Skip to content

S:357 Keistimewaan Wakaf Berbanding Yang Lain

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Apakah keistimewaan wakaf berbanding sedekah lain?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.[1]

Wakaf adalah antara salah satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf melambangkan kesucian iman pewakaf, kecenderungan seseorang itu ke arah kebaikan, kesungguhannya menjaga kebajikan dan kasih sayangnya terhadap umat Islam.

Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس).[2] Wakaf  pada bahasa juga bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصْرِفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”[3]

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” [4]

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Wakaf dari segi istilah juga adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. [5]

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. [6]

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”[7]

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadith ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. [8]

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. [9]

Para ulama telah mengemukakan pengertian wakaf dengan jelas, antaranya:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ

Maksudnya: “Menahan harta yang mungkin boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” [10]

تَحْبِيسُ الْأَصْلِ ، وَتَسْبِيلُ الثَّمَرَةِ

Maksudnya: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” [11]

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, dapat difahami bahawa wakaf diertikan sebagai satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan.

Orang yang mewakafkan hartanya akan diganjarkan pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama mana harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.

Hal ini sudah tentu berbeza dengan sedekah-sedekah yang lain. Sebagai contoh, seseorang mewakafkan wang ringgit untuk pembinaan masjid. Maka, selagimana masjid itu kekal berada di situ, maka selagi itu pahala akan mengalir kepada pewakaf insha Allah. Manakala, contoh sedekah ialah seperti seseorang menyedekahkan wang ringgit kepada peminta sedekah. Duit tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli makanan. Setelah makanan tersebut habis dimakan, maka pahala sedekah hanya setakat di situ.

Oleh itu, di samping melakukan sedekah-sedekah yang lain, marilah merebut peluang untuk berwakaf sama ada dalam bentuk wang tunai, aset, perkhidmatan dan sebagainya.

Semoga Allah SWT memberikan ilmu dan kefahaman yang tepat agar kita dapat membuat persiapan dengan sebaik-baiknya demi keuntungan kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

 

[1]  Surah Ali-Imran: 92

[2] Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359

[3] Riwayat al-Bukhari (2772)

[4] Lihat Fath al-Bari, 5/401

[5] Lihat al-Ta’rifat, 1/85

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376

[7] Riwayat Muslim (1631)

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/89

[9] Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87

[10] Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 25/307

[11] Lihat al-Mughni, 12/175

[12] Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515

[13] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155