Skip to content

S:405 Wali Tersilap Sebut Nama Ayah Pengantin

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Adakah sah pernikahan menggunakan wali hakim tetapi tersilap meletak nama ayah pada pengantin?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wali ataupun dalam bahasa arabnya al-Wali (الوَلِي) dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahu, walyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi. ( Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh. (Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah wa Aulia’ al-Syaitan, hlm 9)

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/29)

Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya“Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”

Riwayat Ibn Majah (1882) dan al-Daraqutni (3/227) dan rijalnya thiqah

Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:

فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ

Maksudnya: Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kawin lagi dengan bakal suaminya

(Surah Al-Baqarah: 232)

Ibn Kathir di dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim menyebutkan bahawa ayat di atas menjadi dalil bahawa perempuan tidak boleh menikahkan dirinya sendiri dan ianya mesti melalui wali dan wali di dalam permasalahan yang ditanyakan di sini adalah ayah kepada perempuan tersebut.

Menurut Imam al-Nawawi: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang. (Lihat Minhaj al-Tolibin, hlm. 207)

Berdasarkan persoalan di atas, menurut Syeikh Muhammaz al-Zuhaili, di dalam mazhab al-Syafie, wajib hukum ta`yin (penentuan) pengantin di dalam akad nikah. Ta`yin memadai sama ada dengan namanya, isyarat, atau sifat-sifatnya yang khas. Jika tidak ditentukan maka batal akad nikah tersebut. Contohnya seorang lelaki memulakan ijab dengan berkata, “Aku nikahkan anak perempuanku”, sedangkan dia memiliki dua orang anak perempuan. Maka tidak ditentukan anak perempuan yang manakah yang ingin dinikahkan olehnya. Justeru, ta`yin tidak berlaku dan nikah juga tidak sah. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/58)

Kaedah Fiqh menyebutkan

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Segala Urusan Itu Mengikut Tujuannya

Melalui kaedah ini, sesuatu perbuatan itu dinilai berdasarkan niat dan tujuan ia dilakukan. Dalam hal ini, tujuan pernikahan itu telah ditentukan pengantinnya walaupun wali hakim tersilap menyebut nama ayah pengantin tersebut. Sesungguhnya urusan in berkaitan dengan niat sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Dawud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung ( العبادة المقصودة ) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafie dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat.

Justeru, kami berpendapat jika seorang wali hakim tersilap membacakan nama ayah bagi pengantin dalam majlis akad, maka hukumnya tetap sah jika sudah ditentukan pengantin perempuan di sisi pengantin lelaki, wali, dan dua orang saksi, dengan namanya sahaja, isyarat dan sifat-sifatnya. Tersilap pada nama ayah tidak begitu besar jikan ta`yin itu disokong dengan nama asal pengantin itu, isyarat, dan ciri-ciri yang sudah diketahui dalam majlis akad.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H