Skip to content

S:77 Harga Makanan Keterlaluan

Posted on:December 18, 2023 at 06:19 AM

Soalan

Assalamualaikum. Apa pendapat Datuk mengenai ikan siakap yang dijual dengan harga yang terlalu mahal? Ini yang berlaku baru-baru ini di Langkawi. Adakah ianya termasuk dalam penganiayaan kepada pelanggan? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asalnya, tiada had khusus bagi keuntungan dalam Islam. Namun apabila melibatkan penipuan, menganiaya orang lain, dan harga terlampau tinggi bagi barang-barang keperluan, maka di sana fiqh membincangkan hak khiyar (pilihan untuk membatalkan akad) bagi pihak yang terperdaya.

Bagi menjawab isu yang tengah hangat berlaku sekarang ini, iaitu penjualan ikan siakap yang harganya mencecah lebih RM1100 ini, kami kemukakan beberapa nas mengenai isu harga barangan yang tinggi. Terdapat sebuah  hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, katanya:

غَلَا السِّعْرُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ سَعِّرْ لَنَا فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ فِي دَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya:Pernah terjadi kenaikan harga pada masa Rasulullah SAW, maka orang-orang berkata: Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga untuk kami. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah Sang Penetap Harga, Penggenggam, Pembentang dan Pemberi Rezeki. Aku berharap bertemu dengan Tuhanku dan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntut perbuatan zalim yang aku pernah lakukan kepadanya, baik berupa darah (qisas) maupun harta.”

Riwayat al-Tirmizi (1235). Beliau menilai hadis ini sebagai hasan sahih.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Hadis ini adalah dalil bahawa haram bagi pemerintah untuk menetapkan harga barang mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab. Pendapat yang lemah mengatakan bahawa dibenarkan ke atas pemerintah untuk menetapkan harga pada waktu ghala’ (gawat) bagi makanan. Sekiranya imam menetapkan harga barang dan peniaga menyelisihi perintah berkenaan, dibenarkan kepada pemerintah untuk mengenakan hukuman ta`zir kepadanya. Walau bagaimanapun, hukum jual beli itu adalah sahih, mengikut pendapat yang asah (lebih sahih). (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/65-66).

Syeikh Muhammad Taqi Uthmani berkata: “Sesungguhnya tas`ir (penetapan harga barang) tidak boleh dilaksanakan, melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila manusia berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu ditinggi pada barang-barang yang manusia berhajat kepadanya seperti makanan, minuman dan pakaian. Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka. Pada zahirnya, jika tidak berlaku ihtikar (monopoli barang), dan tidak berlaku penetapan harga barang oleh kartel perniagaan,[1] maka ini akan membuka peluang persaingan bebas dalam pasaran sehingga para peniaga tidak mungkin menaikkan harga lebih daripada harga pasaran. Jika naik sekali pun, maka kesamaran sudah pun hilang. Justeru tidak diperlukan kepada penetapan harga barang.” (Lihat Fiqh al-Buyu`, 2/1002).

Keterangan di atas dikuatkan dengan dua fakta daripada perbuatan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda:

  1. Daripada `Urwah Ibn al-Ja`d al-Bariqi RA, bahawa beliau pernah diberi satu dinar oleh Rasulullah SAW untuk membeli seekor kambing. `Urwah kemudiannya berjaya membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, menjadikan keuntungan yang diperolehi adalah 100%! Apabila diserahkan, Baginda gembira dan mendoakan beliau dengan keberkatan. Berkat doa itu, beliau apabila berniaga di pasar, boleh menjana keuntungan sehingga 40,000 dinar. Riwayat al-Bukhari (3642).
  2. Saidina al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda. Riwayat al-Bukhari (3129).

Imam Abu Ishak al-Syirazi berkata dalam al-Muhazzab (2/57): “Barangsiapa yang membeli barang dagangan, diharuskan ke atasnya untuk menjualnya dengan harga modal, dengan harga yang lebih rendah, atau yang lebih tinggi, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Samit, Baginda SAW bersabda:

فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ

Maksudnya: Jika berbeza jenis (pada barang ribawi), maka jual belilah bagaimana yang kalian inginkan.”

Riwayat Muslim (1587)

Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya al-Ulum al-Din (2/79) menerangkan bahawa pada asalnya ghabn (penyamaran harga dalam berniaga) adalah dibenarkan selagi mana masih boleh diterima pada adat kebiasaan. Ini kerana tujuan perniagaan itu sendiri adalah untung, yang melibatkan ghabn walaupun sedikit. Kata beliau, sebahagian ulama mengehadkan untung pada satu pertiga harga barang, jika lebih maka boleh khiyar, tetapi itu bukan pendapat mazhab al-Syafie. Itu hanya had ihsan. Namun, keharusan ini terikat dengan syarat tidak berlaku penipuan dan kezaliman.

