Skip to content

S:59 Tiga Kali Meninggalkan Solat Jumaat

Posted on:January 30, 2023 at 03:57 PM

Soalan

Assalamualaikum. Apa hukum meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dalam keadaan menularnya wabak Covid-19 dan ada yang disebabkan telah dijangkiti virus Covid-19?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah SWT mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran? Maka Rasulullah SAW menjawab :

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Perasaan takut ataupun sakit.”

Riwayat Abu Daud (551)

Maka jelas daripada hadis di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjamaah. Kemudian para fuqaha memperincikan lagi akan tahap ketakutan yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat berjemaah dan juga solat Jumaat.

Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Ali al-Qaradaghi seperti berikut: “Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh perasaan takut dijangkiti virus tersebut.” Beliau juga menyebut bahawa keharusan tersebut perlulah disyaratkan dari sudut ketakutan penyebaran itu benar-benar yakin berlaku dan bukanlah pada sangkaan semata-mata. [1]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili juga menyebut, “Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/497).

Hal ini juga sepertimana dijelaskan melalui fatwa badan berautoriti, antaranya fatwa Majlis Fatwa Syar’i UAE yang menyebut**:** “Haram hukumnya bagi sesiapa yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti virus tersebut untuk berada di tempat yang umum atau pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, berjemaah mahupun solat hari raya. Wajib baginya untuk mengambil segala langkah pencegahan.”

Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Sebanyak Tiga Kali Berturut-turut

Jika diteliti di dalam hadith, sememangnya terdapat ancaman bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

Riwayat Abu Daud (1052)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdullah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

Riwayat al-Nasa’i (1370)

Mulla ‘Ali al-Qari dalam menjelaskan hadith ini menukilkan satu pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa mereka meninggalkannya kerana mengambil mudah. Manakala al-‘Aini pula menyebut: “Perkataan تَهَاوُنًا بِهَا bermaksud meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/1024).

Imam al-Suyuti turut menjelaskan dengan katanya: “Apa yang nyata bahawa maksud mengambil ringan ialah bermalas-malasan dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya, bukan maksud menghina dan memandang enteng (kewajipannya) kerana perkara tersebut adalah satu kekufuran.” (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 1/79).

Justeru, hadith dalam riwayat-riwayat ini jelas menunjukkan ancaman yang dinyatakan adalah terhadap mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan meremehkannya, mengambil mudah pelaksanaannya serta dalam keadaan tidak wujud sebarang darurat.

Berdasarkan hal ini, maka difahami bahawa maksud hadith di atas adalah bagi mereka yang meninggalkan tanpa adanya darurat dan tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Adapun jika ada keuzuran dan juga darurat, yang menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan solat Jumaat, maka mereka tidak termasuk dalam ancaman seperti yang dinyatakan di dalam hadith.

Dalam hadith lain menyebut bahawa mereka akan diganjarkan dengan ganjaran pahala yang sama. Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan nas dan kenyataan di atas, jika sesuatu kawasan telah ditetapkan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan sehingga menyebabkan seseorang terpaksa meninggalkan Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, maka mereka tidaklah termasuk dalam ancaman hadith sepertimana keterangan yang telah disebutkan. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

[1] Lihat laman web Al-Ittihad al-‘Alami Li ‘Ulama al-Muslimin, “فتوى مفصلة حول الأحكام المتعلقة بانتشار المرض الوبائي فايروس كورونا المستجد (كوفيد-19)” [http://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11019]