa kepada keringanan.

Secara ringkas, pelbagai bentuk kepayahan yang disebutkan di atas boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kepayahan yang membawa kepada keringanan hukum dan kepayahan yang tidak membawa kepada keringanan hukum seperti kepayahan jihad, kesakitan hukuman hudud, kesakitan ketika direjam bagi penzina dan lain-lain.

Alhamdulillah, dalam istinbat hukum dan fatwa kaedah yang dibahaskan ini menjadi salah satu neraca pertimbangan hukum. Bahkan inilah yang kami amalkan, terutamanya berlakunya masyaqqah dalam kehidupan. Kami akhiri perbincangan dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya:Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”[15]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat al-Mukhtasar fi al-Tafsir, hlm. 108.

[3] Surah al-Hajj: 78

[4] Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 342.

[5] Surah al-Baqarah: 185

[6] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86.

[7] Surah al-Nisa’: 28

[8] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 104; al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 84.

[9] Riwayat al-Bukhari (3038); Muslim (1733)

[10] Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 6/37.

[11] Riwayat al-Bukhari (6128)

[12] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/301-302.

[13] Surah al-Nur: 18

[14] Lihat Panduan Memahami Maqasid Syariah, Konsep dan Peranannya dalam Penetapan Hukum Syarak, oleh Tuan Sidek Tuan Muda, hlm. 49-51.

[15] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da‘awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)