Soalan
Adik saya ingin berkahwin namun bapa saya enggan menjadi wali bagi pernikahan tersebut. Apabila ingin bertemu dengannya untuk mendapatkan persetujuan, bapa saya akan melarikan diri tidak mahu memberikan persetujuan untuk menjadi wali bagi penikahan tersebut. Adakah dibolehkan untuk adik saya menggunakan wali hakim?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا
Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”[1]
Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:
فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ
Maksudnya: Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kawin lagi dengan bakal suaminya[2]
Ibn Kathir di dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim menyebutkan bahawa ayat di atas menjadi dalil bahawa perempuan tidak boleh menikahkan dirinya sendiri dan ianya mesti melalui wali dan wali di dalam permasalahan yang ditanyakan di sini adalah ayah kepada perempuan tersebut.
Seorang bapa yang menjadi wali kepada anaknya tidak sepatutnya untuk enggan mengahwinkan anaknya tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah bersabda:
إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ
Maksudnya: Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan.[3]
Berdasarkan persoalan di atas, jika wali enggan walaupun wali merupakan bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Hal ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali. Jika mereka enggan menunaikan tanggungjawab, maka hakimlah yang perlu melaksanakannya.
Menurut Imam al-Nawawi: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang.[4]
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Sekiranya si bapa enggan (wali enggan) untuk menikahkan anaknya, maka dalam keadaan ini kedudukan wali itu tidak akan berpindah kepada kedudukan tertib wali yang jauh bahkan yang mengkahwinkannya adalah al-Sultan (dalam konteks semasa ialah wali hakim).[5]
Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. [6]
Wali Hakim ataupun sesetengah menyebutnya dengan Wali Sultan adalah wali yang dilantik bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.
Sebelum kami mengakhiri perbincangan ini, suka untuk kami nasihatkan kepada para wali dan juga ibu-bapa agar sentiasa membina hubungan baik dengan anak-anak kerana ianya dapat memberikan kesan yang baik dalam kerukunan kekeluargaan rumah tangga dan seterusnya dapat menerapkan nilai ‘baiti jannati’ di dalam kehidupan berkeluarga.
Justeru, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat lagi benar kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H
[1] Riwayat Ibn Majah (1882) dan al-Daraqutni (3/227) dan rijalnya thiqah
[2] Surah Al-Baqarah: 232
[3] Riwayat al-Tirmidzi (1085) dan al-Baihaqi (13863)
[4] Lihat Minhaj al-Tolibin, hlm. 207
[5] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/66-67
[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/253