Skip to content

S:99 Wanita Kematian Suami Pergi Bekerja

Posted on:December 18, 2023 at 09:13 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum perempuan yang kematian suami pergi bekerja?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Daripada Ummu Habibah R.Anha, katanya:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya“Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5024) dan Muslim (1486)

Berdasarkan nas ini, maka wanita yang kematian suami hendaklah berkabung atau berihdad selama empat bulan 10 hari. Inilah yang telah ditetapkan oleh Allah.

 

Hikmah Pensyariatan Berkabung

Terlalu banyak hikmah pensyariatan berkabung dengan sebab kematian suaminya. Antaranya:

  • Untuk menzahirkan kesetiaan
  • Meraikan hak suaminya yang besar

Ini kerana ikatan perkahwinan adalah sesuci ikatam yang tidak seharusnya pada syarak dan juga adab akhlak untuk dilupai begitu sahaja. Memang tidak munasabah selepas kematian si isteri memakai pakaian yang hebat dan berhiasan serta berwangi-wangian kemudian keluar daripada rumah seperti wanita yang lain. Hal ini tidak menzahirkan sebarang penghormatan kepada suaminya yang telah meninggal dunia. Justeru, para ulama’ dan imam-imam mazhab yang empat telah membuat kesimpulan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad antara lain kata mereka:

  • Bahawa sesungguhnya ihdad wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat. Ini kerana, nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.
  • Begitu juga pensyariatan ihdad kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali. (Lihat Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291)

Walaupun begitu, para ulama’ mengecualikan untuk wanita keluar dari rumah kerana tujuan tertentu. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.

Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah. (Lihat Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami, oleh JAKIM)

 

Cadangan Kami

Dalam situasi seperti ini, keluar rumah hendaklah dalam bentuk terhad. Hanya ke tempat kerja, menerima rawatan atau membeli barangan keperluan.

Keduanya, mohon pertimbangan daripada pihak kerajaan atau majikan untuk memberi keringanan kepada wanita agar boleh beriddah di rumahnya dengan cara kerja dari rumah seperti yang diamalkan semasa puncak pandemik Covid-19 baru-baru ini. Ini juga akan membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh isteri yang kematian suami, dan ia termasuk ehsan oleh majikan kepada staf atau pekerjanya.

Semoga pencerahan ini memberikan kepada kita kekuatan dalam menegakkan Syariat Allah walaupun ketika berlaku kematian suami yang amat dikasihi. Semoga Allah mengampuni dosa kita semua. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12/11/2021 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H