Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah saya menamakan anak saya sebagai Asmaul Husna? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”[1]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ulama telah membahaskan mengenai perkara ini kepada dua bahagian iaitu bahagian yang dibenarkan dan bahagian yang tidak dibenarkan.
Bahagian yang tidak dibenarkan terbahagi kepada dua:
- Jika nama Allah itu mengandungi alif lam (ال), maka tidak boleh sama sekali menamakan seseorang dengannya. Ia merupakan nama yang telah dikhususkan buat Allah SWT semata-mata kerana ia menunjukkan kepada asal dan makna disebalik nama itu, seperti penamaan dengan nama al-Sayyid, al-Hakim atau seumpamanya adalah tidak boleh kerana ia tidak digunakan selain kepada Allah SWT.
- Jika dimaksudkan dengan nama itu makna sifat dan tidak mengandungi alif lam (ال), maka tidak boleh juga menamakan seseorang dengannya. Oleh sebab itulah, Nabi SAW menukar nama julukan— yakni kunyah — seorang sahabat daripada Abu al-Hakam kepada nama Abu Syuraih iaitu nama anaknya yang paling tua.[2] Ini menunjukkan bahawa jika menamakan seseorang dengan salah satu daripada nama Allah dengan makna sifat yang terkandung dalam nama itu, maka ia adalah dilarang kerana penamaan itu bersamaan sepenuhnya dengan nama Allah SWT, sedangkan Allah SWT lebih layak berdasarkan kepada makna yang terkandung dalam nama itu.
Manakala jika menamakan dengan nama yang tidak mengandungi alif lam (ال) dan bukan juga dimaksudkan dengan nama itu makna sifatnya, maka dalam hal ini tidak mengapa menamakan seseorang dengannya, seperti nama Hakim yang merupakan nama sebahagian sahabat iaitu Hakim bin Hizam, yang mana Baginda SAW pernah bersabda kepadanya:
لا تَبعْ ما لَيْسَ عِنْدَكَ
Maksudnya: “Janganlah engkau menjual apa yang engkau tidak miliki.”[3]
Oleh itu, ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa jika nama itu tidak dimaksudkan dengan makna sifatnya, maka tidak mengapa menggunakannya.[4]
Justeru, kita mengetahui bahawa nama-nama Allah ‘Azza wa Jalla terbahagi kepada dua iaitu; ada yang boleh memberikan nama dengannya dan ada yang tidak boleh. Sebagai contoh, tidak boleh memberi nama al-Khaliq (pencipta) kepada makhluk kerana ia hanya khusus bagi Allah SWT sahaja.
Tetapi, boleh memberi nama-nama seperti Hakim (حكيم), Basir (بصير), Ali (علي) dan seumpamanya kerana maknanya juga dimiliki oleh makhluk. Malah terdapat juga para sahabat yang memiliki nama seperti ini seperti Ali bin Abu Talib dan Hakim bin Hizam R.Anhuma. Justeru, tidak mengapa menggunakan nama-nama seperti ini.
Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan bahawa diharuskan menggunakan nama-nama yang tidak menjadi kekhususan kepada Allah SWT. Beliau menyebutkan bahawa harus menamakan dengan nama-nama Allah SWT yang tidak dikhususkan dengannya (kepada Allah). Adapun nama-nama yang terkhusus kepada Allah SWT sahaja, maka ia adalah haram. Inilah sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim.[5]
Hal ini juga sepertimana dinyatakan oleh sebahagian fuqaha dalam kalangan mazhab Hanafi yang menyebut bahawa penamaan dengan nama Allah yang terdapat di dalam kitab-Nya seperti al-‘Ali, al-Kabir, al-Rasyid, al-Badi‘ adalah harus kerana ia adalah daripada nama-nama yang bersekutu (pada maksudnya). Dimaksudkan dengannya adalah pada hak seorang manusia, dan bukan dimaksudkan pada hak Allah SWT.[6]
Ibn Qayyim pula menjelaskan isu ini dengan memberikan beberapa contoh nama Allah yang khusus bagi Allah SWT dan dilarang digunakan oleh makhluk. Beliau berkata: Antara yang dilarang dalam penamaan seorang manusia dengannya ialah nama-nama Allah SWT. Tidak boleh menamakan seseorang dengan al-Ahad, al-Samad, al-Khaliq, al-Razzaq dan sekalian nama-nama yang terkhusus pada Allah SWT.[7]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jika nama-nama itu menjadi kekhususan bagi Allah SWT seperti al-Ahad, al-Samad, al-Khaliq dan seumpamanya, maka ia dilarang dan tidak boleh sama sekali menamakan seseorang dengannya. Namun, jika nama itu tidak terkhusus bagi Allah SWT dan maknanya turut dimiliki oleh makhluk, maka tidak mengapa menamakan seseorang dengannya. Lebih-lebih lagi jika nama itu memiliki makna yang baik.
Justeru, kami katakan menamakan anak dengan nama Asmaul Husna tidaklah menjadi kesalahan kerana maknanya dengan maksud nama-nama yang baik.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H
[1] Riwayat Abu Daud (4948)
[2] Riwayat Abu Daud (4955)
[3] Riwayat Abu Daud (3503)
[4] Lihat Fatawa al-‘Aqidah, hlm. 37.
[5] Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 4/243.
[6] Lihat al-Buraiqah al-Mahmudiyyah, 3/234.
[7] Lihat Tuhfah al-Maudud, 1/125.