Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang membaca al-Fatihah tanpa tajwid yang betul ketika melakukan solat? Adakah solatnya sah? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, di dalam mazhab Imam al-Syafie, membaca surah al-Fatihah di dalam solat merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan ia wajib dibaca di dalam setiap rakaat sama ada solat sunat ataupun fardhu. Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:
لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”
Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (900)
Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهْىَ خِدَاجٌ. يَقُولُهَا ثَلاَثًا
Maksudnya: “Barangsiapa yang melaksanakan solat dan tidak membaca al-Fatihah di dalamnya, maka solatnya itu kurang/rosak.” Perkataan ini diulang sehingga tiga kali.”
Riwayat Muslim (907)
Imam Nawawi berkata: Membaca al-Fatihah adalah wajib dibaca pada kesemua solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Jika seseorang terlupa membaca al-Fatihah, kewajipan tersebut tidak tergugur daripadanya. Pandangan ini adalah kesepakatan yang telah disebut oleh jumhur ulama yang bermazhab Syafie. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/288)
Berbalik kepada persoalan di atas, Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.
Ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا
Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”
(Surah al-Muzammil: 4)
Al-Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya.
Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna. Sekiranya seseorang membaca أَنْعَمْتُ (an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalah ‘أَنْعَمْتَ’ (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya. Sekiranya terlupa maka perlu diulangi bacaan tersebut.
Kesalahan bacaan yang berkaitan dengan hukum hakam tajwid di dalam ilmu tajwid disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi) manakala Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) pula seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut dan kesalahan jenis ini boleh membatalkan solat.
Berdasarkan hadis ‘يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً’ (Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran), maka difahami bahawa ‘أقرأ’ adalah bermaksud bacaan yang terbaik. Justeru, marilah kita mempelajari al-Quran sama ada bacaan atau kandungannya untuk diamalkan.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H