Skip to content

S:372 Cara Mendapatkan Doa Mustajab dan Cara Allah Menerima Doa

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimana cara untuk mendapatkan doa yang mustajab dan bagaimanakah cara Allah menerima doa kita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’[1]

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam.[2]

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”[3]

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Namun, di sana adanya perkara yang perlu diambil perhatian ketika berdoa bagi memastikan doa tersebut diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT, iaitu adab-adab dalam berdoa.

Kami nyatakan di sini sebahagiannya iaitu:

Pertamanya, berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya:Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut.[4]

Demikianlah juga, Allah SWT tidak akan menerima doa daripada mereka yang hatinya lalai lagi alpa. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

Maksudnya:Berdoalah kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan diterima (dimakbulkan). Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak akan menerima (memakbulkan) doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.[5]

Kedua, memuji Allah SWT sebelum berdoa. Perkara ini dapat dilihat secara jelas di dalam surah al-Fatihah sebagaimana firman-Nya:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ‎ (1) ‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ‎(2) الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ (3) مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ‎(4) إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (5) اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ‎(6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Maksudnya:Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1). Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam (2). Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (3). Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat) (4). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan (5). Tunjukilah kami jalan yang lurus (6). Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.[6]

Jika diteliti pada ayat-ayat di dalam Surah al-Fatihah, terdapat lima pujian kepada Allah SWT, bermula daripada ayat pertama hinggalah ayat yang kelima. Kemudian pada ayat yang keenam dan seterusnya barulah ia diikuti dengan permintaan atau doa.

Ketiga, berdoa di waktu-waktu mustajab. Terdapat banyak waktu-waktu mustajab, di antaranya ialah:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya:Setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku nescaya Aku akan memberinya, sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya.”[7]

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ، الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ، حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya:Tiga golongan yang tidak akan ditolak doa mereka iaitu pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi.[8]

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya:Pada hari Jumaat terdapat satu waktu yang mana tidaklah seseorang muslim itu berada di dalam waktu itu dalam keadaan dia berdiri menunaikan solat dan meminta (berdoa) kepada Allah akan kebaikan, melainkan Dia akan menerima (permintaannya).”[9]

Keempat, menghadap kiblat ketika berdoa. Hal ini adalah berdasarkan kepada kebanyakkan perbuatan Baginda SAW. Terdapat sebuah hadith daripada Abdullah bin Zaid, beliau berkata:

خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى هَذَا المُصَلَّى يَسْتَسْقِي، فَدَعَا وَاسْتَسْقَى، ثُمَّ اسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ وَقَلَبَ رِدَاءَهُ

Maksudnya:Nabi SAW keluar menuju ke tempat solat untuk meminta hujan. Lalu baginda pun berdoa dan meminta hujan. Kemudian baginda menghadap ke arah kiblat lalu mengubah dan membalikkan rida’ (kain selendang) Baginda.”[10]

Imam al-Bukhari sendiri telah meletakkan satu bab khusus di dalam sahihnya mengenai perkara ini dengan tajuk, “Bab Berdoa Menghadap Kiblat,” dan meletakkan hadith ini bawah bab tersebut.[11]

Kelima, menjauhi harta dan makanan haram sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.[12]

Cara Allah SWT menerima doa kita

Ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa para hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah SWT tidak menerima doa mereka. Di sana terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini sebagaimana riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah SWT akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah SWT menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah SWT akan menjauhkan daripadanya kejelekan.[13]

Justeru, difahami daripada hadith ini bahawa terdapat empat cara Allah SWT menerima doa para hamba-Nya iaitu:

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ghafir: 60

[2] Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24

[3] Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

[4] Surah al-Anbiya’: 90

[5] Riwayat al-Tirmizi (3479)

[6] Surah al-Fatihah: 1-7

[7] Riwayat Al-Bukhari (1145); Muslim (758)

[8] Riwayat Ibn Majah (1752)

[9] Riwayat al-Bukhari (6400); Muslim (852)

[10] Riwayat al-Bukhari (6343)

[11] Lihat Sahih al-Bukhari, 8/75.

[12] Riwayat Muslim (1015)

[13] Riwayat Ahmad (11133)

[ux_products]