Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang pergi berjumpa dengan tukang sihir, dengan tujuan untuk mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit sihir yang dihadapi olehnya? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Sihir
Kami kemukakan di sini definisi sihir dari sudut bahasa terlebih dahulu seperti berikut:
- Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
- Menurut al-Azhari, perkataan al-sihr ialah menukarkan sesuatu daripada hakikat yang sebenar kepada suatu yang lain. Atau mengkhayalkan sesuatu bukan pada hakikat yang sebenar. (Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, hal. 55)
- Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya.
- Ibn Manzur turut menyebut bahawa orang yang melakukan sihir adalah seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)
Manakala pada istilahnya pula, definisi sihir adalah seperti berikut:
- Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung. (Lihat al-Mughni, 9/34)
- Ibn Qudamah turut berkata: Sihir adalah jampi atau mantera yang memberikan pengaruh sama ada zahir atau batin seperti membuat orang lain menjadi sakit atau membunuhnya. Ia bertujuan juga untuk memudaratkan emosi, fikiran atau akal manusia. (Lihat Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Sor’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain, hal. 171)
- Ibnu Khaldun berkata: Sihir ialah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif ke atas manusia dengan menggunakan anasir-anasir jahat serta kekuatan ghaib sama ada berperantaraan atau tidak bagi tujuan jahat yang tersembunyi. (Lihat Rawatan Sihir Akibat Sihir, oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, hal. 3)
- Imam al-Qurtubi berkata: Sihir asalnya adalah tangkal atau tali yang berhelah iaitu tukang sihir melakukan sesuatu sehingga ia bertukar menjadi suatu yang bukan hakikatnya. Takrifan tersebut diumpamakan seperti seseorang yang berada di bawah cahaya matahari yang panas terik ketika berjalan akan melihat jauh di hadapannya bayangan air yang bergerak-gerak iaitu fatamorgana. (Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, hal. 57)
- Dr Abdullah bin Muhammad bin Ahmad al-Tayyar berkata: Sihir adalah azimat dan jampi mantera sihir yang dilakukan oleh pengamalnya yang memberi kesan negatif kepada hati dan emosi seseorang menyakiti atau membunuhnya. (Lihat Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Sor’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain, hal. 171)
- Imam al-Alusi berkata: Sihir ialah perkara yang ganjil dan luar biasa yang diperolehi dengan mempelajari daripada syaitan.
- Muhammad Isa al-Maghribi berkata: Sihir sebagai suatu yang mengenakan kemudaratan ke atas mangsa menerusi amalan tertentu secara berasosiasi (perkaitan atau pertalian antara satu dengan yang lain) dengan kekuatan jahat makhluk halus dengan kaedah-kaedah yang tertentu.
- Syeikh Wahid Abd al-Salam Bali berkata: Sihir adalah kesepakatan, permuafakatan dan persetujuan bersama ahli sihir dengan syaitan. Ahli sihir akan melakukan sesuatu yang diharamkan syarak menerusi amalan-amalan syirik kepada Allah SWT bagi mengenakan kemudaratan ke atas manusia. Syaitan pula akan membantu melaksanakan apa jua permintaan ahli sihir itu untuk melakukan kerja-kerja jahat. (Lihat al-Sarim al-Battar fi al-Tasaddi li al-Sihr al-Asrar, hal. 17)
Hukum Mempelajari Sihir, Mengajar dan Mengamalkannya
Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram. Ibn Qudamah berkata: “Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151)
Imam al-Nawawi berkata: “Adapun mempelajarinya (sihir) dan mengajarkannya, maka hukumnya adalah haram.” ( Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/176)
Menurut Syeikh Zakariya al-Ansari, perbuatan sihir adalah haram. Jika dia beriktikad bahawa perbuatan sihir adalah harus, maka jelas dia telah kufur. Jika dia sengaja belajar, mengajar dan melakukan sihir, maka perbuatannya itu adalah perbuatan yang dianggap dosa. Beliau menjelaskan lagi, setiap perkara berkaitan sihir adalah dosa kerana boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 4/82)
Tambahan lagi, sebahagian para ulama menyatakan bahawa jika sihir tersebut boleh membawa mudarat sehingga membunuh orang lain, orang yang melakukan sihir boleh dikenakan hukum qisas. Perkara ini dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/236)
Ini adalah petunjuk bahawa perbuatan sihir bukan perbuatan yang boleh dipandang enteng akan tetapi ia adalah perbuatan dosa yang boleh memberi mudarat kepada orang lain walaupun dengan apa alasan sekalipun.
