Skip to content

S:75 Solat Wanita yang Memakai Stoking Nipis

Posted on:December 18, 2023 at 06:19 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana solat bagi wanita yang memakai stokin nipis sehingga menampakkan sedikit warna kulit?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menutup Aurat Ketika Solat 

Antara syarat-syarat sah solat ialah menutup aurat. Ertinya, jika seseorang, sama ada lelaki atau perempuan, bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie. Mereka berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah R.Anha:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: ”Allah tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Daud (641), Ibn Majah (655) dan Al-Tirmizi (377)

Al-Tirmizi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.” Imam al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai “ha’id” itu ialah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. (Lihat al-Majmu’, 3/166-167).

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syirazi: “Dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.” (Lihat al-Muhazzab, 125/1).

Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam majlis al-takhatub (sebuah majlis percakapan).” (Lihat Fath al-Mu’in, 1/86).

Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai: “Keadaan itu maksudnya jika seseorang memerhatikan orang yang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (solatnya).” (Lihat I’anah al-Talibin, 1/134).

Syeikh al-Syarwani juga menyebut: “Dan hendaklah digunakan kaedah demikian dengan tidak memberi mudarat (pada kesahihan solat) apabila dilihat kulit dengan medium (suluhan cahaya) matahari atau api yang apabila tiada maka tidak boleh dilihat.” (Lihat Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 2/112)

Syeikh al-Nawawi al-Bantani menyebut: “[menutup aurat] dengan suatu jirim yang suci yang boleh menghalang penglihatan kepada warna kulit, dengan tidak dapat diketahui warna putih (kulitnya) daripada hitamnya dalam majlis al-takhatub.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 120)

Istilah majlis al-takhatub ini dihuraikan lagi dabitnya oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf dalam bab basuhan janggut yang tebal: “kira-kira satu meter dan separuh.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 84)

Antara ulama muhaqqiq yang berfatwa dengan qiyas kaedah majlis al-takhatub dari bab wudhuk ke dalam bab aurat ialah Imam Ahmad bin Musa bin `Ajil, seperti mana kata pengarang Fath al-Muin (hlm.86); Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj (2/112). Namun mengikut Syeikh Abu Makhramah bahawa pendapat yang muktamad tiada beza antara majlis al-takhatub atau bukan, tetapi jika seseorang itu mendekatkan matanya kepada pakaian maka tidak dikira jika nampak auratnya juga. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 104). Wallahua’lam.

Kesimpulan

Setelah meneliti keterangan dan fakta di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:

  • Wajib menutup tapak kaki ketika solat bagi wanita dalam mazhab al-Syafi’i, dan ia merupakan syarat sah solat. Pendapat yang lemah dalam mazhab Syafie dan salah satu daripada pendapat dalam mazhab Hanafi, bahawa tapak kaki bukan aurat ketika solat. Mazhab Maliki mengkategorikan tapak kaki sebagai aurat ringan yang tidak memudaratkan solat apabila terdedah. (Lihat Syarh Yaqut al-Nafis, hlm.143-144).
  • Memakai pakaian nipis untuk menutup aurat adalah tidak memadai untuk mendapatkan solat yang sah.
  • Ukuran pakaian nipis dan tebal itu terdapat khilaf dalam ulama Syafi’iyyah. Kami cenderung kepada tarjihan Syeikh Ibn Ajil bahawa memadai jika pakaian itu tidak menampakkan warna kulit dalam jarak majlis al-takhatub, atau kira-kira 1.5 meter antara dua orang yang bercakap. Namun pendapat muktamad seperti yang disebut oleh Syeikh Abu Makhramah bahawa tiada dabit majlis al-takhatub, melainkan dengan pandangan terlalu dekat dengan pakaian, adalah pendapat yang lebih berhati-hati.
  • Justeru, stoking wanita yang kelihatan nipis tetapi tidak boleh dilihat warna kulitnya, dan tidak boleh dibezakan warna kulit hitam atau putihnya, dalam jarak kira-kira 1.5 meter, adalah boleh dipakai oleh wanita semasa solat.
  • Sunat untuk memakai stoking yang lebih tebal, atau melabuhkan telekung, untuk keluar daripada khilaf dan mengelakkan fitnah. Wallahua’lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon, bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H