Skip to content

S:374 Keharusan Membawa Air Zamzam Keluar dari Makkah

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah dibolehkan membawa keluar air zamzam dari Makkah bagi tujuan mendapat fadhilatnya apabila pula ke tanah air? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: “(Nabi Ibrahim berkata): Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.’”[1]

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Di antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abu Zar R.A bahawasanya Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Maksudnya:Sesungguhnya air Zamzam ialah air yang penuh dengan keberkatan dan mengandungi makanan yang mengenyangkan.[2]

Tambahan lagi, air zamzam juga merupakan sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi dan penawar daripada penyakit. Terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya:Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.[3]

Selain itu, al-Munawi ada menyebutkan bahawa air zamzam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S.[4]

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa air zamzam mempunyai kelebihan dan fadhilat tertentu seperti mengenyangkan dan penawar bagi segala penyakit. Selain itu, ia juga merupakan sebaik-baik air di atas muka bumi dan air yang diberkati.

Di samping itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah turut menceritakan pengalamannya dengan air zamzam sebagaimana katanya:

Sesungguhnya aku dan selain daripadaku telah mengalami (ada pengalaman) perkara yang ajaib ketika berubat dengan menggunakan air zamzam. Aku telah sembuh daripada beberapa penyakit yang menimpaku dengan izin Allah. Selain itu, aku juga telah menyaksikan seseorang yang telah menjadikan air zamzam sebagai makanannya selama beberapa hari, sekitar setengah bulan atau lebih dan dia tidak berasa lapar. Dalam masa yang sama, dia melaksanakan tawaf sebagaimana manusia yang lain. Dia telah memberitahuku bahawa kadang-kadang dia seperti itu selama empat puluh hari dan dia juga mempunyai kekuatan untuk bersama isterinya (berjimak), berpuasa dan melaksanakan tawaf berkali-kali.”[5]

Begitu juga keberkatan dan fadhilat air zamzam itu tidak terikat sama sekali dengan kemuliaan Tanah Haram. Hal ini kami telah jelaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #369 Keberkatan Air Zamzam Tidak terikat dengan Tanah Haram.[6]

Keharusan membawa air zamzam keluar

Mengenai perkara ini, Dr. Nasir bin ‘Abd al-Rahman telah menyebutkan dalam kitabnya bahawa para ulama telah sepakat mengenai keharusan membawa air zamzam ke seluruh negeri bagi tujuan bertabarruk — yakni mengambil berkat — dengannya.[7] Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha bahawa beliau pernah membawa air zamzam dari Makkah dan menceritakan bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَحْمِلُهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah membawa air zamzam (ketika bermusafir).”[8]

Abu al-‘Abbas al-Sawi juga ada menyebutkan dalam hasyiahnya bahawa disunatkan membawa air zamzam keluar dan kelebihannya tetap kekal ada — yakni tidak hilang — berbeza dengan mereka yang mendakwa bahawa kelebihannya hilang — apabila dibawa keluar dari Makkah.[9]

Manakala Syeik al-Islam Ibn Taimiyyah pula menyatakan bahawa hukum membawa air zamzam ketika bermusafir adalah harus kerana ulama-ulama terdahulu biasa membawanya bersama.[10]

Selain itu, Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa boleh membawa air zamzam ke negaranya bagi tujuan berubat dan mengambil berkat dengan air zamzam itu buat dirinya atau orang lain.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk membawa air zamzam keluar dari Makkah bagi tujuan berubat, mengambil berkat, mendapatkan fadhilatnya atau lain-lain, sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain. Bahkan terdapat sebahagian ulama yang berpendapat hukumnya adalah sunat dan digalakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah Ibrahim: 37

[2] Riwayat Muslim (2473)

[3] Riwayat al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (1106); al-Tabarani (11167); al-Dhiya’ dalam al-Ahadith al-Mukhtarah (137); Lihat juga Majma‘ al-Zawaid wa Manba‘ al-Fawaid, 3/286; Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 3/44-45; perawi-perawinya adalah thiqah dan telah disahihkan oleh Ibn Hibban.

[4] Lihat Faid al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/404.

[5] Lihat Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, 361/4.

[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/369-keberkatan-air-zamzam-tidak-terikat-dengan-tanah-haram/.

[7] Lihat al-Tabarruk, (Cet. Maktabah al-Rusyd), hlm. 293.

[8] Riwayat al-Tirmizi (963)

[9] Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Soghir, 2/44.

[10] Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 26/154.

[11] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 4/144.