Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apakah tanda-tanda penerimaan taubat seseorang yang telah bertaubat dengan bersungguh-sungguh?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menurut Kamus Dewan, taubat ialah sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Ia juga bermaksud kembali kepada Tuhan (dengan meninggalkan perbuatan -dan lain-lain- yg dilarang dan membuat apa-apa yang disuruh). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)[1]
Menurut Ibn Manzur, taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa.[2] Taubat juga bermaksud kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat. Lafaz istitabah pula membawa erti meminta seorang untuk bertaubat.[3]
Manakala dari sudut istilah, taubat adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya.[4]
Bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib. Allah SWT memerintahkan kita untuk bertaubat melalui firman-Nya:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”[5]
Ibn Kathir berkata: Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.[6]
Allah SWT juga berfirman:
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.[7]
Ibn Kathir berkata: Maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian.[8]
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT - yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia - maka syaratnya ada tiga:
- Menjauhi dan meninggalkan maksiat
- Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
- Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.
Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):
- Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan.[9]
Justeru, dalam usaha memperoleh keampunan daripada Allah SWT, taubat yang dilakukan hendaklah memenuhi sekurang-kurangnya empat syarat yang telah disebutkan di atas.
Tanda Penerimaan Taubat
Berbalik kepada persoalan di atas, berkenaan tanda-tanda Allah SWT menerima taubat seseorang ialah antaranya apabila sikap dan akhlaknya berubah, jiwanya menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasanya baik, dia merasa seronok untuk melakukan ibadat serta dia tetap berterusan memohon keampunan kepada Allah SWT. Maka itu adalah merupakan antara tanda Allah SWT menerima ibadatnya.
Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama’ menyebut: Taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:
- Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
- Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
- Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
- Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya.[10]
Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:
- Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
- Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
- Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
- Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.[11]
Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”[12]
Atha', Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka mensucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis.[13]
Di samping itu, bukanlah bermakna seseorang yang telah mempunyai tanda-tanda taubatnya diterima Allah itu supaya berhenti memohon taubat. Malah sejelas-jelas tanda seseorang itu insaf akan dirinya adalah dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada Allah SWT sepanjang hayatnya sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi SAW sendiri yang diriwayatkan beristighfar dalam sehari sebanyak 100 kali.
Ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.”[14]
Imam al-Nawawi menyebut dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: Perkataan 'ليغان' bermaksud apa-apa yang melitupi hati. Al-Qadhi 'Iyadh pula berkata, dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya.[15]
Dikehendaki dengan 'الغين' iaitu masa-masa yang luput daripada zikir, yang biasanya seseorang itu sentiasa dalam zikir. Apabila terluput dengan sesuatu sebab, maka dia mengira sebagai dosa, lantas dia istighfar daripadanya. Begitu juga, pendapat Ibn al-Jauzi, 'الغين' dengan maksud kegelinciran tabiat manusia yang tidak ada seorang pun yang terselamat.
Para Nabi, sekalipun ma'sum daripada dosa besar, tetapi mereka tidak ma'sum daripada dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan pecahan daripada khilaf yang terpilih. Tetapi yang paling rajih, para Nabi juga ma'sum daripada dosa-dosa kecil. Ibn Battal berkata: Para Nabi sekuat-kuat manusia dari sudut ibadat kerana kurniaan Allah kepada mereka daripada makrifah. Justeru mereka sentiasa mensyukurinya dan mengiktiraf kepada Tuhan atas kelemahan.
Selain itu, dijelaskan juga bahawa bahawa istighfar itu daripada taqsir atau kekurangan dalam menunaikan hak yang wajib bagi Allah dan diandaikan juga kerana sibuk dengan urusan yang harus seperti makan, minum, bersama isteri, tidur, rehat, atau berbicara dengan manusia serta melihat kemaslahatan mereka dan menentang musuh-musuh mereka.[16]
Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi Allah SWT. Amin. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”[17]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H
[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=taubat
[2] Lihat Lisan al-Arab, 2/61
[3] Lihat Basa’ir Zawi al-Tamyiz, 2/304
[4] Lihat al-Mughni, 14/192
[5] (Surah al-Nur: 31)
[6] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225
[7] (Surah Hud: 3)
[8] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411
[9] Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42
[10] Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya' wa al-Mursalin, hlm. 109
[11] Lihat Tanbih al-Ghafilin, 110
[12] Surah al-Baqarah (222)
[13] Lihat Ma'alim al-Tanzil, 1/259
[14] Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)
[15] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/23
[16] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/103
[17] Surah al-A’raf (23)