Justeru apa sahaja perkara yang berkaitan dengan sihir, ia diharamkan. Hal ini berdasarkan kaedah:
مَا أدى إِلَى الْحَرَام فَهُوَ حَرَام
Maksudnya: “Apa sahaja perkara yang membawa kepada perkara haram, maka ia adalah haram.” ( Lihat Qawa’id al-Ahkam fi Islah al-Anam, 2/355)Dalam sihir, berhimpunnya antara kufur dan memudaratkan manusia kerana sangkaan orang awam dan jahil bahawa penyihir boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT:
...وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ...
Maksudnya: “…Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah...”
(Surah al-Baqarah: 102)
Telah sepakat para ulama’ tentang pengharaman mempelajari sihir, mengajarnya dan mengamalkannya. Para ulama’ telah menghukumkan mereka yang melakukan sihir kepada dua:
- Mereka dianggap kafir yang mewajibkan hukuman bunuh. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Ahmad dan ramai dari kalangan sahabat dan tabi’in.
- Mereka dianggap fasiq (dosa besar) tetapi dikenakan hukuman pancung. Mereka tidak dianggap terkeluar dari agama Islam sepertimana Mazhab Syafi’i kecuali apabila melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kufur seperti mendakwa mampu dan berkudrat untuk menukarkan ciptaan Allah SWT.
Para sahabat dengan tegas menghukum bunuh kepada penyihir. Antaranya:
- Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A membunuh penyihir-penyihir. (Riwayat Ahmad dalam Musnad 1/190, Abu Daud 3/431, Abd al-Razzaq dalam Musannafnya 10/179 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136. Sanadnya sahih.)
- Ummul Mukminin Hafshah R.Anha membunuh hamba perempuannya yang menjadi tukang sihir. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ 2/871 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136)
- Jundub bin Abdullah R.A telah membunuh seorang tukang sihir yang bermain bersama al-Walid bin ‘Uqbah dengan memenggal kepala lelaki kemudian diserunya dan terus hidup. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir 2/222 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136)
Kami nyatakan juga di sini beberapa pendapat ulama’ berkenaan dengan isu ini:
- Ibnu Kathir ketika menafsirkan firman Allah SWT: ‘وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ’ (Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka), [Surah al-Baqarah: 102], beliau berkata: “Ia memberi kemudaratan dalam agama mereka (Islam) dan tiada padanya sebarang manfaat yang mengimbangi mudaratnya.”
- Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari mengambil ayat dalam Surah al-Baqarah ayat 102 sebagai dalil pengharaman sihir kerana Allah SWT mengkufurkan syaitan kerana ajaran sihirnya itu. Oleh itu, mempelajarinya adalah merosakkan aqidah.
- Imam al-Nawawi berkata pekerjaan sihir adalah pekerjaan merosakkan akidah secara menyeluruh atau ijmak. (Lihat Fath al-Bari, 10/ 224)
- Imam Ibnu Qudamah menyebut mempelajari, mengajar dan mengamalkan sihir adalah haram dan tidak diketahui ada khilaf di kalangan ulama’ muktabar dalam kerosakan akidah. (Lihat al-Mughni, 8/151)
- Syeikh Atiyyah Saqr menyebut sihir banyak dipelajari oleh orang awam dengan tujuan menyakiti dan memudaratkan orang lain bukan bertujuan untuk kebaikan dan mengambil manfaat. Nas dalam al-Quran dan hadis jelas menunjukkan bahawa amalan sihir adalah dosa besar bahkan kufur yang jelas apabila meyakini ianya dapat memberi kesan dengan sendirinya bukan dengan kuasa Allah.
Oleh itu, ilmu sihir dan seumpamanya adalah haram untuk kita pelajari, mengajar dan mengamalkannya. Jika pengamal itu seorang Islam, ia boleh merosakkan akidah dan kami katakan bahawa ilmu sihir merupakan ilmu yang paling hampir ke arah menjerumuskan manusia kepada syirik.
Hukum Jumpa Tukang Sihir untuk Ubati Sihir
Hukum pergi kepada tukang sihir bagi memintanya mengubati sihir yang dihadapi adalah haram. Hal ini kerana apabila seseorang pergi menemui tukang sihir untuk mengubati sihir yang dihadapi, jelas perbuatan tersebut membawa kepada pergantungan kepada selain Allah SWT. Ia boleh membawa kepada syirik kepada-Nya.
