Soalan
Assalamualaikum ustaz. Rakan saya bekerja sebagai driver bas ekspres dari selatan ke utara berulang alik antara Melaka dan Penang, setiap. Apakah dibolehkan dia jamak / qasar sembahyang tiap-tiap hari?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang.”[1]
Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya. Saidina Umar R.A pernah bertanyakan berkaitan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bersabda:
صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ ، فَاقْبَلُوا صَدَقَةَ اللَّهِ.
Maksudnya: “Ia merupakan pemberian sedekah dengannya oleh Allah SWT, maka terimalah pemberian itu daripada Allah SWT.”[2]
Antara syarat sah solat jamak takdim atau ta’khir ialah hendaklah berada dalam keadaan musafir. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut bahawa antara syarat sah jamak taqdim seperti berikut: “Masih dalam musafir sehingga memulakan solat yang kedua. Oleh itu, tidak menjadi masalah sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai.”
Manakala antara syarat sah jamak ta’khir ialah: “Masih dalam musafir hingga selesai mengerjakan kedua-dua solat. Oleh itu, sekiranya telah sampai sebelum kedua-dua solat berkenaan selesai maka solat yang terkemudian menjadi solat qadha’.”[3]
Dalam menjawab persoalan di atas, pertama sekali kami ucapkan syabas dan alhamdulillah atas kesedaran terhadap kewajiban menunaikan solat fardu oleh rakan penanya tersebut. Dewasa kini, ramai manusia yang meninggalkan solat fardu kerana sibuk mencari habuan dunia yang sedikit dan fana ini. Apatahlagi, terdapat sebahagian pemandu bas yang tidak menghormati hak untuk solat bagi para penumpang dengan enggan, atau tidak berhenti, di masjid-masjid atau Kawasan Rehat dan Rawat.
Dibolehkan bagi seseorang yang bermusafir setiap hari atas alasan kerja untuk menjamakkan solat dan mengqasarkan solat ruba`iyyah (empat rakaat). Ini kerana illah pengharusan hukum jamak dan qasar dalam mazhab al-Syafie adalah jarak perjalanan dalam musafir mestilah musafir yang jauh, yakni 2 marhalah (82 kilometer) dan lebih. Ini berbeza dengan mazhab Abu Hanifah yang mensyaratkan keharusan qasar dengan masa perjalanan melebihi 3 hari, bukan berdasarkan jarak perjalanan.
Meskipun begitu, afdal bagi yang bermusafir kurang masa perjalanan 3 hari untuk mengambil azimah (hukum asal yang lebih berat), dan bukan rukhsah, sebagai cara untuk keluar daripada khilaf.[4]
Kami juga berpandangan elok juga diambil kira aspek kesukaran untuk mendapatkan tempat yang sesuai untuk solat, bekalan air, dan kesuntukan masa sebagai sebab mengambil rukhsah jamak dan qasar.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk beramal.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H
[1] Surah al-Nisa’: 101
[2] Riwayat Ibn Hibban (2739)
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/190
[4] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/464-466
[ux_products equalize_box="true"]