Skip to content

S:82 Lupa Niat Sebagai Imam Jumaat

Posted on:December 18, 2023 at 06:19 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Seorang imam terlupa untuk niat jadi imam semasa solat Jumaat. Dia hanya sedar bahawa dia terlupa setelah selesai solat. Bagaimana keadaan solat tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkenaan persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu apakah maksud niat. Niat adalah:

قَصْدُ الشَيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ ، وَمَحَلُّهَا القَلْبُ

Maksudnya: “Memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan perbuatan. Dan tempat niat adalah di dalam hati”. (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75).

Kami kemukakan di sini terlebih dahulu berkenaan syarat berniat imam bagi seorang yang mengimamkan solat berjemaah.

Menurut mazhab Syafi’i imam tidak wajib berniat untuk menjadi imam di dalam solat berjemaah. Sekiranya imam tidak berniat begitu maka solat jemaah tetap sah. Perkara ini ada dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Berkenaan pandangan ulama mazhab mengenai niat menjadi imam (solat jemaah), telah kami nyatakan sesungguhnya yang masyhur menurut mazhab kami bahawa tidak disyaratkan untuk sahnya solat jemaah.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/98).

Namun begitu, jika seseorang itu tidak berniat untuk menjadi imam dalam solat berjemaah maka dia tidak mendapat pahala solat berjemaah, tetapi solatnya tetap sah. Perkara ini ada dinyatakan di dalam kitab ‘Umdah al-Salik (hlm. 122): “Seorang imam hendaklah berniat imam. Jika dia meninggalkan ia (niat imam) maka solat itu dikira sebagai solat sendirian dan sah solat jemaah dengannya, manakala imam terlepas pahala berjemaah. Disyaratkan niat imam pada solat Jumaat.” (Lihat ‘Umdah al-Salik, hlm. 122).

Persoalan di atas menunjukkan yang dia terlupa niat untuk menjadi imam. Tetapi qarinah melalui berada di hadapan, bertakbir, membaca al-fatihah secara kuat dan bacaan surah adalah jelas menunjukkan bahawa sebenarnya dia mengetahui bahawa dia menjadi imam.

Justeru kami berpendapat, sebenarnya dia berniat, tetapi mungkin dia tidak berlafaz seperti dengan lafaz “إمَامًا”. Oleh itu, solatnya sah dan berlaku hubungan antara imam dan makmum dalam solat berjemaah pada solat Jumaat tersebut.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dengan sebaik-baiknya untuk mengamalkannya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H