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Mu’asirah berkata: Diharamkan untuk pergi kepada tukang sihir sama ada untuk melakukan sihir atau pengubatan sihir. Maka semua itu sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabawi adalah salah satu jenis daripada syirik kepada Allah SWT kerana ia adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)
Barangsiapa yang pergi kepada tukang sihir dan tidak mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam."
Riwayat Muslim (5957)
Manakala, barangsiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)
Sabda Nabi SAW:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: "Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW."
Riwayat Ahmad (9171)
Perlu difahami bahawa sihir tidak mungkin dilawan dengan sihir. Begitu juga kejahatan tidak mampu untuk membatalkan kejahatan yang lain. Yang mampu membatalkannya hanyalah Allah SWT. Hal ini sebagaimana kisah Nabi Musa dengan ashab Firaun yang dicatatkan dalam al-Quran:
فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ
Maksudnya: (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.”
( Surah Taha: 70)
Ibn Kathir berkata: Setelah tukang sihir itu melihat dan menyaksikan hal tersebut, sedangkan mereka sendiri juga mempunyai keahlian tentang berbagai jenis sihir, ilmu dan caranya, maka mereka dengan yakin mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh Musa itu bukan termasuk sihir dan tipu daya, dan bahawasanya hal itu merupakan suatu yang haq (benar) yang tidak diragukan lagi. Hal itu tidak dapat dilakukan kecuali oleh Tuhan yang jika mengatakan “jadilah” kepada sesuatu, maka pasti terjadi. Pada saat itulah para tukang sihir tersebut tersungkur seraya bersujud kepada Allah SWT dan berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 9/350)
Menggunakan Jampi (Ruqyah) yang Syar’ie
Dalam hal ini, Islam menyediakan solusi tersendiri iaitu menggunakan ruqyah (jampi) yang berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir dan seumpamanya. Allah SWT berfirman:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”
(Surah al-Isra’: 82)
Imam al-Syaukani Rahimahullah berkata: “Para ulama berbeza pendapat berkaitan makna “al-syifa” (penawar) kepada dua pendapat:
- Menjadi penawar bagi hati dengan hilangnya kebodohan, lenyapnya keraguan dan terbukanya tabir yang akan membawa kepada Allah SWT.
- Menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang zahir dengan ayat-ayat ruqyah, perlindungan dan sebagainya.
Tidak menjadi masalah jika al-syifa’ (penawar) yang dimaksudkan dibawa pada kedua-dua makna tersebut.” (Lihat Fath al-Qadir, 3/300)
Imam al-Baghawi berkata: “Ruqyah (jampi) yang dilarang adalah ruqyah yang di dalamnya terdapat kesyirikan atau disebutkan di dalamnya jin-jin jahat, atau ruqyah yang bukan berbahasa Arab dan tidak diketahui apa hakikatnya. Hal ini kerana boleh jadi ruqyah itu telah dimasuki oleh sihir atau kekafiran.
Adapun ruqyah (jampi) dengan menggunakan al-Qur’an dan Zikrullah, maka sesungguhnya hal itu adalah boleh malah dianjurkan. Ini kerana, Nabi SAW pernah meniup (menjampi) pada dirinya dengan surah-surah al-Mu’awwizat (al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas)". (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/159)
Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW jika sakit, beliau membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwizat (ayat-ayat perlindungan) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka saya yang membacakan kepada Baginda dan mengusapkannya dengan tangan Baginda dengan mengharap barakahnya.”
Riwayat al-Bukhari (5016) dan Muslim (5844)
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id R.A, beliau berkata bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Ya, Muhammad! Apakah tuan sakit?” Jawab Baginda SAW: “Ya.” Lalu Jibril membacakan:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ.
Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah, aku membacakan ruqyah untukmu dari segala sesuatu yang menganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Semoga Allah menyembuhkanmu.”
Riwayat Muslim (5829)
Penutup
Sesungguhnya mendatangi tukang sihir lain untuk mengubati sihir yang terkena adalah haram sama sekali. Kami mengesyorkan agar jumpalah perawat-perawat yang menggunakan ruqyah berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah dalam mengubati sihir. Atau sekiranya mampu, boleh merawat sendiri berdasarkan petunjuk Qurani dan hadis Nabawi.
Kami nukilkan juga di sini keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 berkenaan Amalan Ilmu Hitam/Sihir:
- Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
- Pengamal sihir yang mendatangkan mudharat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
- Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.
Akhir sekali, semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H