Skip to content

S:411 Jawapan Istikharah Melalui Mimpi

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Dalam kita melakukan solat istikharah, adakah disyaratkan agar bermimpi tentang pilihan tertentu sebagai jawapan terhadap istikharah yang telah dilakukan? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Istikharah merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Allah SWT menggalakkan hamba-Nya untuk memohon petunjuk kepada-Nya dalam menentukan pilihan-pilihan yang harus dipilih olehnya. Allah SWT berfirman:

وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ

Maksudnya: “Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 45)

Asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataan ‘خير’ yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif, Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. Lafaz ‘استخار’ membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Manzur. (Lihat Lisan al-Arab, 4/264)

Istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi pertunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Dimyati: “Memohon kebaikan daripada sesuatu keinginan untuk dilakukannya.” Ini juga sepertimana disebut oleh Imam Badruddin al-‘Aini, di mana makna istikharah itu ialah meminta kebaikan. (Lihat I’anah al-Talibin, 1/297, Umdah al-Qari, 23/11)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani pula menyatakan istikharah sebagai:

طَلَبُ خَيْرِ الْأَمْرَيْنِ لِمَنَ احْتَاجَ إِلَى أَحَدِهِمَا

Maksudnya: “Memohon diberi pertunjuk yang terbaik dalam dua perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 11/183)

Lebih jelas, Syeikh Syams al-Haq ‘Azim Abadi menyebut bahawa maksud daripada istikharah itu sendiri meminta dipermudahkan dan diberi kebaikan pada dua perkara kebaikan. Sama ada terus melakukannya atau meninggalkannya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 25/448)

Ini membawa maksud bahawa solat istikharah dilakukan untuk perkara-perkara yang harus bukannya perkara yang haram. Bagaimana mungkin adanya kebaikan di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah. Hal ini jelas dilihat melalui sebahagian doa istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW.

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ

Maksudnya: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.”

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut solat istikharah dan doanya disunatkan di dalam perkara yang mana seseorang tidak tahu mana satu yang benar. Adapun yang sudah diketahui kebaikannya seperti ibadah dan perbuatan yang baik serta perkara yang haram maka tiada keperluan untuk melakukan solat istikharah padanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/591)

Berkenaan dengan solat istikharah, ia adalah di antara sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir bin Abdillah R.A:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

 Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda: Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”

Riwayat al-Tirmizi (480) dan Ibn Majah (1383). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sahih gharib.

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan yang dimaksudkan dengan istikharah di dalam hadis ini ialah solat istikharah. Kata beliau lagi bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ianya nampak remeh. Lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan, perkara yang diremehkannya itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/482)

Ini membawa erti bahawa solat istikharah adalah satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapai. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya.

Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw sepertimana yang terkandung di dalam hadis riwayat Jabir. Sehinggakan al-Aini di dalam Umdah al-Qari menyatakan jika ingin memilih tali kasut pun perlu untuk memohon petunjuk Allah melalui solat istikharah.

Adakah Disyaratkan Mimpi Untuk Menentukan Pilihan Terhadap Istikharah?

Pertama sekali, perlu diingatkan bahawa istikharah dilakukan bukan untuk memilih perkara ketaatan atau maksiat, halal atau haram, afdhal atau kurang afdhal namun ia untuk memilih dua perkara yang sukar dipilih kerana sama kedudukan dan kebaikannya. Apabila seseorang telah melakukan istikharah, maka Allah SWT akan memberikan taufiq dan hidayah kepada orang yang melaksanakannya untuk menyempurnakan urusannya dengan sebaik mungkin.

Walau bagaimanapun, telah menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.

Bahkan, para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah ialah dengan apa yang dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata:

وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم

Maksudnya: Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. WaAllahu a’lam. ( Lihat al-Azkar al-Nawawiyyah, 2/241)

Begitu juga, Imam al-Nawawi menyebutnya di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dengan berkata:

ثمَّ يَنْهَض بَعْد الاسْتِخَارَة لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah dia bangkit daripada melakukan istikharah tersebut terhadap apa yang telah dilapangkan dadanya kepadanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/546)

Walaubagaimanapun, jika masih tidak dilapangkan dada atau masih berasa ragu-ragu terhadap pilihan, maka hendaklah mengulangi istikharahnya sehingga dia merasa lapang dadanya untuk memilih. Jika sekiranya masih juga dalam keadaan yang sama, maka jika dia boleh untuk menunda membuat pilihan, maka hendaklah dia menunda, Namun, jika tidak boleh ditunda, maka hendaklah dia meneruskan urusan yang dirasakan mudah baginya.

Hal ini dsebutkan oleh Ibn ‘Allan, katanya: Jika sekiranya tidak dilapangkan dadanya untuk memilih satu pilihan, maka apa yang zahir bagi kami ialah hendaklah dia mengulangi kembali istikharahnya dengan mendirikan solat dan berdoa sehingga dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan.

Namun, jika diandaikan masih tidak dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan walaupun selepas mengulangi solatnya, jika sekiranya dia boleh untuk menunda untuk membuat keputusan, maka hendaklah dia menundanya terlebih dahulu. Jika sekiranya tidak boleh untuk menundanya, maka hendaklah meneruskan urusan yang dipermudahkan untuknya, sesungguhnya ia merupakan tanda izin daripada Allah SWT dan kebaikan. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 2/241)

 

Penutup

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk bermimpi untuk mendapat jawapan terhadap istikharah yang dilakukan, bahkan tidak memerlukan apa-apa petunjuk melainkan dengan dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusan.

Oleh itu, apabila seseorang telah melakukan istikharah hendaklah dia melakukan hal urusannya seperti biasa berdasarkan apa yang dilapangkan hatinya dan dimudahkan urusannya, serta tidak menunggu untuk mendapat jawapan dalam bentuk mimpi atau seumpamanya. Hal ini kerana istikharah yang dilakukan adalah untuk kita memohon pengakhiran yang baik kepada Allah SWT terhadap urusan yang kita usahakan.

Sesungguhnya tidak akan menyesal dan kecewa orang yang melaksanakan istikharah dan istisyarah kepada Allah SWT berdasarkan satu hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلَا عَالَ مَن اقتَصَد

Maksudnya: “Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana.”

Riwayat al-Tabrani (6/365)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H