Skip to content

S:413 Berdoa Selepas Iqamah

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ada sebahagian pihak menyatakan bahawa tiada doa selepas iqamah. Berbeza dengan doa selepas azan. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Iqamah menurut kaedah bahasa Arab adalah berasal daripada ‘أَقَام’ yang bermaksud menjadikannya lurus atau menegakkan. Manakala menurut istilah syarak, iqamah merupakan satu ibadah kepada Allah bagi menegakkan solat dengan zikir tertentu. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 2/36)

Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, hukum iqamah adalah sunat muakkad untuk solat fardhu lima waktu sama seperti hukum azan. Kata Imam al-Nawawi: Mazhab kami yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir bagi (solat) berjemaah dan juga solat bersendirian. ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/88)

Pendapat ini juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha yang lain seperti mazhab Maliki. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Rushd  berkenaan hukum iqamah: Sesungguhnya ia (iqamah) di sisi para fuqaha bagi hak mereka yang solat bersendirian dan juga berjemaah adalah sunat muakkad dan di sisi ahli zahir (zahiriah) ia hukumnya fardhu. Mengikut pendapat pertama, tidak batal solat apabila meninggalkannya (iqamah), manakala menurut pendapat yang kedua, menjadi batal. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, hlm. 109)

Hujah bagi mereka yang berpendapat bahawa hukum iqamah adalah sunat merujuk kepada hadis yang masyhur dengan sebutan  ‘المسيء صلاته (seorang lelaki yang buruk solatnya). Hadis tersebut menjelaskan bahawa Nabi SAW mengajarkan cara solat yang tepat dengan menyebutkan tentang wudhuk, menghadap kiblat, dan juga rukun-rukun solat. Namun tidak menyebut tentang iqamah, dan ini menandakan ia bukanlah kewajipan di dalam solat dalam erti kata tidak memberikan kesan kepada solat sekiranya seseorang itu meninggalkannya.

Berbalik kepada persoalan di atas, menurut ulama’ mazhab Syafi’e, bacaan doa selepas iqamah adalah disunatkan sebagaimana azan. Ini sepertimana pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan lain-lain. ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/122; Tuhfah al-Muhtaj, 1/482; Mughni al-Muhtaj, 1/329)

Manakala dari kalangan ulama' Hanabilah seperti Ibn Qudamah, beliau menyatakan bahawa sunat untuk berzikir bagi yang mendengar iqamah dengan zikir yang warid sepertimana yang dilakukan ketika azan. (Lihat al-Mughni, 1/310)

Berdasarkan pandangan ini, dapat difahami bahawa beliau tidak membezakan antara azan dan iqamat. Justeru, sepertimana disunatkan menjawab setiap lafaz iqamah, begitu juga disunatkan untuk berdoa selepas selesai iqamah dengan doa yang dibaca selepas azan.

Meskipun begitu, Imam al-Mardawi yang juga dari kalangan Hanabilah menyebut bahawa tidak ada doa yang disunatkan untuk dibaca selepas iqamah dan sebelum takbiratul ihram. (Lihat al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 2/41)

Sebahagian ulama’ pula menyatakan bahawa disunatkan untuk berdoa apa-apa sahaja yang disukai setelah selesai iqamah, dan ia dilakukan oleh Imam Ahmad yang berdoa sambil menadah kedua-dua tangannya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/303)

Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa doa selepas iqamah adalah thabit berdasarkan pandangan para ulama’ Syafi’eyyah dan disokong oleh beberapa pandangan dalam mazhab lain. Walaupun begitu, kami turut berpandangan bahawa sunat disegerakan solat selepas iqamah. Oleh itu, doa selepas iqamat perlu dielakkan dalam jangka masa yang panjang.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H