Skip to content

S:375 Nikah Berwalikan Allah Secara Online

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Baru-baru ini saya berkenalan dengan seorang lelaki Muslim yang tinggal di Luar Negara. Beliau ingin mengahwini saya dan mencadangkan untuk kami bernikah melalui webcam/skype. Menurutnya terdapat dalil yang membolehkan kami bernikah dengan cara ini dan kami bernikah berwalikan Allah. Bolehkah ini dilakukan? Mohon pencerahan daripada ustaz tentang persoalan ini.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wali ataupun dalam bahasa arabnya al-Wali (الوَلِي) dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahu, walyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh. (Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah wa Aulia’ al-Syaitan, hlm. 9)

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/29)

Berdasarkan persoalan di atas, hal sedemikian tidak menjadikan akad perkahwinan itu sah. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِشَاهِدَيْ عَدْلٍ وَوَلِيٍّ مُرْشِدٍ

Maksudnya: Tidak sah nikah melainkan ada dua orang saksi yang adil dan wali mursyid (adil).

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra, (7/126)

Hadith ini jelas menunjukkan wajibnya ada wali dalam pernikahan. Perkataan “لا” dalam hadis ialah nafi bagi kesahihan nikah, bukan nafi bagi kesempurnaan, seperti dalam sebuah hadith:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kalian sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi diri sendiri.

Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)

Syarat-syarat sah nikah ialah bakal suami, bakal isteri, sighah ijab dan qabul, dua orang saksi dan wali. Wali di sini merujuk kepada wali manusia, bukan Allah SWT, walaupun disebut dalam al-Quran:

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Maksudnya: Allah ialah wali bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)

(Surah al-Baqarah: 257)

Wali di sini bererti Pelindung (Yang mengawal dan menolong), bukan bererti wali nikah. Jika nikah itu dikatakan sah, kenapa perlu dicadangkan agar dinikah semula di hadapan imam dan wali yang sepatutnya? Ini tidak betul. Sebenarnya, wali nikah itu mestilah manusia dan bapa atau wali-wali lain mengikut turutan yang ditetapkan syarak.

Pernikahan Melalui Video Live

Pernikahan melalui video secara langsung seperti skype, zomm dan seumpamanya adalah sah sekiranya mencukupi syarat dan rukun nikah, iaitu:

Rukun Nikah:

  1. Suami
  2. Isteri
  3. Wali
  4. Dua orang saksi
  5. Lafaz ijab dan qabul (sighah)

Dari segi hukum Islam, dalam akad nikah, tidak semestinya jurunikah berada secara berhadapan secara fizikal. Namun yang paling penting, dia perlu berhadapan dan bercakap kerana salah satu daripada rukun nikah itu adalah wujudnya sighah. Sighah bermaksud lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang melakukan akad (perjanjian) serta menunjukkan keredhaannya. Para fuqaha’ berpendapat yang terkandung di dalam sighah mestilah ijab (lafaz penawaran) dan qabul (lafaz penerimaan). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/200)

Dr. Muhammad Zuhaili menjelaskan bahawa tidak terjadinya akad nikah melainkan dengan sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/53)

Sighah atau lafaz akad nikah bermaksud ijab dari wali dan qabul daripada pengantin lelaki. Contoh lafaz ijab ialah: “Aku kahwinkan kamu dengan anak perempuanku” atau “Aku nikahkan kamu dengan anak perempuanku.” Sementara contoh lafaz qabul pula ialah: “Aku terima kahwinnya anak perempuanmu” atau “Aku terima nikah anak perempuanmu” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan bernikahinya”. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/347)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:[1]

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

Pernikahan Berwalikan Allah

Pernikahan berwalikan Allah merupakan khususiyyat yang hanya berlaku kepada Rasulullah SAW sahaja. Baginda dinikahkan oleh Allah SWT dengan Zainab binti Jahsy. Sebelum bernikah dengan Rasulullah SAW, Zainab telah bernikah dengan Zaid bin Harithah, pembantu Rasulullah SAW yang kemudian dijadikan anak angkat oleh Rasulullah SAW. Beliaulah yang diceritakan oleh Allah dalam firman-Nya,

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِ وَأَنعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَااللهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لاَيَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَآئِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللهِ مَفْعُولاً

Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya: ‘Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah,” sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya). Kami kawinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.

(Surah Al-Ahzab: 37)

Maka Allah nikahkan Zainab dengan Rasulullah SAW  tanpa wali dan tanpa saksi. Dan Zainab pernah membanggakan hal ini di hadapan isteri-isteri Nabi SAW yang lain sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, katanya:

 فَكَانَتْ زَيْنَبُ تَفْخَرُ عَلَى أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ: زَوَّجَكُنَّ أَهَالِيكُنَّ، وَزَوَّجَنِي اللَّهُ تَعَالَى مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَوَاتٍ

Maksudnya: Maka Zainab pun berasa bangga terhadap para isteri Nabi SAW dengan berkata: “Kamu semua dinikahkan oleh ahli keluarga kalian, sedangkan aku dinikahkan oleh Allah dari atas tujuh langit.”

Riwayat al-Bukhari (7420) dan al-Tirmidzi (3213)

Maka jelaslah bahawa, dalil yang menyatakan bahawa boleh bernikah dengan berwalikan Allah merupakan khususiyyat Nabi dan hanya dikhusukan untuk Nabi SAW sahaja, dan tidak boleh digunakan untuk selain daripada baginda.

Bahkan, selain baginda SAW, semuanya mesti bernikah dengan mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan di dalam nas dan juga syara’.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa tidak ada dalil yang menyatakan bahawa pernikahan boleh dilakukan dengan berwalikan Allah kecuali ia dikhususkan kepada Nabi SAW sahaja, bahkan bernikah dengan alasan berwalikan Allah bertentangan dengan nas dan syara’. Manakala, pernikahan yang dilakukan sedemikian adalah tidak sah kerana tidak mengikut rukun nikah yang telah ditetapkan di dalam syara’.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10288