Kesimpulan

Kami cenderung kepada pendapat bahawa mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah diharuskan selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. Hal ini kerana keuntungan itu sendiri bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang perlu ditanggung peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih. Ini berbeza mengikut zaman, tempat dan jenis barang jualan itu sendiri. Namun, kami juga ingin berpesan agar para peniaga agar memperbanyakkan sedekah bagi menyucikan harta yang diperolehi, seperti mana sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya:Wahai para peniaga, sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah.”

Riwayat Abu Dawud (3326) al-Tirmizi (1208), al-Nasa’i (4463), Ibn Majah (2145) dan Ahmad (16134).[2]

Syeikh Syams al-Haqq al-‘Adzim Abadi di dalam syarahnya menyebut: Kebiasaannya pada perniagaan ini terdapat percakapan yang tidak ada faedah. Dikatakan juga, pada perniagaan ini terdapat juga perkataan yang disebut-sebut tanpa difikirkan dan yang sia-sia seperti suara burung.  Maka sucikanlah perniagaan ini dengan sedekah kerana hal ini dapat menghalang kemurkaan Allah SWT. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/125).

Justeru kami cadangkan:

  1. Mempamerkan harga dengan jelas dan tiada sebarang unsur keraguan padanya. Sebagai contoh, RM10 bagi setiap 100 gram masih lagi terdapat keraguan padanya. Hal ini kerana apabila ditimbang, ikan tersebut mungkin sudah mencapai 2kg dan bermakna harga ikan tersebut akan menjadi RM200. Justeru, jelaskan kepada pelanggan bahawa harga sebenar adalah RM200.
  2. Konsep “bayar dulu sebelum makan dan sebelum diteruskan masakan” adalah amat penting untuk mengelakkan rasa tidak puas hati daripada pihak pembeli dan penjual.
  3. Junjunglah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَحِمَ اللهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ , سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى سَمْحًا إِذَا اقْتَضَى

Maksudnya: Allah mengasihi hamba yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli, bermurah hati jika menagih hutang.

Riwayat al-Bukhari (2076), al-Tirmizi (1320), Ibn Majah (2203) dan Ahmad (14699)

Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini mengajak kita supaya berlapang dada serta melakukan muamalah dengan baik dan juga dengan akhlak yang baik, serta meninggalkan sifat kedekut di dalam jual beli. Hal ini kerana terdapatnya barakah dalam jual beli. Nabi SAW tidak akan mengajak umatnya kecuali pada perkara yang ada manfaat bagi umatnya untuk urusan agama dan keduniaan. Manakala kelebihan di akhirat, Nabi SAW mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi mereka yang melakukan kebaikan pada jual beli tersebut. Maka sesiapa yang ingin mendapatkan doa yang didoakan oleh Nabi SAW, maka hendaklah dia mengikuti saranan Nabi SAW dan beramal dengannya. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/189).

  1. Saling bersedeqah merupakan suatu nasihat dan amalan yang baik, yakni pihak penjual sanggup melakukan sedikit pengorbanan dan dia boleh mengikat pelanggan untuk terus menggunakan khidmat dan kedainya.
  2. Elakkan dalam hati sifat mazmumah seperti menipu, mengambil loba yang melampau, marah serta balas dendam kerana ini akan mengangkat berkat daripada Allah SWT.
  3. Budayakan perniagaan dengan budaya Islam yang penuh kasih sayang mahabbah kerana kita semua adalah bersaudara.
  4. Dalam perniagaan, keuntungan adalah dituntut, tetapi dalam Islam, keberkatan amat perlu dicari. Inilah matlamat kita.
  5. Suri teladan yang terbaik dan terunggul adalah Rasulullah SAW yang boleh kita ikutinya.

Akhirnya, kami cadangkan agar kita berdamai dengan membuang yang keruh dan ambillah yang jernih. Amat malang dan rugi perkara yang sudah berlaku belum berkeselesaian dengan masing-masing mengungkit. Semoga Allah mengampuni dosa kita dan menjadi asbab ke arah pembinaan ukhuwah yang lebih mantap disamping membetulkan kehidupan untuk mencapai mardhatillah. Kami menutup dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya:Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua`lam.

Bertarikh 11 November 2021 M bersamaan 6 Rabiul Akhir 1443 H

[1] Seperti mana tidak dibenarkan pemerintah menetapkan harga barang pada asalnya, tidak dibenarkan juga para penjual untuk berpakat menetapkan harga barang pada satu harga. Ini hanya jika tidak membawa mudarat kepada orang ramai.

[2] Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih