Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah boleh kita mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk, seperti mengelapnya dengan menggunakan tisu atau seumpamanya kerana saya kadang-kadang tidak selesa apabila tangan basah sehingga menyebabkan pakaian saya juga lembap atau basah? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”[1]
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]
Begitu juga, al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain.[3]
Mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk
Terdapat sebuah hadith daripada Maimunah R.Anha, beliau berkata:
وَضَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضُوءًا لِجَنَابَةٍ، فَأَكْفَأَ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ فَرْجَهُ، ثُمَّ ضَرَبَ يَدَهُ بِالأَرْضِ أَوِ الحَائِطِ، مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ، وَغَسَلَ وَجْهَهُ وَذِرَاعَيْهِ، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى رَأْسِهِ المَاءَ، ثُمَّ غَسَلَ جَسَدَهُ، ثُمَّ تَنَحَّى فَغَسَلَ رِجْلَيْهِ» قَالَتْ: فَأَتَيْتُهُ بِخِرْقَةٍ فَلَمْ يُرِدْهَا، فَجَعَلَ يَنْفُضُ بِيَدِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meletakkan air untuk mandi junub. Baginda menuangkan air dengan tangan kanan ke atas tangan kiri dua kali atau tiga kali. Kemudian Baginda membasuh kemaluan, seterusnya Baginda menggosokkan tangannya di tanah atau katanya: dinding dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung, membasuh muka dan kedua tangannya. Kemudian mencurahkan air ke atas kepalanya, barulah) Baginda membasuh seluruh badan. Kemudian Baginda berganjak sedikit dari tempat mandinya lalu membasuh kedua kakinya.” Maimunah berkata: ‘Aku pun menghulurkan kepadanya sepotong kain tetapi Baginda tidak mahu, lalu Baginda SAW hanya mengibas-ngibaskan tangan untuk menggugurkan sisa air pada badannya.’”[4]
Mengenai hal ini, Ibn Qudamah menyebutkan bahawa tidak mengapa seseorang itu mengelap anggotanya yang basah disebabkan oleh air wuduk atau mandian dengan kain. Inilah pendapat yang dinukilkan daripada Imam Ahmad. Tambahan lagi, diriwayatkan juga daripada Uthman, al-Hasan bin Ali, Anas dan kebanyakan ahli ilmu bahawa mereka menggunakan kain lap setelah berwuduk, dan inilah pendapat yang paling sahih kerana hukum asal bagi sesuatu perbuatan itu adalah harus.[5]
Selain itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin juga pernah ditanya mengenai perbuatan mengelap anggota wuduk selepas berwuduk. Beliau menjawab, tidak mengapa melakukannya kerana hukum asalnya adalah tiada sebarang tegahan bagi perkara tersebut. Begitu juga hukum asal bagi perkara selain ibadah seperti soal akad, perbuatan dan sesuatu adalah diharuskan sehinggalah datangnya dalil yang melarang atau menegahnya.
Kemudian, bagaimana cara untuk menjawab — yakni memahami — hadith Maimunah R.Anha yang menceritakan bahawa Baginda SAW telah selesai mandi wajib. Lalu dibawakan kepada Baginda secebis, tetapi Baginda tidak menerimanya. Lalu Baginda menghilangkan sisa-sia air di badan Baginda menggunakan tangannya.
Syeikh menjawab dengan menyatakan bahawa perbuatan Nabi SAW ini terdapat beberapa kemungkinan (ihtimalat) seperti boleh jadi Baginda menolaknya disebabkan oleh faktor kain lap itu sendiri, atau kerana ia tidak bersih, atau dikhuatiri akan menyebabkan kain itu basah dan membasahkannya dengan air adalah tidak sesuai. Justeru, di sana terdapat banyak kemungkinan Baginda menolak daripada menggunakan kain lap itu. Akan tetapi perbuatan Maimunah membawa kain lap itu kepada Baginda boleh menjadi dalil yang menunjukkan bahawa kebiasaannya Baginda mengelap anggotanya — selepas mandi wajib dan berwuduk — kerana jika tidak sudah tentu beliau tidak akan membawanya kepada Baginda SAW.[6]
Di sisi para fuqaha mazhab al-Syafi‘i, terdapat beberapa pendapat sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
- Pendapat yang pertama, perbuatan mengelap anggota wuduk adalah tidak makruh tetapi disunatkan untuk meninggalkannya. Inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama Iraq, al Qadhi Husain, al-Baghawi, al-Haramain, dan ditarjihkan oleh al-Rafi‘i.
- Pendapat yang kedua pula, hukumnya adalah makruh seperti yang dinyatakan oleh Syeikh al-Mutawalli.
- Pendapat yang ketiga, hukumnya adalah harus, yakni hukum melakukannya dan meninggalkannya adalah sama sahaja hukumnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Syeikh Abu Ali al-Tabari dan Al-Qadhi Abu al-Tayyib.
- Pendapat yang keempat, perbuatan mengelap itu adalah disunatkan kerana terdapat padanya keselamatan daripada debu-debu najis dan seumpamanya. Inilah pendapat yang disebutkan oleh al-Syeikh al-Furani, Imam al-Ghazali, al-Ruyani, dan al-Rafi‘i.
- Pendapat yang kelima pula mengatakan bahawa sekiranya pada musim panas hukumnya adalah makruh untuk mengelap anggota wuduk selepas berwuduk. Akan tetapi pada musim sejuk, hukumnya adalah tidak makruh kerana terdapat keuzuran dari sudut kesejukan. Pendapat ini dinyatakan oleh al-Rafi‘i
Al-Mahamili dan ulama selainnya menyebutkan bahawa Imam al-Syafi‘i tidak mempunyai nas — yakni pendapat — mengenai perkara ini. Para ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa perbuatan mengelap ini sama ada pada wuduk atau air mandian, kesemuanya ini jika tiada keperluan kepadanya seperti takutkan kesejukan atau melekatnya najis dan seumpamanya. Sekiranya tidak — yakni adanya keperluan — maka hukumnya adalah tidak makruh secara pasti dan tidak dikatakan bahawa perbuatan itu khilaf mustahab (menyelisihi perkara yang disunatkan).
Seterusnya Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang sahih dalam mazhab kami — yakni mazhab al-Syafi‘i — adalah disunatkan untuk meninggalkan perbuatan itu dan tidak dikatakan juga ia adalah makruh. Malah Ibn al-Munzir menukilkan mengenai keharusan perbuatan mengelap anggota wuduk selepas berwuduk daripada Uthman bin ‘Affan, al-Hasan bin Ali, Anas bin Malik, Basyir bin Abu Mas‘ud, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Alqamah, al-Aswad, Masruq, Dhahhak, Malik, Thauri, ulama dalam kalangan ahli ra’yi, Imam Ahmad dan Ishaq.
Manakala dalam kalangan ulama yang memakruhkan perbuatan ini pula adalah seperti Jabir bin Abdullah, ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, Sa‘id bin al-Musayyib, al-Nakha‘i, Mujahid dan Abu al-‘Aliyah. Dinukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berpendapat bahawa perbuatan itu adalah makruh pada wuduk dan tidak pada mandi wajib. Kemudian Ibn al-Munzir menyimpulkan dengan menyatakan bahawa semua perkara itu adalah diharuskan. Manakala al-Mahamili pula mengatakan bahawa para ulama telah ijmak bahawa perbuatan itu tidak diharamkan, dan perbezaan pendapat berlaku sama ada ia makruh atau tidak.[7]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat perbuatan mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk dengan menggunakan tuala atau seumpamanya adalah diharuskan. Lebih-lebih lagi jika ada keperluan untuk mengelap anggota wuduk bagi mengelakkan perasaan tidak selesa dalam beribadah atau seumpamanya. Hal ini kerana tiada sebarang nas yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan itu dilarang mahupun ditegah. Begitu juga mengambil kira perbuatan Nabi SAW yang mengelap anggota Baginda menggunakan tangan menunjukkan bahawa adanya kemungkinan sebab lain Baginda menolak kain yang dibawa oleh Maimunah.
Selain itu, perbuatan Maimunah membawa kain kepada Baginda selepas selesai mandi wajib juga menunjukkan bahawa perkara itu menjadi kebiasaan Baginda mengelap anggotanya — selepas mandi wajib dan berwuduk — kerana jika tidak sudah tentu beliau tidak akan membawanya kepada Baginda SAW.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H
[1] Surah al-Ma’idah: 6
[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61
[3] Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 222
[4] Riwayat al-Bukhari (274)
[5] Lihat al-Mughni, 1/195.
[6] Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Uthaimin, 11/93.
[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/462.