Skip to content

S:85 Imam Baca Perlahan Ketika Solat Maghrib

Posted on:December 18, 2023 at 06:19 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana keadaan solat sekiranya seorang imam membaca dengan perlahan ketika mengimamkan solat Maghrib?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Membaca surah al-Fatihah secara kuat di dalam solat yang disunatkan membaca kuat seperti solat Maghrib, Isyak dan Subuh adalah termasuk di dalam sunat-sunat hai’ah (الهيئة). (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/310). Jika seseorang itu sama ada makmum atau imam tidak membaca surah al-Fatihah (atau surah-surah selepas surah al-Fatihah) dengan kuat pada solat yang disunatkan membacanya dengan kuat maka ia adalah makruh kerana telah meninggalkan perkara-perkara yang sunat. Tetapi ia tidaklah menjadikan solat itu batal.

Imam al-Syirazi turut menjelaskan perkara ini dengan menyebut bahawa menguatkan bacaan pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh adalah termasuk di dalam perkara yang sunat bagi imam. Kata beliau: “Disunatkan bagi imam menguatkan bacaan pada solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan dua rakaat pertama solat Isyak. Dalilnya adalah nukilan ulama khalaf daripada ulama salaf.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/389).

Namun begitu, perbuatan tersebut dikira telah menyelisihi sunnah Nabi SAW kerana Nabi SAW mengarahkan kita agar solat sepertimana Baginda SAW solat. Sabda Nabi SAW:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya_: “Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.”_

Riwayat al-Bukhari (6008)

Kesimpulan

Kami nyatakan bahawa solat di belakang imam yang membaca perlahan di dalam solat yang disunatkan membaca kuat seperti Maghrib, Isyak dan Subuh adalah sah dan tidak perlu diulang kembali solat tersebut kerana menguatkan bacaan pada solat-solat tersebut (solat Maghrib, Isyak dan Subuh) hukumnya adalah sunat sahaja sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas.

Justeru, imam perlulah faqih dan memahami Fiqh al-Solah dengan sebaik mungkin agar sebarang tindakan yang diambil menepati Sunnah Rasulullah SAW serta Syariat Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh:  12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H