Skip to content

S:356 Menjadi Orang Tengah Dalam Rasuah

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Apakah status orang yang menjadi orang tengah untuk aktiviti rasuah? Adakah dia dikira terlibat dalam perbuatan rasuah tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.[1]

Melalui ayat ini, Allah SWT secara jelas melarang manusia untuk membantu manusia yang lain dalam melakukan dosa. Adapun muslim yang hendak atau sedang berbuat maksiat, maka menjadi tanggungjawab seorang muslim yang lain untuk menghalangnya.

Rasuah boleh ditakrifkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[2]

Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah[3], rasuah ditakrifkan dengan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. 

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). [4]

Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” [5]

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." [6]

Dalam sebuah hadith, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”[7]

Di sini jelas bagi kita bahawa pemberi dan penerima rasuah adalah dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Namun, bagaimana pula orang yang menjadi orang tengah bagi aktiviti tersebut?

Bagi menjawab persoalan di atas, sebenarnya terdapat nas yang jelas daripada Rasulullah SAW melarang perkara tersebut.

Dalam sebuah hadith menyebut daripada Thauban RA, katanya:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Maksudnya“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya[8]

Kaedah fiqh juga menyatakan:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

MaksudnyaMenolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.

Jelas di sini menunjukkan yang mereka  yang terlibat dengan rasuah termasuk orang yang menjadi pemudah cara adalah dilaknat. Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Dengan sebab itu, al-Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam dosa-dosa besar melalui kitabnya, al-Kabair.

Bahkan, bagi sesiapa yang melihat kemungkaran dosa tersebut seperti dosa rasuah hendaklah dia tegah sebagaimana kuasa yang dia ada. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”[9]

Imam al-Nawawi dalam syarahnya  meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.”[10]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

Maksudnya:Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.”[11]

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa sesiapa yang terlibat dengan sesuatu dosa seperti rasuah, sama ada bersubahat, menjadi pengantara, maka hukumnya adalah haram sebagaimana perbuatan tersebut, dan perbuatan tersebut adalah perbuatan yang membantu ke arah dosa tersebut. Kami akhiri perbincangan ini dengan menukilkan daripada buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya menyebut, kesan buruk rasuah, antara lain ialah:

Berdasarkan kepada implikasi dan bahayanya, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari rasuah. Insha Allah akan terbentuklah sebuah negara yang sifatnya Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 2

[2] Lihat https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75&articleid=478

[3] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/220

[4] Surah al-Baqarah: 188

[5] Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112

[6] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 626

[7] Riwayat Abu Dawud (3580), al-Tirmizi (1337)  dan Ibn Majah (2313)

[8] Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068)

[9] Riwayat Muslim (78)

[10]Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 20/2

[11] Riwayat Abu Dawud (4338), al-Tirmidzi (2168), Ibn Majah (4005), dan Ahmad (1)